Serangan maut di balai polis cetus kebimbangan JI bangkit semula di Malaysia
2024.05.17
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 9 malam waktu tempatan ETS - 2024-05-17
Penganalisis keselamatan Malaysia pada Jumaat menyuarakan kebimbangan mengenai kebangkitan semula Jemaah Islamiyah (JI) yang sudah lama tidak aktif, selepas seorang suspek disyaki ahli kumpulan militan itu membunuh dua konstabel dalam serangan sebelum Subuh di sebuah balai polis di negeri Johor.
JI yang dikaitkan dengan al-Qaeda kekal sebagai gerakan bawah tanah bagi tempoh yang agak lama dan menunggu "saat yang tepat" untuk melakukan serangan sebagai bukti kewujudannya – dan mungkin kini masanya sudah tiba– kata pakar perisikan.
Serangan sebelum subuh di Ulu Tiram, yang terletak di selatan negeri Johor itu menyebabkan nama lokasi tersebut bersama kisah lama mengenainya kembali menghantui, kata penganalisis keselamatan Mohd Mizan Mohammad Aslam.
“Sebuah sekolah agama, kini sudah tidak beroperasi, Madrasah Lukmanul Hakim yang terletak di Ulu Tiram, pernah menjadi tempat pertemuan yang amat penting bagi ahli kumpulan pengganas itu... antara 1996 dan 1997.
"Kemuncak kegemilangannya, sekolah itu adalah tempat penyebaran ideologi militan dan ekstremisme,” kata penganalisis dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu kepada BenarNews.
“Ideologi JI [sudah wujud] di Ulu Tiram selama ini. Ia tidak pernah luput. Pengikutnya, iaitu penduduk di kawasan itu, terus mengindoktrinasi mereka yang tinggal dalam kalangan mereka,” katanya.
“Pergerakan ganas ideologi seperti itu akan kekal tidak aktif dan apabila tiba masanya mereka akan melancarkan serangan,” kata Mizan sambil menambah suspek JI mungkin memilih waktu ini untuk melakukan serangan tersebut kerana beberapa ahli politik pelampau giat menyebarkan kebencian agama dalam kalangan majoriti umat Islam di Malaysia yang berbilang agama.
Walaupun kaitan suspek dengan JI masih belum pasti, Munira Mustaffa, pakar memerangi keganasan berkata serangan itu membimbangkan rakyat Malaysia.
"Penyerang yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan bekas ahli JI, sebuah organisasi melibatkan aktiviti pengganas yang ketara pada masa lalu, menimbulkan kebimbangan orang ramai," kata Munira daripada Chasseur Group, sebuah perunding keselamatan, dalam satu makalah.
“Kejadian di Balai Polis Ulu Tiram telah mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan JI bangkit semula di Malaysia.”
Munira berkata serangan itu mungkin diilhamkan daripada serangan serupa yang dilakukan ke atas balai polis di Indonesia.
“Daripada corak serangan balai polis di Indonesia sebelum ini, terdapat kemungkinan penyerang cuba meniru kaedah tersebut,” katanya.
Serangan awal pagi
Menurut Ketua Polis Malaysia, terdapat pelajar lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an pada mulanya hadir untuk membuat laporan yang dilihat sebagai taktik mengalihkan perhatian sebelum suspek tiba di belakang balai polis.
Sejurus sebelum 2:45 pagi (Jumaat) kedua-dua mereka datang untuk membuat laporan polis mengenai satu kejadian yang didakwa berlaku dua tahun lalu, yang tidak logik," kata Razarudin.
Bagi beliau, adalah tidak mungkin seseorang akan datang ke balai pada awal pagi semata-mata untuk melaporkan kes yang sudah lama berlaku.
Ketika dua anggota polis sedang mengambil keterangan daripada kedua-dua pelajar itu, suspek tiba dengan bersenjatakan sebilah parang dan mula mencetuskan kekecohan.
Seorang daripada anggota polis yang sedang mengambil keterangan daripada dua pelajar tersebut keluar untuk melihat apa yang berlaku dan suspek menetak lehernya sehingga mangsa maut sebelum merampas pistolnya.
“Susulan itu, dua anggota polis kenderaan peronda bergerak, yang baru sahaja menyelesaikan tugas, kembali ke balai polis tersebut dan bertempur dengan suspek,” kata Razarudin.
"Seorang anggota kami mati setelah ditembak pada pipinya dengan peluru menembusi kepala manakala seorang lagi cedera ditembak pada bahu dan pinggang," kata beliau.
Anggota polis yang cedera kini berada di hospital.
Mengesyaki kemungkinan penglibatan mereka, polis turut menahan kedua-dua pelajar selain ahli keluarga suspek.
“Selepas siasatan awal, didapati suspek yang berusia 34 tahun adalah anggota Jemaah Islamiyah (JI)," kata Ketua Polis Negara itu kepada media namun beliau tidak mendedahkan identiti suspek.
