TIP 2024: Kedudukan Malaysia dinaikkan ke tahap 2
2024.06.24
Kuala Lumpur

Kedudukan Malaysia dalam laporan tahunan Washington mengenai usaha melawan kegiatan penyeludupan manusia tahun ini dinaikkan kepada Tahap 2 selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat mendapati negara Asia Tenggara itu menunjukkan usaha yang signifikan dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan orang meskipun belum mencapai piawaian minimum yang ditetapkan.
Peningkatan itu bagaimanapun menerima kritikan aktivis yang memperjuang kebajikan dan hak asasi pekerja migran kerana mereka percaya Malaysia masih gagal mengambil tindakan bagi menyelesaikan beberapa isu kritikal dalam melawan aktiviti buruh paksa di negara berkenaan.
Menerusi Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2024 yang dikeluarkan di Washington pada Isnin, Jabatan Negara AS menyatakan bahawa Malaysia telah menunjukkan peningkatan secara menyeluruh dalam usaha menghapuskan aktiviti penyeludupan manusia berbanding tahun sebelumnya dan oleh itu, ia layak dinaikkan daripada kedudukan Tahap 2 (Senarai Pemerhatian).
"Kerajaan Malaysia tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan penyeludupan manusia tetapi ia telah membuat usaha yang signifikan ke arah itu. Ia telah menunjukkan peningkatan yang menyeluruh dalam usahanya berbanding laporan sebelum ini dan oleh itu, Malaysia telah dinaikkan ke Tahap 2," kata Washington.
Pada 2023, Jabatan Negara AS meletakkan Malaysia pada Tahap 2 (Senarai Pemerhatian) dalam laporan TIP selepas mendapati ia tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan orang namun mempunyai usaha ke arah itu.
Penarafan itu adalah satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan Malaysia dikelaskan dalam Tahap 3 iaitu tahap paling rendah kerana Putrajaya tidak memenuhi standard minimum dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan orang dan tidak melakukan usaha signifikan ke arah tersebut.
Menurut TIP 2024, Malaysia didapati telah mengambil pelbagai usaha termasuk meningkatkan bilangan siasatan terhadap kes pemerdagangan orang dan terdapat lebih banyak sabitan di mahkamah terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti itu dengan pesalah dijatuhi hukuman yang signifikan.
Selain itu, Malaysia didapati telah melakukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah penyeludupan manusia, mendakwa pegawai yang disyaki bersekongkol dengan sindiket, menambah baik peruntukan bagi fasiliti perlindungan mangsa serta memberi lebih banyak ruang kepada mereka mendapatkan bantuan dari pusat perlindungan yang dioperasikan oleh kerajaan dan NGO.
Bagaimanapun, menurut Washington, Putrajaya tidak memenuhi piawaian minimum dalam beberapa perkara lain. Antaranya bilangan mangsa yang disahkan secara rasmi oleh kerajaan adalah sedikit berbanding jumlah individu yang telah dikenal pasti.
"...kerajaan juga membuat pendakwaan yang sedikit terhadap penyeludup dan tidak mendakwa penyeludup buruh dalam sektor minyak sawit atau industri pembuatan sarung tangan getah walaupun laporan dibuat secara berterusan mengenai aktiviti pemerdagangan dalam sektor berkenaan.
"Tindakan subahat oleh pegawai dan masalah rasuah telah melemahkan usaha melawan penyeludupan manusia dan membolehkan para penyeludup melakukan operasi mereka dengan sewenang-wenangnya sekali gus mendedahkan pekerja migran kepada risiko lebih tinggi," menurut laporan itu.
Sekumpulan tujuh lelaki warga Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, berjaya ditangkap di kebun sawit Felcra Jalan Kachu, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak, 7 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Sepatutnya turun
Sementara itu, aktivis hak asasi pekerja Andy Hall berkata beliau sangat tidak bersetuju dengan penarafan yang diberikan oleh Jabatan Negara AS kepada Malaysia pada tahun ini.
Beliau berkata Malaysia sepatutnya diturunkan ke Tahap 3 dalam Laporan TIP atas kegagalan sistem pengambilan dan pengurusan pekerja di negara itu.
"Hanya terdapat sedikit atau tiada langsung akauntabiliti terhadap situasi yang teruk ini dan tiada sebarang pemulihan untuk mangsa. Dengan kegagalan sistem Malaysia melawan penyeludupan pekerja secara berkesan, memastikan mangsa dipulihkan dan mereka yang bersalah dipertanggungjawab, negara itu sepatutnya diturunkan ke Tahap 3.
"Peningkatan tahap yang diberikan hari ini adalah sesuatu yang mengecewakan dan saya berasa gusar dengan keabsahan dan ketepatan penilaian yang dibuat oleh kerajaan AS," katanya kepada BenarNews.
Pengarah Eksekutif North South Initiative Adrian Pereira turut berkongsi pandangan serupa dan beliau percaya Malaysia tidak layak dinaikkan ke Tahap 2 dalam TIP 2024.
"Berdasarkan apa yang saya lihat sebelum ini, peningkatan tahap yang diberikan agak membimbangkan. Malaysia sepatutnya diturunkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan pada Tahap 2 (Senarai Pemerhatian).
"Saya amat terkejut dengan peningkatan ini," katanya kepada BenarNews.