Follow us

Sebelas Pelarian Uighur Terbang ke Turki Selepas Malaysia Gugur Pertuduhan Imigresen

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-11
E-mel
Komen
Share
Pelarian Uyghur di Ankara, Turki mengadakan tunjuk perasaan terhadap kerajaan China berhubung dakwaan penindasan di wilayah Xinjiang, 5 Feb 2018.
Pelarian Uyghur di Ankara, Turki mengadakan tunjuk perasaan terhadap kerajaan China berhubung dakwaan penindasan di wilayah Xinjiang, 5 Feb 2018.
(AP)

Kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pelarian Uighur dari wilayah Xinjiang, China ke Turki selepas menggugurkan pertuduhan di bawah akta imigresen ke atas mereka dan membebaskan mereka daripada tahanan, dalam satu langkah yang bertentangan dengan permohonan yang dibuat oleh Beijing agar mereka dihantar pulang ke negara itu, kata peguam mereka pada Khamis.

Langkah itu dibuat selepas sebuah Mahkamah Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan.

Fahmi Abdul Moin, seorang peguam yang mewakili pelarian Uighur terbabit berkata pihaknya telah menghantar sepucuk surat pada Julai kepada Pejabat Peguam Negara memohon agar pertuduhan terhadap mereka digugurkan.

Para pegawai Pejabat Peguam Negara serta Menteri Dalam Negeri dan timbalannya gagal dihubungi untuk mendapatkan komen pada lewat Khamis.

Dalam sepucuk surat yang dilihat oleh BeritaBenar, Fahmi membangkitkan isu dakwaan penindasan sistematik ke atas etnik Uighur yang kebanyakannya beragama Islam di Xinjiang dan diskriminasi terhadap mereka oleh kerajaan China, sehingga memaksa mereka melarikan diri dari negara itu.

“Oleh itu, anak guam saya adalah sebahagian daripada mangsa dalam kekacauan yang berlaku di wilayah Xinjiang dan mereka telah dipaksa melarikan diri,” kata Fahmi kepada BeritaBenar.

Beliau memaklumkan pihak pendakwaan bahawa anak guamnya telah memasuki Malaysia sebagai satu pusat transit sementara dan berharap untuk menyelesaikan kemelut berhubung status mereka sebagai pelarian dengan Suruhanjaya Tinggi bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum menyertai komuniti Uighur sedia ada di Turki.

Fahmi berkata mereka telah berlepas dari Malaysia ke Turki pada pagi Rabu.

Lari dari Thailand

Pelarian Uighur terbabit telah melarikan diri ke Malaysia selepas memboloskan diri dari sebuah pusat tahanan di selatan Thailand pada November 2017. Kesemua 11 pelarian adalah sebahagian daripada sekumpulan 20 orang yang memboloskan diri dari pusat tahanan itu dengan menggali lubang di sebuah dinding.

Penangkapan dan penahanan mereka di Malaysia kerana melanggar Akta Imigresen dengan memasuki negara ini secara haram diketahui umum pada Februari apabila para pegawai China mengemukakan permohonan agar mereka dihantar pulang ke Beijing.

Tidak lama kemudian pada bulan itu, Menteri Dalam Negeri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia sedang berunding dengan Thailand untuk menghantar pulang pelarian Uighur terbabit, manakala kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu Najib Razak telah mencari satu penyelesaian diplomatik dalam kes tersebut.

“Kami akan mengambil tindakan yang tidak  menggores perasaan mana-mana negara,” kata Zahid ketika itu.

Dolkun Isa, Presiden Kongres Uighur Sedunia yang berpangkalan di Jerman, telah menggesa kerajaan Malaysia agar tidak menghantar mereka ke China dan menghormati prinsip antarabangsa mengenai larangan penghantaran pulang dengan bekerjasama dengan UNHCR dan menempatkan semula pelarian terbabit di sebuah negara ketiga yang selamat.

“Apabila pelarian Uighur ini diserahkan kepada pihak berkuasa China, mereka akan berdepan dengan tindakan serta-merta penyeksaan dan hukuman penjara, mereka mungkin hilang atau berdepan kematian,” katanya kepada Radio Free Asia, entiti BeritaBenar.

Beliau berkata pelarian Uighur yang dihantar pulang ke China oleh Malaysia sebelum ini telahpun lenyap.

Hubungan antarabangsa

Keputusan Kuala Lumpur untuk membebaskan pelarian Uighur terbabit boleh menyebabkan hubungan Malaysia dengan China bertambah tegang.

Sejak mengambil alih kuasa pada Mei, kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menghentikan projek utama China termasuk pembinaan sebuah landasan kereta api dan dua saluran paip yang diluluskan oleh Najib, dengan alasan hutang negara yang bertimbun.

Dalam satu temu bual dengan Bloomberg News, pengganti Mahathir sebagai perdana menteri, Anwar Ibrahim, meminta agar rundingan damai diadakan dengan China berhubung tindakan kerasnya terhadap etnik minoriti Islam itu termasuk pemenjaraan pelarianUighur yang dilaporkan di kem-kem tahanan rahsia.

Anwar berkata kerajaan Malaysia telah membangkitkan isu pelarian Uighur dengan kerajaan China, yang melihatnya sebagai satu isu dalaman negara itu.

“Perkara ini telah dilaporkan oleh media arus perdana sebagai satu isu, dan saya percaya kita harus menggunakan forum yang betul untuk mula mengetengahkan kesemua isu ini dan mencari pemahaman ini daripada pihak berkuasa China,” katanya kepada Bloomberg.

Anwar turut berkongsi pandangannya mengenai mengapa kerajaan Islam mendiamkan diri berhubung isu pelarian Uighur.

“Mereka takut. Tiada siapa ingin berkata apa-apa,” katanya.

Lihat Laman Penuh