Follow us

COVID-19: Malaysia Terus Tutup Sempadan, Lanjutkan Kawalan Pergerakan Sehingga Disember

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-08-28
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali (kiri) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz (kanan) bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya, 16 Mac 2020.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali (kiri) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz (kanan) bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya, 16 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia terus menutup pintu sempadan sehingga akhir tahun, dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID 19, walaupun jumlah kes di negara itu kurang daripada 10,000, dengan Perdana Menteri pada Jumaat berkata keputusan melanjutkan kawalan pergerakan dibuat berdasarkan jumlah kes tertinggi yang direkodkan di negara lain.

Walaupun Malaysia mencatatkan kes yang rendah sejak beberapa bulan lepas, tetapi keputusan menutup pintu sempadannya sehingga akhir Disember menurut Muhyiddin Yassin dibuat kerana situasi penularan COVID-19 di peringkat global menunjukkan ianya boleh mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan penularan pandemik itu.

"Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar. Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus super spreader di negara kita.

"Justeru itu, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020," kata Perdana Menteri dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui stesen-stesen televisyen utama dan di laman media sosial pada 8 malam Jumaat.

Malaysia bagaimanapun hanya membenarkan rentas sempadan bersyarat dengan Singapura apabila pada 17 Ogos lalu kedua-dua negara bersetuju membuka pintu sempadan yang merupakan laluan darat paling sibuk di dunia, selepas ditutup lebih enam bulan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19, demikian menurut pegawai dari kedua negara.

Pembukaan pintu sempadan melalui dua skim, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan juga Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketat yang ditetapkan sekaligus memberi ruang kepada ekonomi dua negara tersebut kembali rancak termasuk kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja, tetapi Putrajaya masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan warga asing masuk ke negara itu kecuali bagi kategori tertentu.

Dalam pada itu, sehingga Jumaat, pihak berkuasa kesihatan Malaysia berkata jumlah kes positif yang telah dikesan adalah sebanyak 9,306, termasuk 151 yang kini masih menerima rawatan di mana lapan daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan enam memerlukan alat bantuan pernafasan.

Data oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 125 kes kematian berkaitan COVID-19 di negara itu, termasuk enam warga asing dengan kali terakhir kes kematian direkodkan adalah tiga bulan lalu di Kedah.

Daripada 9,306 jumlah keseluruhan kes, 2,750 yang didapati positif adalah warga asing, termasuk mereka yang tinggal di Malaysia dan juga yang masuk ke negara tersebut dengan seramai 43 daripadanya masih dalam rawatan.

Di peringkat global pula, lebih daripada 24.4 juta kes jangkitan COVID-19 dengan lebih 833,000 kematian direkodkan, demikian menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Langkah menyekat pergerakan di dalam negara serta penutupan sempadan mula diperkenalkan pentadbiran Putrajaya sejak 18 Mac lalu, yang bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang hampir serupa seperti perintah berkurung. Selepas hampir dua bulan berada dalam PKP itu, kerajaan telah melonggarkan perintah berkenaan pada 4 Mei lalu selepas jumlah kes COVID- 19 yang dikesan menunjukkan pengurangan.

Sejak itu, kerajaan telah mula membenarkan pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat, dengan sekolah kembali dibuka pada 15 Julai.

PKPP adalah fasa yang terkini dalam langkah berkenaan, diperkenalkan bermula 7 Jun lalu dan pada mulanya dijadualkan untuk tamat pada 31 Ogos ini, iaitu pada hari Malaysia menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-63.

Walaupun kes penularan tempatan menunjukkan angka yang rendah di antara satu ke dua digit sejak beberapa bulan lepas, terdapat beberapa kluster jangkitan telah dikesan, termasuk tiga di Perlis dan Kedah yang bermula dengan seorang individu yang baru pulang dari India, manakala satu kluster lagi dikesan di Sarawak.

Sebelum ini, Malaysia dan Filipina mengumumkan bahawa satu strain COVID-19 yang biasa dijumpai di Eropah dan Amerika telah dikesan di kedua-dua negara dan berkemungkinan akan mencetuskan peningkatan jangkitan, kata pihak berkuasa kesihatan negara itu.

Sokong denda dinaikkan


Sementara itu, Muhyiddin dalam perutusan khasnya itu juga menyatakan bahawa kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha mencegah dan mengawal pandemik COVID-19, dan peraturan kuarantin yang ketat akan terus dikuatkuasakan di tempat-tempat tertentu bagi mengelakkan jangkitan.

Kuarantin ketat itu biasanya dikenakan oleh kerajaan di kawasan yang dikesan mempunyai kes penularan yang tinggi, seperti dalam kes di Kedah baru-baru ini yang melibatkan satu kluster yang dinamakan Kluster PUI Sivagangga.

Tambah Perdana Menteri, tiada sesiapa terkecuali daripada menuruti peraturan yang ditetapkan dalam usaha berkenaan.

Selain itu, Muhyiddin berkata beliau juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya jumlah denda di bawah Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit dinaikkan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan COVID-19, sekurang-kurangnya sebanyak dua ke tiga kali ganda. Di bawah peruntukan sedia ada, seseorang yang didapati bersalah di bawah Akta berkenaan berdepan denda maksima sebanyak RM1,000.

"Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal. Sehubungan itu, saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang. Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu," kata Muhyiddin.

Seorang pakar kriminologi ketika dihubungi BeritaBenar menyuarakan sokongan beliau terhadap hasrat untuk mengkaji semula akta 342 bagi meningkatkan kadar hukuman untuk pesalah yang melanggar prosedur standard untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.

Namun, menurut Akhbar Satar, adalah lebih bagus sekiranya Akta berkenaan turut memperuntukkan hukuman penjara bersama-sama dengan denda.

"Ia adalah cadangan yang baik, orang kaya masih boleh membayar denda dan mungkin hukuman yang ditetapkan patut bersama dengan penjara sekali, kerana kes membabitkan pandemik ini adalah kes yang berat dan boleh membawa kepada kematian.

"Denda melanggar PKPP juga perlu dilihat pada tahap risiko yang dibawa, dan bukan mengikut darjat di dalam masyarakat. Lebih tinggi tahap risikonya, maka lebih tinggi denda yang patut dikenakan," tambah beliau.

Tambahnya, mereka yang melanggar SOP PKPP dan didapati positif virus itu dan menyebabkan jangkitan kepada orang lain patut diberikan denda yang maksima.

Akhbar turut menyentuh mengenai kes membabitkan seorang menteri yang melanggar perintah kuarantin di rumah baru-baru ini, dengan menyatakan bahawa pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dengan tidak melanggar undang-undang.

Malaysia turut memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 yang dilihat menyokong kepada inisiatif pemulihan ekonomi oleh Putrajaya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang antara lain memberi pelepasan sementara daripada tanggungjawab dan pematuhan kepada perundangan tertentu bagi suatu tempoh ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.


Lihat Laman Penuh