“Bapa suspek juga ahli JI. Hasilnya, kami telah menahan lima ahli keluarga suspek berusia antara 19 dan 62 tahun bagi membantu siasatan.”
Ketika memeriksa rumah penyerang di Ulu Tiram, pinggir bandar yang terletak kira-kira 29 kilometer dari sempadan negara itu dengan Singapura, polis menemui banyak tulisan ayat al-Quran yang ditampal pada dinding.
Razarudin berkata siasatan mendapati motif suspek berkemungkinan mahu mendapatkan akses ke tempat penyimpanan senjata api dan mencurinya bagi memenuhi tujuan mereka.
Matlamat JI adalah untuk menubuhkan negara Islam di Asia Tenggara yang ditadbir oleh undang-undang syariah.
Kelongsong peluru yang ditanda dengan nombor oleh polis dilihat di lokasi serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, negeri Johor, Malaysia, 17 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Seorang lagi penganalisis berkata alasan berkaitan agama ketika ini menjadi faktor berlakunya serangan atas rasa tidak puas hati bahawa kerajaan 'sekular' sedang berkuasa.
“Ia adalah satu daripada banyak perkara yang boleh mencetuskan tindakan melampau. Sentimen itu bermula dari 2018,” kata Dina Zaman, pengasas bersama kumpulan pemikir Iman Research, kepada BenarNews.
Beliau merujuk kepada tempoh waktu kerajaan campuran yang dianggap 'sekular' melibatkan gabungan dalam Pakatan Harapan.
Pakatan itu kini mengetuai satu lagi pentadbiran campuran yang dinamakan Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum 2022.
“Ketika itu, mereka mendakwa Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang tidak baik untuk negara," kata Dina.
“Mereka berkata mereka akan membiarkan kerajaan Pakatan menikmati hari-hari mereka tetapi suatu hari nanti, kerajaan akan tahu bahawa mereka berada di sana.”
Kali terakhir JI dikaitkan dengan serangan atau insiden ganas di Malaysia ialah pada 2001 apabila sekutunya, pergerakan radikal tempatan dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) menyerang balai polis di negeri Kedah untuk mencuri senjata api.
Rangkaian Asia Tenggara
Jemaah Islamiyah, yang turut diharamkan di Indonesia dan Singapura serta disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Washington, dipersalah secara meluas bagi serangan di Filipina dan Indonesia termasuk pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman hotel di Jakarta pada 2009 yang meragut 12 nyawa.
Malah serangan bom bunuh diri berkembar 2009 ke atas dua hotel di Jakarta didalangi oleh pemimpin utama JI Malaysia, Noordin Mohammed Top. Dia dibunuh pada September tahun itu dalam pertempuran dengan polis di bandar Solo, wilayah Jawa Tengah, Indonesia.
Sejak kematian Noordin, rangkaian JI di Malaysia kebanyakannya tidak aktif, dengan sejumlah anggota yang disyaki ditangkap pihak berkuasa sedekad yang lalu.
Runtuhan kelab malam Sari dan bangunan sekitarnya, yang musnah dalam serangan bom, dilihat dari pandangan udara ini 15 Okt 2002 di Kuta, Bali, Indonesia. [Achmad Ibrahim/AP foto fail]
Bagaimanapun, di negara jiran Indonesia yang menjadi pangkalan sementara JI, tiada serangan besar berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kata polis antipengganas sambil menambah mereka telah menahan ramai anggota yang disyaki sejak sekian lama.
Pihak keselamatan republik itu juga mendakwa mereka telah menggagalkan serangan militan oleh suspek dengan siri penahanan tersebut.
Pada 2019, pihak berkuasa Indonesia menahan ketua JI, Para Wijayanto, di sebuah hotel di luar Jakarta.
Dia yang dipersalah atas serangan maut pengganas paling besar di Indonesia iaitu pengeboman Bali pada 2002, berada dalam senarai paling dikehendaki oleh kerajaan Indonesia sejak 2003.
Ideologi 'masih hidup'
Aizat Shamsuddin yang bekerja rapat dengan bekas militan, memberitahu BenarNews bahawa prinsip keyakinan kumpulan seperti JI kekal bagi mereka yang pernah menjadi ahli.
"Kami tahu bahawa terdapat risiko berlaku pengumpulan semula anggota kumpulan itu walaupun selepas beberapa ahli atau pemimpin mereka ditangkap," kata Aizat, pengasas kumpulan kempen Inisiatif Menggalakkan Toleransi dan Mencegah Keganasan, kepada BenarNews.
"Apa yang kita saksikan hari ini ialah ideologi dalam kalangan [bekas] ahli masih hidup.
“Di sebalik langkah pencegahan yang dipertingkat oleh pihak berkuasa, ideologi dalam kalangan anggota tetap utuh," jelasnya.
Beliau mengetahui perkara itu kerana pernah menjalankan kerja di lapangan dengan bekas militan membabitkan pemuda yang radikal.