China Tuntut Hantar Pulang 11 Uyghur Ditahan di Malaysia: Pegawai

N. Natha
2018.02.08
Kuala Lumpur
180208-MY-uyghur-620.jpg Uyghur yang tinggal di Turki serta rakyat Turki yang menyokong mereka sedang melaungkan slogan sambil memegang bendera China sebelum membakarnya semasa protes berhampiran konsulat China di Istanbul, 5 Julai 2015.
[AP]

Polis Malaysia menahan 11 etnik Uyghur yang melarikan diri dari pusat tahanan Imigresen Thailand pada November 2017 dan para pegawai China menuntut supaya mereka dihantar pulang ke Beijing, kata pegawai keselamatan semalam.

Pelarian Uyghur itu telah disoal siasat tetapi dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas, menurut dua pegawai keselamatan Malaysia yang memberikan maklumat itu kepada BeritaBenar secara berasingan dengan syarat nama tidak disebut.

Mereka berkata, 11 lelaki itu adalah antara 20 etnik Uyghur yang melarikan diri dari pusat tahanan mereka di selatan Thailand. Pegawai memberitahu pada masa itu bahawa pelarian berkenaan mungkin telah menyeberang masuk ke negara jiran, Malaysia.

"Ya, China telah menuntut supaya mereka kembali ke negara itu," kata seorang daripada sumber Malaysia itu, yang mengesahkan laporan Reuters pada Khamis bahawa para pegawai China yang tidak dikenali telah berhubung dengan Kuala Lumpur untuk mengatur kemungkinan penghantaran pulang Uyghur yang takut akan penganiayaan dan penindasan terhadap mereka sekiranya pulang ke tanah air.

Pegawai Malaysia tidak memberikan maklumat lanjut kepada BeritaBenar mengenai bila etnik Uyghur berkenaan ditahan.

Etnik Uyghur Muslim yang berasal dari wilayah Xinjiang di barat China, di mana kumpulan hak asasi berkata, peraturan amat ketat yang dilaksanakan pihak berkuasa negara itu telah memaksa mereka melarikan diri ke luar negara.

Sumber-sumber Malaysia itu enggan memberi butiran lanjut kerana sensitiviti perkara tersebut.

Beberapa misi asing Barat cuba menghalang kerajaan Malaysia daripada menghantar pulang etnik Uyghur itu ke China, menurut Reuters.

"Mereka (Malaysia) ditekan hebat oleh China supaya menyerahkan etnik Uyghur itu kepada China dan bukannya kepada Thailand," kata sumber dalam laporan Reuters.

Di Washington pada Khamis, seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, para pegawai Amerika Syarikat "bimbang dengan laporan media mengenai kemungkinan Malaysia menghantar pulang individu Uyghur ke China."

"Kami menggesa pihak berkuasa China untuk mendukung norma-norma hak asasi manusia antarabangsa terhadap mana-mana individu yang telah kembali ke China, dan memastikan proses yang telus dan sepatutnya, serta keselamatan dan layanan yang sewajarnya diberikan kepada individu berkenaan," kata pegawai itu kepada BeritaBenar.

Dua puluh pelarian berkenaan adalah antara 200 etnik Uyghur yang ditahan pada 2015 selepas mereka ditemui di kawasan air terjun Tone Nga-Chang di wilayah Songkhla, Thailand. Tidak jelas bagaimana mereka tiba di kawasan itu.

Etnik Uyghur, yang bertutur dalam bahasa Turki, mendakwa bahawa mereka adalah orang Turki dan menuntut agar mereka dibenarkan pergi ke Turki, tetapi Thailand menempatkan mereka di pusat tahanan semasa pihak berkuasa cuba mengesahkan kewarganegaraan mereka.

Hubungan lebih kukuh di bawah kepimpinan Najib

Malaysia, yang telah mengukuhkan hubungan dua hala dengan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak, berkata pada November bahawa ia akan menghantar pulang seorang Uyghur yang melarikan diri itu kepada Thailand.

Tetapi pada 2011 dan 2012, Kuala Lumpur dikecam kumpulan hak asasi manusia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika ia menghantar pulang dua kumpulan etnik Uyghur ke China, termasuk mereka yang sedang menunggu pemprosesan tuntutan pelarian mereka.

China sering menjalankan "tindakan keras" di Xinjiang, termasuk melakukan serbuan polis terhadap isi rumah etnik Uyghur, sekatan amalan Islam, dan mengekang budaya dan bahasa etnik Uyghur, termasuk video dan bahan lain.

Dengan China menyalahkan beberapa etnik Uyghurs bagi serangan "pengganas", pakar-pakar di luar China menyatakan bahawa Beijing telah memperbesar-besarkan ancaman daripada etnik Uyghur dan dasar domestik yang menindas merupakan punca yang menyebabkan peningkatan keganasan di wilayah itu, yang telah mengorbankan beratus-ratus orang sejak 2009.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, memberitahu wartawan di Beijing bahawa beliau tidak tahu mengenai perkara itu, tetapi menambah kata bahawa negaranya akan bekerjasama dengan negara-negara yang berkaitan.

China, katanya, akan menghentikan kegiatan Imigresen haram mengikut undang-undang, bagi melindungi keselamatan dan kestabilan serantau secara bersama.

Sementara itu pada Khamis, Dolkun Isa, presiden Kongres Uyghur Sedunia yang berpusat di Jerman, menggesa Malaysia untuk tidak menghantar pulang 11 pelarian tersebut ke China dan menghormati prinsip antarabangsa mengenai larangan penghantara pulang dengan bekerjasama dengan UNHCR dan menempatkan semula pelarian itu di negara ketiga yang selamat.

"Apabila etnik Uyghur ini diserahkan kepada pihak berkuasa China, mereka akan berdepan dengan tindakan serta merta hukuman penjara, penyeksaan, kehilangan atau pun kematian," katanya kepada Perkhidmatan Uyghur di Radio Free Asia (RFA), entiti BeritaBenar. "Pelarian Uyghur, yang dihantar pulang ke China oleh Malaysia sebelum ini, telah pun lenyap."


Roni Toldanes di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.