Mahkamah Malaysia Tolak Saman Kerajaan Lucut Hak RM192 juta Milik UMNO

Nisha David
2020.02.07
Kuala Lumpur, Malaysia
200207-MY-UMNO-Court-1000.jpg Perwakilan Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berkumpul di hadapan potret presiden parti dan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO parti pemerintah Malaysia di Kuala Lumpur, 1 Disember 2016.
[AP]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak saman kerajaan Malaysia untuk melucut hak terhadap RM192 juta (AS$46.35juta) milik Parti Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu [UMNO] yang didakwa berkait dengan dana negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan wang RM192 juta telah diterima oleh UMNO daripada bekas Presiden parti itu Najib Razak, dan tidak juga mempunyai bukti untuk mengesahkan yang wang tersebut adalah daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Semasa prosiding berkenaan, Mohamed Zaini juga menolak saman Putrajaya untuk melucutkan dana yang didakwa berkaitan 1MDB, telah diterima oleh Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

"Bagi UMNO, saya berpendapat jumlah wang di dalam akaun bank responden (UMNO) sekarang ini tidak boleh dikatakan daripada atau sebahagian daripada jumlah itu telah disumbangkan oleh Najib. Pengeluaran daripada akaun bank responden dari masa wang itu didepositkan menunjukkan hujahan responden berasas bahawa wang itu telah lama dibelanjakan.

"Secara ringkasnya, tidak ada baki wang, yang dimasukkan oleh Najib dalam akaun, walaupun ia dianggap bahawa wang yang diterima adalah hasil yang tidak sah. Oleh itu permohonan pendakwaan ditolak,” kata Hakim itu semasa membacakan keputusannya, pada Jumaat.

Mohamed Zaini yang membaca penghakiman lisan secara ringkas juga berkata peguam UMNO berjaya menunjukkan tidak ada RM192 juta yang didakwa disimpan dalam akaun bank CIMB milik parti politik itu.

UMNO adalah antara 41 entiti dan individu yang dikenakan tindakan saman pelucutan-hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] untuk mendapatkan senula sejumlah RM270 juta (AS$65.18 juta) wang yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat dana negara 1MDB.

Najib, Anggota Parlimen Pekan, Pahang merupakan bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara itu yang berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah selepas mengaku tidak bersalah terhadap 42 pertuduhan berhubung pemindahan wang sebanyak $4.5 bilion daripada IMDB yang ditubuhnya pada 2009.

Beliau dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak Pakatan Harapan menawan Putrajaya selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, yang sekaligus menyaksikan parti gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara itu lebih 60 tahun hilang kuasa,

Pada 12 Mei 2018, iaitu beberapa hari selepas pilihan raya umum tersebut, Najib mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Mohamed Zaini juga memutuskan baki wang di dalam akaun bank UMNO pada Mei 2019 tidak berkaitan dengan sebarang duit yang didakwa didepositkan oleh bekas presidennya Najib Razak.

Jumlah lain yang dinyatakan dalam saman perlucutan-hak itu berjumlah RM300,000 (AS$72,428), RM337,634.78(AS$81,514), dan RM777,250 (AS$187,651) masing-masing dari Wanita MCA, Perano dan Binsabi.

Perano adalah anak syarikat firma tekstil Jakel Trading, manakala Binsabi merupakan syarikat pengurusan acara.

Dalam pada itu, UMNO dalam serahan kepada mahkamah pada Jumaat menegaskan bahawa wang sejumlah RM192 juta sudah dibelanjakan semasa pilihan raya umum lalu, antaranya untuk aktiviti politik lain.

Hakim berkenaan merujuk kepada pertikaian saman melucut hak bahawa RM192 juta hasil daripada kegiatan haram telah masuk ke akaun UMNO daripada akaun Najib melalui cek antara April dan Ogos 2013. Akaun UMNO kemudian dibekukan pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada siasatan oleh SPRM.

"Saya melihat baki akaun responden tidak boleh dikatakan sebahagian wang daripada Datuk Seri Najib Razak. Pengeluaran daripada akaun bank responden (sebelum akaun dibekukan pada 2018) memberi justifikasi kepada responden bahawa wang itu telah lama dibelanjakan.

"Tidak ada wang DSNR [Datuk Seri Najib Razak] dalam akaun yang ditinggalkan. Sekalipun kita menganggap wang itu datang dari sumber tidak sah, namun perintah melucut hak hanya boleh dibuat terhadap jumlah RM192 juta," kata Zaini.

Hakim berkenaan terdahulu itu, turut mengarahkan semua akaun bank yang terjejas supaya dibatalkan perintah pembekuan dengan serta-merta.

Batal perintah pembekuan

Walaubagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat membuat permohonan secara lisan untuk menangguhkan sementara perintah itu tanpa menunggu pendengaran permohonan rasmi pihak DPP untuk menangguhkan semua keputusan mahkamah pada Jumaat, sementara menunggu rayuan pendakwaan ke Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan Notis Rayuan secepat mungkin menjelang minggu depan.

"Kami percaya terdapat isu undang-undang yang perlu diselesaikan kerana ia melibatkan duluan (precedent) yang sangat penting yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan. Isunya di sini adalah isu permohonan di Mahkamah Rayuan akan menjadi tidak berguna.

"Kami bimbang jika akaun dibebaskan kepada responden dan jika keputusan rayuan memihak kepada perayu, maka kami akan menghadapi masalah dalam usaha untuk mendapatkan kembali jumlah yang dikeluarkan kepada responden, maka rayuan itu sia-sia," kata Mahadi.

Walaubagaimanapun, permohonan untuk menangguhkan sementara perintah menarik balik pembekuan akaun mendapat bantahan daripada empat peguam responden.

Zaini kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan sementara waktu perintah menarik balik pembekuan semua akaun bank berkenaan sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Perintah pembekuan kekal sehingga pelupusan permohonan penangguhan," kata Zaini.

UMNO dan Wanita MCA masing-masing diwakili peguam Hariharan Tara Singh dan Ben Chan, manakala Perano diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman dengan  peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan mewakili Binsabi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.