Malaysia Diminta Jalankan Siasatan Bebas Terhadap Kes Rasuah

Hata Wahari
2015.09.01
150901-MY-JOSE620 Jose Ugaz, Pengerusi Transparency International, menyampaikan ucapan pada satu majlis memerangi rasuah di Guatemala. 27 Mei 2015
AFP

Transparency International menggesa Putrajaya supaya menjalankan siasatan bebas terhadap semua dakwaan rasuah walaupun melibatkan pemimpin tertinggi dan seterusnya mendakwa mereka yang didapati bersalah.

Agensi itu membuat gesaan berkenaan sehari sebelum berlangsungnya Persidangan Antirasuah Antarabangsa Ke-16 (IACC) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, selama tiga hari sehingga 4 Sept ini.

Perdana Menteri Najib Razak yang kini berdepan dengan dakwaan rasuah berikutan pembayaran berjuta dolar ke sebuah akaun di bawah nama beliau, sepatutnya menghadiri persidangan itu sebagai ahli panel dan dijadualkan memberi ucapan. Bagaimanapun disahkan beliau tidak akan turut serta.

"Perdana Menteri tidak akan hadir sebagai ahli panel dan tidak akan memberi sebarang ucapan pada persidangan esok," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mustafar Ali pada Selasa.

Beliau berkata, sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low Seng Kuan akan menjadi ahli panel dan merasmikan persidangan IACC yang merupakan forum utama dunia untuk membawa bersama ketua-ketua negara, masyarakat awam, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani dan membanteras cabaran rasuah yang semakin sofistikated.

Krisis Rasuah

Malaysia sedang berdepan dengan krisis rasuah yang besar,” kata Pengerusi Transparency International Jose Ugaz dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Selasa.

Agensi berkenaan, diwakili oleh anggota rombongan 100 buah negara ahli telah mengeluarkan satu resolusi, sebelum bermulanya persidangan IACC pada Rabu,  yang menuntut SPRM dibenarkan beroperasi tanpa campur tangan politik.

“Jika Malaysia mahu mengharungi krisis rasuah yang dihadapinya kini, maka kerajaan perlu membiarkan mereka yang pakar menjalankan siasatan dalam kes rasuah, membuat kerja mereka tanpa sebarang campur tangan. SPRM perlu bertindak secara bebas tanpa campur tangan politik,” kata Jose.

TI ialah sebuah organisasi global bukan kerajaan yang sekretariatnya berpengkalan di Berlin, Jerman dan merupakan badan induk kepada Transparency International Malaysia (TI-M) yang dipimpin oleh Akhbar Satar.

Pada pasca persidangan itu, TI beserta agensinya telah meluluskan tiga resolusi semasa mesyuarat tahunan keanggotaan organisasi anti-rasuah itu.

Akhbar, yang merupakan Presiden TI-Malaysia memberitahu BeritaBenar, kesemua resolusi itu telah dibincangkan dengan mendalam, di mana agensi itu merasakan tugas dan tanggungjawab SPRM telah tergendala akibat campur tangan dari pihak yang berkepentingan di Malaysia.

SPRM dibawah Parlimen

Akhbar berkata, mesyuarat turut meminta satu kajian dijalankan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang bertindak sebagai badan yang menguruskan pengambilan dan penentuan kenaikan pangkat anggota.

‘’Paling penting kerajaan atau sesiapa yang berkuasa tidak boleh campur tangan dengan apa sahaja siasatan yang dijalankan oleh SPRM, sama ada melibatkan pegawai-pegawai kerajaan, menteri ataupun Perdana Menteri sekali,’’ katanya pada Selasa.

Pada Julai, Abdul Gani Patail diturun pangkat secara mendadak sebagai peguam negara, menimbulkan tuduhan wujud "teori konspirasi" bagi memastikan perdana menteri yang disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh terus mengekalkan jawatannya.

Gani ketika itu merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan kira-kira AS$700 juta didakwa dipindahkan dari 1MDB ke dalam dua akaun bank peribadi Najib Razak pada awal tahun 2013.

Tetapi, Najib telah menafikan sebarang salah laku sejak The Wall Street Journal, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, melaporkan bahawa penyiasat yang menyiasat pengurusan dana negara yang dibebani hutang, 1MDB, mendapati pemindahan beratus-ratus juta dolar yang sangat mencurigakan.

1MDB menanggung hutang AS$ 11 bilion, dan Najib, yang telah memecat pegawai-pegawai yang menyiasat skandal itu, adalah pengerusi lembaga penasihat dana itu.

Pegawai-pegawai yang rapat dengan Najib berkata, pemindahan wang itu adalah "sumbangan politik" yang sah daripada sumber Timur Tengah yang tidak dikenali, namun mereka tidak pula memberikan maklumat lanjut.

Transparency International berkata, Malaysia "setakat ini telah gagal untuk menangani skandal rasuah yang dihadapinya dan orang-orang yang berjawatan tinggi bertindak dengan sewenang-wenangnya terutamanya berhubung dakwaan mengenai Perdana Menteri".

Persidangan itu juga diadakan selepas berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia berhimpun di pusat bandaraya dalam satu perhimpunan yang dikendalikan kumpulan reformasi pilihan raya Bersih pada hujung minggu lepas.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencabar Najib untuk menggunakan persidangan IACC untuk memberi "penjelasan" mengenai wang berjuta-juta dolar yang didakwa dimasukan ke dalam akaun peribadinya serta masalah longgokan hutang 1MDB yang meningkat kepada RM42 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Jika tidak, IACC tidak sepatutnya diadakan di Malaysia, dan Malaysia tidak patut bangga menjadi tuan rumah persidangan… ia cuma merupakan satu lambang kehinaan dan aib," kata Kit Siang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.