Perdana Menteri Tidak Terlibat Bebaskan Anak Tiri Najib Razak, kata PMO

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.05.18
Kuala Lumpur, Malaysia
200518-MY-TSMY-Tommy1000.jpg Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, bersama barisan peguamnya tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 14 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak terlibat dalam keputusan untuk membebaskan anak tiri bekas Najib Razak dari pertuduhan pengubahan wang haram, dengan bekas Peguam Negara berkata ia adalah “perjanjian yang lebih menguntungkan tertuduh” tetapi “ mengerikan bagi Malaysia”.

Pejabat Perdana Menteri pada Isnin telah mengeluarkan kenyataan media tiga perenggan berhubung perkara itu yang antara lain memetik Muhyiddin sebagai berkata, persetujuan tersebut dicapai oleh pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan  Riza Shahriz Abdul Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

“Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, Tommy yang turut mengeluarkan kenyataan media pada Isnin berkata beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berkaitan dengan kes Riza sehingga beliau meletakkan jawatan pada 28 Feb.

“Keputusan mustahak membabitkan wang berbilion ringgit seperti ini yang menjadi perhatian umum seharusnya dilakukan oleh saya secara bertulis. Namun saya tidak menulis apa-apa, dan tiada sebarang tulisan yang wujud,” tegas Thomas.

Beliau berkata tujuan mendakwa Riza bukan untuk memperkuatkan peluang mendapatkan semula wang daripada  Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) kerana agensi tersebut tetap akan mengembalikannya kepada Malaysia.

“Riza tidak perlu mendapat kredit kerana mengembalikan wang yang bukan miliknya. Oleh itu, ini adalah perjanjian manis untuk Riza tetapi mengerikan bagi Malaysia,” tambah Thomas.

Riza, 43, anak kepada isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor melalui perkahwinan terdahulu sebelum ini berdepan lima tuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta (AS$1.2 juta), lima tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga pengerusi syarikat Red Granite Picture yang menghasilkan filem The Wolf Of Wall Street itu dilepaskan tanpa dibebaskan pada Khamis lepas, setelah berjanji mengembalikan lebih AS$100 yang digelapkan dalam skandal dana negara 1MDB.

Peguam Negara Idrus Harun pada Ahad berkata beliau membuat keputusan tersebut berdasarkan nasihat Thomas yang bersetuju secara prinsipal untuk menerima representasi tertuduh serta daripada nasihat dan perbincangan dengan ketua timbalan pendakwa raya kes Gopal Sri Ram dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Latheefa Koya.

“Setelah dibentangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang bertanggungjawab, saya berkongsi pendapat dengan (Tommy Thomas) sebagaimana yang diberitahu kepada saya dan bersetuju untuk menerima tawaran yang dibuat oleh Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan tegas kepada terma dan syarat,” kata Idrus.

Tommy Thomas yang membidas penggantinya itu berkata beliau tidak akan memberikan kebenaran terhadap perjanjian tersebut kerana melibatkan kredibilitinya serta mengkhianati kepercayaan pemimpin negara dan kerajaan.

“Saya akan kehilangan kredibiliti yang telah saya bina untuk berbakti sebagai pendakwaraya sebaik mungkin, jujur dan penuh profesionalisma di hadapan semua rakyat Malaysia jika saya meluluskannya.
Saya akan mengkhianati kepercayaan Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan kepada saya,” kata beliau.

Semasa kenyataan pertamanya pada Khamis lepas, bekas peguam negara menyatakan rasa terkejutnya selepas nama beliau dikaitkan dalam keputusan yang dibuat terhadap kes Riza yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan tersebut SPRM berkata keputusan itu telah dipertimbangkan dan dipersetujui Thomas.

Manakala pada Jumaat, Mahathir Mohamad dalam video pendek yang dikongsikan bersama media melahirkan rasa kelirunya berhubung kes Riza itu, walaupun tidak menyebut nama anak tiri Najib dalam video yang disiarkan.

Beliau turut berkata bahawa kerajaan mungkin terpaksa mengubal undang-undang sedia ada jika diluluskan di Parlimen, jika benar ada dalam undang-undang negara itu yang pencuri akan dibebaskan selepas memulangkan kembali harta yang dicuri.

“Adakah kita di masa hadapan kalau seseorang pencuri dia curi duit lepas tu dia kena tangkap dan dihadapkan ke mahkamah dan beritahu mahkamah duit yang saya curi tu saya bagi baliklah takkan kita nak kata okay? Okay, kita ambil duit balik dan dia dilepaskan.

“Saya tidak soal kuasa mahkamah untuk buat keputusan tersebut tinggal lagi saya perlu bertanya kerana saya ini seorang wakil rakyat yang terlibat dengan pembentukan undang-undang negara dan jika ada undang-undang begini saya fikir mungkin kita kena pinda undang-undang ini,” kata beliau lagi dalam nada sinis.

Impak kepada yang lain


Tom Wright penulis bersama buku Billion Dollar Whale, antara orang terawal yang membongkar mengenai skandal itu berkata keputusan pihak pendakwaan untuk melepaskan Riza menimbulan keraguan terhadap pendakwaan kes-kes lain membabitkan skandal kewangan terbesar dunia, 1MDB.

“Keraguan kini adalah sama ada pertuduhan pengubahan wang haram dan lain-lain pertuduhan terhadap bapa tiri Riza, bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang menjadi dalang di sebalik salahlaku ini bersama-sama Jho Low dan isteri Najib juga akan diringankan,” kata Wright yang sebelum ini menyiasat skandal tersebut ketika bertugas di Wall Street Journal kepada BeritaBenar.

Beliau turut merujuk kepada insiden pada tahun 2016 di mana Najib telah mengantikan Peguam Negara Gani Patail yang dalam proses menyiasat penglibatan perdana menteri itu dalam skandal tersebut dengan Peguam Negara baharu, Apandi Ali yang sebaliknya mendakwa wang 1MDB tersebut sebenarnya merupakan derma daripada Arab Saudi.

“Saya menjangkakan proses perundangan di Malaysia akan terus terjejas sepanjang proses perbicaraan ini,” kata beliau.

Najib yang akan kembali ke mahkamah pada Selasa untuk lanjutan perbicaraan kes 1MDB yang tertangguh akibat penularan wabak COVID-19, dalam beberapa siaran di laman Facebooknya, membela anak tirinya itu dengan memetik keuntungan yang terhasil daripada tiga filem Hollywood terbitan syarikat Red Granite milik Riza yang disifatkannya sebagai satu kejayaan apabila berjaya mengumpul sebanyak RM3.47 billion.

“Satu pun bukan hasil pendapatan dari kontrak ataupun konsesi kerajaan Malaysia. Semua adalah hasil dari perdagangan yang bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Najib pada Jumaat lalu.

Bekas perdana menteri itu yang turut berhadapan dengan perbicaraan kes anak syarikat 1MDB, SRC International telah diperintahkan untuk membela diri ke atas semua tujuh tuduhan penyelewengan dana tersebut pada 1 Jun setelah Hakim Nazlan Ghazali berpuashati dengan kes prima facie yang dibawa pihak pendakwaan.

Jika sabit kesalahan Najib berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun serta denda dan sebatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.