PM Malaysia Lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 Sehingga 9 Jun

Ray Sherman & Noah Lee
2020.05.10
Kuala Lumpur, Malaysia
200510-MY-TSMY-Raya.jpg Anggota tentera yang memakai topeng hidung dan mulut berkawal di balik kawat berduri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di pekan lama Petaling Jaya, Malaysia, 10 Mei 2020.
[AP]

Malaysia pada Ahad melanjutkan perintah mengawal pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, dengan perdana menterinya juga mengumumkan larangan merentas negeri bagi mengelak masyarakat Muslim daripada pulang ke kampung untuk merayakan Aidilfitri bersama-sama keluarga mereka.

Perintah Larangan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sepatutnya berakhir pada Selasa depan tetapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan perlu melanjutkan tempoh itu selama sebulan lagi walaupun pihak berkuasa kesihatan Malaysia mencatatkan jumlah kes positif dan kematian baru akibat virus itu pada kadar lebih rendah  sejak beberapa hari lalu.

"Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini,”kata perdana dalam perutusan khas beliau yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

“Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” kata beliau. “Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi.”

Pengumuman oleh Muhyiddin itu merupakan yang keenam bagi lanjutan larangan pergerakan itu, dengan kali pertama kali dimulakan pada 18 Mac.

Minggu lalu, kerajaan membenarkan sebahagian besar sektor perniagaan dibuka semula dengan syarat yang ketat bagi mencegah penyebaran virus itu tetapi sekolah, rumah ibadat dan panggung wayang kekal ditutup di bawah tempoh lanjutan PKPB yang baru, menurut perdana menteri. Perhimpunan beramai-ramai di kawasan terbuka juga masih dilarang.

Kawalan pergerakan itu turut merangkumi larangan pergerakan beramai-ramai merentas negeri. Tempoh lanjutan PKPB yang baru itu juga melarang rakyat Malaysia daripada melakukan perjalanan merentas negeri semasa cuti Aidilfitri akan datang, yang bakal menjelang dua minggu lagi sempena menandakan berakhirnya Ramadan iaitu bulan puasa bagi umat Islam di negara itu. Tahun ini, sambutan Aidilfitri di Malaysia dijadualkan pada 24 Mei.

Selain itu, Muhyiddin berkata perjalanan merentas negeri juga dilarang semasa sambutan dua perayaan lain ketika tempoh lanjutan PKPB: Pesta Kaamatan dan Hari Gawai iaitu perayaan menuai yang disambut setiap tahun di negeri-negeri Borneo Malaysia di Sabah dan Sarawak.

“Saya minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,”kata beliau dengan merujuk kepada kepulangan beramai-ramai ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Bagaimanapun, beliau berkata rakan, jiran dan saudara-mara yang tinggal di negeri yang sama dapat mengunjungi kediaman masing-masing pada Aidilfitri asalkan mereka mengehadkan perhimpunan itu kepada kira-kira 20 orang pada satu-satu masa. Perdana menteri juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus mematuhi jarak sosial, memakai topeng hidung dan mulut serta sering mencuci tangan untuk mengelakkan jangkitan virus itu.

Dalam reaksinya terhadap pengumuman perdana menteri itu, peniaga Afiq Ahmad, 34, yang tinggal di negeri Selangor berkata tempoh PKPB itu sememangnya perlu dilanjutkan selagi kes dan kematian COVID-19 masih berlaku di negara itu.

"Saya tidak bersetuju dengan langkah membenarkan sehingga 20 orang berkunjung pada satu-satu masa, walaupun dalam kalangan jiran atau mereka di dalam negeri itu," katanya kepada BeritaBenar. "Kami tidak tahu sekiranya ada antara mereka  tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala penyakit.”

Pada Ahad, Malaysia mencatatkan 67 kes COVID-19 yang baru dan tiada kematian baru dilaporkan yang menjadikan kes virus itu di seluruh negara berjumlah 6,566 kes dengan 108 kematian. Di seluruh dunia, jumlah kes coronavirus kini melebihi 4 juta dengan hampir 280,000 kematian dicatatkan, demikian menurut data terbaru yang dikumpulkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.

Di Kuala Lumpur, seorang lagi rakyat Malaysia menyuarakan rasa leganya kerana beliau dapat meraikan berakhirnya Ramadan dengan saudara-mara yang tinggal di negeri yang sama dengannya.

"Ini sekurang-kurangnya membolehkan saya merayakan sambutan ini di rumah mertua saya," kata Ahmad Shahrir Ismail, 35, yang yang pada awalnya merancang untuk pulang ke negeri Terengganu bagi meraikan lebaran, kepada BeritaBenar.

"Namun, saya kasihankan rakan-rakan yang tidak mempunyai teman atau keluarga yang tinggal berdekatan."

PM berdepan tekanan

Muhyiddin menerajui kerajaan yang tidak dipilih oleh pilihan raya, dengan ia memegang tampuk kuasa pada awal Mac susulan kontroversi sebelum disusuli dengan kejatuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir Mohamad.

Semasa menghadapi krisis nasional berkaitan pandemik koronavirus, perdana menteri baru itu berdepan pula cabaran kepimpinan pada 18 Mei apabila Parlimen dijadualkan mengada sesi persidangan pertamanya sejak Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri. Pada  Jumaat, speaker Dewan Rakyat mengumumkan bahawa beliau telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan oleh Mahathir.

Muhiyiddin menyandang jawatan menteri dalam negeri semasa kerajaan pimpinan Mahathir sebelum beliau keluar daripada Pakatan Harapan untuk membantu membentuk kerajaan baru yang merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti yang menguasai politik Malaysia selama 61 tahun tetapi disingkirkan pada pilihan raya Mei 2018.

Pada Sabtu, Mahathir dan Anwar Ibrahim, ketua pembangkang yang baru dilantik, meraikan ulang tahun kedua kemenangan pakatan itu pada pilihan raya berkenaan dengan mengeluarkan kenyataan bersama.

Kedua-dua pemimpin politik itu menyatakan bahawa mereka telah mengetepikan perbezaan masing-masing dalam usaha untuk membawa Pakatan Harapan kembali berkuasa.

"Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama,” kata Dr Mahathir dan Anwar dalam laporan akhbar Straits Times. “ Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi. Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya."

Semasa mendepani krisis COVID-19 sebelum ini , Muhyiddin mengakui bahawa kerajaannya memegang tampuk kuasa bukan  melalui peti undi. Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan negara itu oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih, tetapi saya ingin anda semua tahu bahawa kerajaan ini akan menjaga anda," kata Muhyiddin dalam perutusan ke seluruh negara sebelum ini.

"Saya menerima kenyataan bahawa saya menjadi perdana menteri anda pada saat-saat yang getir ini. Saya menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan secara serentak,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.