Penganalisis beri amaran peningkatan sikap tidak bertoleransi di Malaysia

Muzliza Mustafa
2022.06.16
Kuala Lumpur
Penganalisis beri amaran peningkatan sikap tidak bertoleransi di Malaysia Sekumpulan wanita berpakaian tradisional Jepun bergambar ketika sambutan festival Bon Odori yang diadakan secara tahunan di Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur pada 20 Julai 2019.
[AFP]

Apabila seorang Sultan di Malaysia mengecam Menteri Hal Ehwal Agama Islam baru-baru ini kerana meminta umat Islam supaya tidak mengambil bahagian dalam sambutan kebudayaan masyarakat Jepun kerana ia mempunyai unsur agama lain, insiden berkenaan menarik perhatian ramai kepada meningkatnya sikap tidak bertoleransi di negara itu.

Di dalam titahnya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan amaran kepada Idris Ahmad supaya "tidak membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat" serta menyuruh menteri dari Parti Islam Malaysia itu, yang merupakan parti dalam gabungan kerajaan Persekutuan, supaya menghadiri festival Bon Odori untuk memahami perbezaan di antara budaya dan agama.

Walaupun insiden diplomatik dapat dielakkan, kejadian berkenaan telah membuatkan para pemerhati gusar mengenai situasi fundamental di negara yang berbilang agama dan kaum itu, ketika Malaysia masih sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 selain berdepan dengan kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Ada sebab yang munasabah di sebalik kegusaran tersebut, kata timbalan pengarah urusan firma penasihat pasaran Bower Group Asia, Asrul Hadi Abdullah Sani.

"Malaysia nampaknya bergerak ke belakang, dan sikap tidak bertoleransi yang kita lihat di sini sekarang adalah membimbangkan. Kita menuju ke arah haluan kanan yang kian melampau," kata Sani kepada BenarNews.

"Di Malaysia, agama dan bangsa selalu dijadikan bahan oleh sesetengah parti untuk mendapatkan sokongan politik... Hari ini isu yang dimainkan ialah Bon Odori, apa lagi selepas ini?"

Populasi Malaysia terdiri daripada 64 peratus penduduk beragama Islam, dengan lebih daripada separuh populasi negara itu adalah bangsa Melayu yang kebanyakannya Muslim. Komuniti lain termasuklah etnik Cina dan India.

Bon Odori adalah satu sambutan kebudayaan Jepun yang berasal dari ritual agama Buddha, tetapi beberapa pakar yang dipetik oleh media Malaysia berkata sambutan Bon Odori, yang dianjurkan setiap tahun sejak pertengahan 1970-an, sudah tidak lagi berkaitan dengan amalan keagamaan itu. Sambutan Bon Odori untuk tahun ini dijadual berlangsung pada Julai di Shah Alam, Selangor dan di Pulau Pinang.

Awal bulan ini, Idris menasihatkan umat Islam negara itu supaya tidak menyertai festival Bon Odori kerana mempunyai elemen agama lain. Walaupun kenyataan Idris mendapat kritikan Sultan Selangor, menteri berkenaan dan PAS masih mengekalkan pendirian mereka, menurut laporan media tempatan pada Khamis.

220616-MY-Ramli.jpeg

Ramli Ibrahim membuat persembahan tarian di Kuala Lumpur pada 30 Mac 2007. [Reuters]

'Napoleon Kecil'

Dalam sesetengah kes yang lain pula, bantahan serupa pernah dibuat oleh kumpulan lain yang berkongsi ideologi seperti PAS. Satu daripadanya ialah kes membabitkan Ramli Ibrahim, penari lelaki Melayu Islam yang terkenal dengan tarian klasik India yang dikenali sebagai Odissi, yang dilihat oleh umat Islam konservatif sebagai tidak Islamik.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah membatalkan satu sesi syarahan Ramli mengenai seni merentasi bangsa pada Jun 2021 selepas menerima nasihat daripada Pusat Islam universiti berkenaan.

Penari itu menyifatkan Pusat Islam universiti berkenaan sebagai satu cabang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang memainkan peranan utama dalam merancang hal ehwal agama Islam dan merupakan sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri.

Ramli, dalam satu catatan yang dimuat naik di Facebook, telah mengkritik Pusat Islam UTM kerana menghalang syarahannya.

"Pusat Islam adalah satu badan dasar moral yang bertindak untuk banyak institusi kerajaan dan separa kerajaan. Mereka mewakili JAKIM sebagai satu cabang untuk mengawal atau menentukan apa yang boleh 'disuap' kepada golongan populis, pelajar, pekerja dan sebagainya," tulis beliau.

"Sebagai sebuah badan Islam atau fasis yang dikawal oleh ‘Napoleon Kecil’, ia menapis tahap kebijaksanaan serta apa yang boleh didedahkan atau dipelajari oleh rakyat/pelajar/penonton."

Penganalisis politik Bridget Welsh menyifatkan JAKIM sebagai organisasi yang "mempunyai bajet tahunan kira-kira $300 juta dan ribuan petugas yang terbabit dalam memerhati perlakuan sosial masyarakat."

Ahli akademik dari Universiti Nottingham Malaysia itu serta beberapa pengkritik lain menyatakan bahawa JAKIM bertanggungjawab terhadap perpecahan agama yang berlaku dalam masyarakat Melayu.

"Pengurusan agama Islam oleh kerajaan telah dilihat menceroboh hak mereka yang bukan Islam dan ramai umat Islam terutamanya mereka dari mazhab minoriti menjadi sasaran pihak berkuasa," tulis Welsh dalam satu artikel yang diterbitkan pada Ogos 2020 untuk Carnegie Endowment for International Peace.

"Pada masa yang sama, perkembangan birokrasi keagamaan negara itu telah mewujudkan kepentingan untuk mempromosi agama, terutama interpretasi konservatif agama itu dal,m kalangan ulama...," tulis beliau.

Ramli menyifatkan situasi yang berlaku itu sebagai langkah mengundur ke zaman pertengahan.

"Malaysia semakin mengundur dalam sesetengah aspek... Sikap tidak bertoleransi ini membimbangkan," kata Ramli.

"JAKIM mengawal aktiviti kebudayaan di kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia dan saya melihatnya sebagai satu bentuk kemunduran."

Ramli dan Welsh juga menyalahkan sistem pendidikan negara itu.

"Dalam sistem pendidikan awam, kelas agama kebiasaannya mengambil separuh dari hari persekolahan dan pelajar diasingkan mengikut agama ketika sesi ini, yang mewujudkan rasa kebencian," tulis Welsh.

"Bilangan sekolah agama telah meningkat dengan mendadak, dan ramai pelajar membesar tanpa berkawan dengan mereka dari komuniti lain."

Beberapa parti politik dilihat menyentuh isu keagamaan kerana ia membabitkan masyarakat Melayu Islam yang merupakan majoriti di Malaysia, terutama di kawasan-kawasan luar bandar yang dilihat lebih konservatif.

Hamidin Abd Hamid, seorang ahli akademik di Universiti Malaya, berkata kesan dari kenyataan yang dikeluarkan Idris mengenai Bon Odori, ia mungkin "mempengaruhi parti lain dengan perlahan-lahan untuk mengikut jejak langkah mereka" terutamanya menjelang pilihan raya umum.

Hamidin berkata PAS mengeluarkan "nasihat" mengenai Bon Odori itu untuk "bermain dengan kad konservatif bagi mendapatkan sokongan Melayu."

Asrul Hadi dari Bower Group Asia turut berkongsi pandangan tersebut.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa ia berkemungkinan ada kaitan dengan pilihan raya umum," kata Sani.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.