COVID-19: Perintah Berkurung Libatkan Hostel Pekerja Kilang Top Glove
2020.11.16
Kuala Lumpur, Malaysia
Putrajaya pada Isnin mengarahkan supaya satu perintah berkurung secara bersasar dikuatkuasakan di sekitar kawasan kediaman yang menempatkan hostel pekerja kilang pembuatan sarung tangan Top Glove di Klang, yang terletak kira-kira 23 batu daripada Ibunegara Kuala Lumpur, selepas 215 pekerja syarikat itu dilaporkan positif virus COVID-19.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob memberitahu yang arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan [PKPD] selama 14 hari mulai Selasa sehingga 30 November itu telah dipersetujui Majlis Keselamatan Negara [MKN] selepas lebih ramai pekerja kilang Top Glove dijangkiti pandemik berkenaan.
"Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sidang khas MKN bersetuju untuk melaksanakan PKPD di asrama pekerja Top Glove, Klang, Selangor berkuat kuasa esok, 17 November sehingga 30 November 2020,
“Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama pekerja lelaki serta Jalan Abadi 1A/ KU8 dan asrama pekerja wanita serta Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8 yang melibatkan seramai 13,190 orang pekerja dan hampir 1,200 penduduk,” kata Ismail semasa sidang media di Putrajaya pada Isnin.
Menurut Menteri itu lagi, keputusan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa kesihatan melaksanakan aktiviti saringan COVID-19 secara bersasar kepada semua pekerja dan penduduk lain yang berada di dalam kawasan PKPD.
"Pihak Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan juga di asrama-asrama yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang tersebut," tambah beliau.
Top Glove, pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka di dunia mempunyai 23 buah kilang di sekitar kawasan Meru, Klang dengan hostel pekerjanya terletak tidak jauh antara satu sama lain.
Syarikat berkenaan yang mempunyai kesemua 30 buah kilang di seluruh negara itu dengan keseluruhan tenaga kerja lebih 21,000 di kesemua kilangnya itu.
Semakan BeritaBenar dengan pejabat Ismail mendapati bahawa arahan PKPD itu hanya meliputi kawasan tempat tinggal pekerja, dan kilang-kilang Top Glove tidak diarah tutup.
Bagaimanapun, kilang-kilang lain yang terletak berhampiran dengan kilang yang positif COVID-19 akan terus dibenarkan beroperasi kerana tidak termasuk dalam kawasan yang dikenakan perintah berkurung.
Top Glove dapatkan penjelasan
Dalam pada itu, Top Glove dalam siaran media yang dikeluarkan beberapa jam selepas pengumuman kerajaan menyatakan bahawa mereka akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan mengenai penguatkuasaan perintah berkurung keatas hostel yang menempatkan pekerja-pekerja asing syarikat berkenaan.
"Kami ingin memaklumkan bahawa Top Glove akan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa yang berkenaan mengenai penguatkuasaan PKPD dari 17 Nov 2020 hingga 30 Nov 2020, iaitu selama 14 hari, ke atas asrama pekerja asing yang terletak di Meru, Klang.
"Top Glove telah pada Ahad 15 Nov 2020 turut berhubung dan menghulurkan kerjasama ketika lawatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Ibupejabat Polis Daerah Klang ke atas premisnya.
"Kami akan terus bekerjasama secara rapat dengan pihak berkuasa, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja-pekerja kami ke arah meratakan lengkungan jangkitan dan membendung situasi ini," kata syarikat itu dalam kenyataannya.
Walaubagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh sama ada operasi Top Glove akan terjejas disebabkan perintah berkurung itu yang menyaksikan lebih daripada separuh tenaga manusianya tidak boleh keluar bekerja, atau bagaimana ia akan mengatasi masalah kekurangan sumber manusia bagi terus menampung keperluan operasi.
Top Glove pertama kali mengakui bahawa terdapat kes COVID-19 di kalangan warga kerjanya pada 5 Nov lepas melalui satu kenyataan media, dengan memberitahu bahawa seramai 17 pekerjnya disahkan positif Koronavirus selepas menjalani saringan yang diadakan pada 2 November.
Empat hari kemudian, ia menyatakan bahawa langkah membendung penularan virus di kalangan pekerja adalah "di dalam kawalan" dan susulan daripada itu, pada 13 Nov pula, syarikat itu sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang memberitahu langkah ketat melindungi pekerja serta komuniti, termasuk mengehadkan pergerakan staf kepada "perkara yang perlu" sahaja dibenarkan.
Pengeluar sarung tangan itu bagaimanapun tidak memaklumkan perkembangan terkini dan jumlah pekerja yang telah disahkan positif sejak 5 Nov.
Dalam pada itu, wakil rakyat bagi kawasan Meru, Fakhrulrazi Mokhtar Fakhrulrazi yang sebelum ini lantang menyuarakan kegusaran terhadap penularan virus di kalangan pekerja Top Glove menyambut baik tindakan kerajaan mengenakan PKPD itu.
"Alhamdulillah (syukur kepada Allah). Semoga segera selesai masalah COVID-19 di Jalan Teratai," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor itu, merujuk kepada nama jalan utama di kawasan penempatan pekerja yang terbabit.
Situasi penularan virus di kalangan pekerja juga dipercayai menyebabkan kejatuhan nilai saham Top Glove di Bursa Saham Kuala Lumpur, dan pengumuman keputusan kerajaan pada petang Isnin, nilai saham Top Glove dilaporkan telah turun sebanyak 7.46 peratus kepada RM7.20 sesaham.
Keputusan mengenakan PKPD di Meru itu dibuat ketika situasi pandemik di semenanjung Malaysia semakin merosot dengan jumlah kes dicatatkan di Lembah Klang kini telah meningkat melebihi kes di Sabah yang sebelum ini merupakan lokasi yang teruk dilanda wabak.
Menurut KKM sebanyak 1,103 kes baru dicatatkan di seluruh negara pada Isnin, dengan 544 daripadanya direkodkan di negeri-negeri di Lembah Klang dan Sabah sekitar 288 kes.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 1,103 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 48,520 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,601 kes," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam sidang media yang diadakan di Putrajaya.
Jumlah kematian berkaitan pandemik pula adalah sebanyak empat kes, menjadikan jumlah keseluruhan 313 kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia.