Laporan nyatakan Najib dan delegasi Malaysia berbelanja mewah di hotel Washington milik Trump

Anggota Perwakilan dari parti Demokrat dakwa Trump menerima AS$7.8 juta daripada 20 negara ketika menjadi presiden, sekali gus melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat.
John Bechtel
2024.01.05
Washington
Laporan nyatakan Najib dan delegasi Malaysia berbelanja mewah di hotel Washington milik Trump Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyambut ketibaan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di luar West Wing White House di Washington, 12 September 2017.
[Mandel Ngan/AFP]

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerima jutaan dolar daripada 20 kerajaan asing termasuk Malaysia, Filipina dan Thailand dalam tempoh dua tahun pertama menyandang kerusi presiden, demikian menurut laporan Kongres Demokrat yang dikeluarkan pada Khamis.

Dalam laporan setebal 156 muka surat itu, Jawatankuasa Pemantauan dan Akauntabiliti Demokrat Dewan Perwakilan Amerika Syarikat mendakwa Trump menerima sejumlah AS$7.8 juta dalam tempoh dua tahun pertama semasa menyandang jawatan presiden itu menerusi bayaran kepada empat hartanahnya.

Ini termasuk Trump International Hotel di Washington serta Hotel Las Vegas dan dua hartanah di New York – Trump Town di Fifth Avenue dan Trump World Tower di Plaza Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Berikutan itu, perincian AS$7.8 juta dalam laporan ini yang berdasarkan rekod bagi hanya dua tahun semasa beliau menyandang jawatan presiden, adalah melibatkan empat daripada lebih 500 perniagaannya. Ini mungkin hanya sebahagian kecil daripada bayaran yang diterima oleh bekas Presiden Trump daripada kerajaan asing ketika memegang jawatan itu dan melanggar Fasal Emolumen Asing Perlembagaan," menurut kenyataan media yang mengiringi laporan itu.

China muncul sebagai negara yang mencatat perbelanjaan paling tinggi iaitu lebih AS$5.5 juta, menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan mengenai perbelanjaan mewah bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan delegasinya pada September 2017 walaupun ketika itu Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sedang menyiasat beliau atas peranannya dalam penyelewengan berbilion dolar daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dan delegasi Malaysia membelanjakan sejumlah AS$248,962 untuk bayaran bilik penginapan dan kemudahan dari 7 hingga 15 Sept dan pada 27 Sept 2017, ketika Trump meraikan Najib yang melakukan lawatan rasmi ke negara itu, menurut laporan berkenaan.

“Semasa kedua-dua pemimpin itu bertemu, siasatan DOJ ke atas 1MDB - yang akan menjadi kes 'kleptokrasi terbesar' - telah pun dijalankan sejak lebih setahun," menurut laporan itu. DOJ kemudiannya mendapati sejumlah US$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB.

Najib melawat Washington beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum diadakan pada Mei 2018.

najib-trump-pic-2.jpg

Diapit oleh pegawai dari kedua-dua negara, Presiden Donald Trump (tengah, kiri) bertemu Perdana Menteri Malaysia ketika itu Najib Razak (tengah, kanan) di Bilik Kabinet White House di Washington, 12 September 2017. [Kevin Lamarque/Reuters]

Kumpulan penyelidikan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di Washington, pula berkata Najib pasti gembira jika lawatan beliau dapat mengambarkan kepada rakyat Malaysia "bahawa siasatan AS hanyalah isu yang agak kecil" dan beliau telah diberi sambutan ke ke Pejabat Oval sebagai "pemimpin penting Asia Tenggara."

Namun, di sebalik usaha itu, Najib terpaksa melepaskan jawatan tersebut selepas tewas dalam pilihan raya umum dan kini dipenjarakan berikutan sabitan atas tuduhan yang berkaitan dengan anak syarikat 1MDB.

Memperincikan bil hotel delegasi Malaysia, laporan itu menyatakan bahawa Najib menginap di suite presiden yang bernilai AS$10,000 semalam. Caj tambahan termasuk AS$750 untuk "pergerakan perabot (bilik persalinan) bagi Kedutaan Malaysia," AS$1,500 untuk pelatih peribadi dan ribuan dolar "untuk mendapatkan bantuan butler untuk menghidangkan pelbagai sajian."

Hotel itu juga mengenakan bayaran terhadap Perkhidmatan Rahsia AS (organisasi yang bertanggungjawab melindungi presiden) lebih daripada AS$9,000 untuk bilik bagi melindungi delegasi Najib. Kadar bilik AS$650 semalam adalah "lebih daripada dua kali ganda kadar penginapan AS$231 bagi Washington."

'Berunsur Politik'

Delegasi dari sebuah lagi negara Asia Tenggara, Filipina, pula membelanjakan hampir AS$75,000 di Hotel Trump di Washington untuk majlis resepsi Hari Kebangsaan - "satu langkah yang diakui Duta Filipina ke AS sebagai “berunsurkan politik.”’

Sebulan selepas majlis resepsi pada 12 Jun 2018, Duta Besar Jose Manuel Romualdez mengumumkan Manila akan mula merundingkan cadangan perjanjian perdagangan bebas dengan Washington. Perjanjian itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Di samping itu, laporan itu mendakwa Trump yang masih bergelar presiden ketika itu, menerima berjuta-juta dolar dari bangunan pangsapuri Trump Tower Manila yang dibuka pada 2017. Merujuk kepada laporan New York Times, jawatankuasa itu menyatakan bahawa Trump, menerusi pendedahan kewangan beliau, sebaliknya melaporkan pendapatan lebih rendah daripada kompleks tersebut.

"Satu lagi aspek yang membimbangkan dalam projek itu ialah apabila imej Presiden Trump ketika itu digunakan untuk mempromosikan projek menara Manila selepas beliau mengambil alih jawatan walaupun terdapat jaminan daripada Pertubuhan Trump bahawa kempen pemasaran luar negara seperti itu akan dihentikan semasa penyandangan jawatan presidennya," menurut laporan itu.

"Episod yang membimbangkan ini menyusuli kempen pemasaran yang sama untuk projek Trump di India. Kedua-duanya menunjukkan kesediaan Donald Trump untuk berniaga semasa menjadi presiden."

Jawatankuasa itu turut melaporkan perbelanjaan terperinci oleh Thailand, yang jauh lebih rendah daripada Malaysia dan Filipina. Menteri pertanian dan koperasi Thailand dan pegawai lain membelanjakan AS$11,340 di Hotel Trump di Washington di antara 18 dan 24 Ogos 2018.

Kenyataan media laporan itu menyalahkan Anggota Perwakilan dari parti Republikan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa James Comer kerana menghalang siasatan ke atas Trump, yang sedang berusaha mendapatkan pencalonan Republikan untuk bertanding jawatan presiden menentang Joe Biden, yang mengalahkannya dalam pilihan raya 2020.

"Di sebalik usaha ini, laporan hari ini menjelaskan bahawa bekas Presiden Trump memenuhkan poketnya dengan wang tunai daripada kerajaan asing yang mahu mendapatkan kelebihan daripada dasar yang ada berbanding kepentingan rakyat Amerika Syarikat," kata anggota jawatankuasa itu, Jamie Raskin, D-Maryland.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.