Malaysia: Laman Web Disekat Kerajaan Tamatkan Terbitan

Hata Wahari
2016.03.14
Kuala Lumpur
160314-my-tmi-620 Gambar di laman utama The Malaysian Insider yang mengucapkan selamat tinggal kepada para pembacanya selepas portal berita itu menamatkan operasinya, 14 Mac 2016.
BeritaBenar

Satu daripada portal berita yang paling popular di Malaysia menamatkan penerbitan pada Isnin selepas sekatan kerajaan terhadap laman web itu memburukkan lagi masalah kewangannya, kata penerbitnya.

Pengumuman itu dibuat ketika penyokong media membantah penahanan dua wartawan Australia pada Sabtu selama enam jam, kerana didakwa menghampiri terlalu dekat dengan Perdana Menteri Najib Razak.

"Kumpulan Media The Edge dengan dukacitanya ... ingin mengumumkan bahawa kami telah mengambil keputusan untuk menamatkan operasi portal berita The Malaysian Insider (TMI) berkuatkuasa serta-merta,” kata Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Ho Kay Tat dalam satu kenyataan.

The Edge tidak lagi dapat mengekalkan TMI setelah mengalami kerugian kira-kira RM10 juta (US$2.4 juta) dalam tempoh 20 bulan sejak kami mengambil alih laman web itu pada Jun 2014, kata beliau.

“Kami percaya masalah yang dihadapi TMI dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini telah membuatkannya lebih sukar untuk memuktamadkan urusan penjualan walaupun perbincangan telah diadakan sebelum itu,” kata Ho.

Kerajaan Malaysia menyekat akses kepada TMI dalam negara itu pada 25 Feb, sehari selepas portal itu menyiarkan laporan yang menyatakan adanya bukti yang boleh dipercayai untuk mendakwa Najib berhubung skandal yang dikaitkan dengan dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq berkata beliau dan stafnya mempertahankan berita itu semasa polis menyoal siasat mereka pada hari berikutnya.

Pada Januari, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan deposit US $681 juta ke dalam akaun bank peribadinya semasa menjelang pilihan raya umum 2013.

Najib telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan peribadi.

'Berita tidak benar'

Penutupan laman web TMI mengeluarkannya daripada pengedaran laman berita dalam talian yang telah melakukan laporan kritikal mengenai 1MDB dan berita berkaitan.

"Insiden TMI bukan sahaja merupakan satu bentuk penapisan kerajaan, tetapi juga sebagai amaran kepada penerbitan dalam talian lain yang terkenal," kata Mustafa Kamal Anuar, pensyarah komunikasi di Universiti Sains Malaysia, kepada BeritaBenar.

"Lagipun, semua media arus perdana dikawal dengan sebanyak mungkin, kini tiba masanya bagi rejim itu untuk cuba untuk mengawal media alternatif dan media sosial yang mempunyai pelbagai pandangan," katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pengulas menuduh TMI mengeluarkan "sampah serta cerita dan pembohongan yang direka-reka."

"Adalah menggembirakan untuk tahu bahawa lebih ramai rakyat Malaysia pintar yang bangkit dan tidak lagi percaya sepenuh hati tentang berita tidak benar yang disajikan kepada mereka. TMI menggali kuburnya sendiri, " kata pengkritik media Baharuddin Aziz kepada BeritaBenar.

'Saya tidak akan berhenti menulis'

Sebelum laman web itu dihitamkan pada tengah malam (waktu tempatan), editor dan staf TMI mengucapkan selamat tinggal kepada para pembacanya menerusi gambar staf dan dan artikel khas yang disiarkan di laman web itu.

"Saya berharap kami sudah memberikan khidmat terbaik kepada anda sejak hari pertama ... dan saya berharap yang lain akan terus memberikan khidmat kepada anda semasa ketiadaan kami,” kata Jahabar kepada para pembacanya menerusi catatan perpisahannya.

"Kami bekerja sebagai wartawan tidak berat sebelah untuk memberi maklumat kepada rakyat Malaysia dan pembaca lain supaya mereka boleh membuat keputusan dengan baik. Kami bekerja untuk membolehkan suara semua pihak didengari," kata Jahabar.

"Saya tidak akan berhenti menulis, saya tidak akan berhenti merakamkan gambar, saya tidak akan diam dan saya tidak akan pejamkan mata atau pekakkan telinga terhadap apa yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia,” ikrar Jahabar, dan beliau meminta semua pengkikut TMI supaya melakukan perkara yang sama.

The Malaysian Insider adalah laman web berita kedua yang disekat di Malaysia tahun ini selepas Asia Sentinel yang beribupejabat di Hong Kong.

Pada 2015, kerajaan menyekat akses dalam talian kepada The Sarawak Report, laman berita yang beribupejabat di Britain, yang membuat liputan tentang Malaysia dan turut menerbitkan artikel yang mengkritik Najib.

Ancaman undang-undang

Sementara itu, organisasi media menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan dua wartawan Australia pada Sabtu, yang cuba menyoal Najib berhubung tuduhan rasuah.

Wartawan Australian Broadcasting Corporation (ABC), Linton Besser dan jurukamera Louis Eroglu ditahan selama enam jam selepas mereka cuba mendekati Najib di sebuah masjid di Kuching,  kata kumpulan  kebebasan media, Gerakan Media Marah (Geramm).

Pihak berkuasa menahan sementara pasport mereka,  kemudian mengarahkan mereka  terus berada di Kuching sehingga pihak berkuasa memutuskan sama ada memfailkan tuduhan jenayah terhadap mereka kerana “didakwa melepasi garis keselamatan dan secara agresif mendekati Perdana Menteri," kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dalam satu kenyataan.

CPJ menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk "menggugurkan semua ancaman undang-undang terhadap mereka" dan Geramm turut mengutuk penangkapan itu.

Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa ia "terpaksa menyuarakan kebimbangan mendalamnya terhadap layanan yang diberikan kepada pasukan [ABC]."

Kelab itu berkata ia " tidak melihat perlunya, berdasarkan penjelasan semasa kes itu,  menangkap kedua-dua wartawan itu.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.