UMNO-PAS Umum Jalin Kerjasama Sebagai Pembangkang

Noah Lee & Radzi Razak
2019.03.05
Kuala Lumpur, Malaysia
190305-MY-UMNO-PAS620.jpg Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan yang juga memangku jawatan Presiden berjabat tangan dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung UMNO Annuar Musa di Ibupejabat UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, 5 Mac, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

UMNO dan PAS pada Selasa mengesahkan mengenai jalinan kerjasama yang sedang dibuat secara rasmi dalam usaha menyatukan ummah di negara itu, sambil menegaskan yang kedua-dua parti itu tidak akan bergabung.

Pengumuman mengenai kerjasama itu dibuat bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas delegasi kedua-dua parti itu selesai berbincang mengenai halatuju kerjasama dalam satu mesyuarat di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

"Setelah berbincang panjang lebar mengenai hala tuju kedua-dua parti, UMNO dan PAS telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama secara lebih formal.

“Ini bukan menyatuan atau pengabungan dua parti tetapi ini adalah kerjasama antara dua parti untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum lain – Cina dan India,” kata Mohamad.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, kedua-dua parti telah sepakat untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Khas Teknikal yang akan dipengerusikan bersama oleh naib presiden UMNO dan PAS bagi memperincikan bentuk kerjasama baru itu.

Menurutnya lagi, Jawatankuasa yang berkuat kuasa serta merta itu telah diberi selama sebulan setengah untuk membentangkan hasil kajian kepada jawatankuasa induk UMNO dan PAS.

Timbalan Presiden UMNO itu kini turut menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO susulan keputusan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi untuk berehat daripada tugas parti pada Disember lalu.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pada sidang media yang sama berkata “Ini keputusan bersama untuk bekerjasama atas dasar parti masing-masing. Kita cuba mencari titik persamaan dalam penyatuan ummah.”

Menang pilihan raya

Pengumuman kerjasama UMNO dan PAS itu dibuat tiga hari selepas kerjasama tidak rasmi antara kedua-dua parti yang membawa kepada kemenangan calon UMNO dalam Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor, serta tidak sampai 24 jam selepas dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC menyatakan kesediaan mereka untuk meninggalkan gabungan parti itu yang diterajui UMNO.

Ia adalah kemenangan kedua UMNO dalam pilihan raya kecil hasil kerjasama dengan PAS selepas UMNO gagal mengekalkan kuasa memerintah kerajaan persekutuan apabila kecundang kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14  pada Mei tahun lepas.

Satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan iaitu bagi kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan, yang sebelum ini disandang oleh Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad selaku calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah tidak sah dan terbatal.    

Mohamad juga memberitahu sidang media itu bahawa UMNO dan PAS bersetuju untuk meneruskan gerak kerja bersama mereka dalam setiap pilihan raya kecil pada masa depan selain memantapkan lagi kaukus pembangkang, yang akan berperanan sebagai ejen ‘semak dan imbang’ pentadbiran negara.

"(Kami) setuju untuk memantapkan kerjasama kedua-dua parti di Parlimen sebagai kaukus pembangkang yang akan menjadi ejen 'semak dan imbang’…akan menjadi pembangkang yang akan membahaskan apa sahaja isu dan memberi sokongan kepada apa saja yang mendatangkan manfaat kepada negara dan tidak akan bersetuju jika tidak mendatangkan manfaat dan mendatangkan mudarat pada negara," katanya.

Beliau menjelaskan hasil perbincangan pada Selasa itu akan dibawa UMNO dan PAS ke peringkat parti sekutu masing-masing iaitu Barisan Nasional bagi UMNO dan Gagasan Sejahtera bagi PAS.

“Ini kerana kerjasama tersebut tidak akan meminggirkan rakan-rakan parti kami,” tegas Mohamad.

Sementara itu, pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, dalam reaksi terhadap pengumuman itu berkata terdapat isu yang lebih penting selain daripada soal perpaduan Melayu yang dibawa UMNO dan PAS.

Ini kerana, katanya, bukan semua orang Melayu menganggotai PAS dan UMNO sebaliknya ramai yang menjadi ahli parti-parti lain seperti PKR.

"Jadi yang penting bukan soal perpaduan Melayu saja tapi memantapkan kedudukan Islam, memartabatkan bahasa, dan menjaga kepentingan semua rakyat dan kaum negara kita.

"Bagi saya, isunya adalah isu urus tadbir baik dan usaha yang telus membantu semua rakyat. Dan, majoriti rakyat miskin dan terabai adalah dari kalangan orang Melayu," katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai cabaran yang bakal dihadapi Pakatan Harapan susulan kerjasama rasmi dua parti berkenaan.

Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata pendekatan Pakatan Harapan bagi membela semua kaum di Malaysia adalah satu pendekatan yang bijak dan boleh menyelesaikan masalah rakyat dalam kumpulan B40 (kumpulan berpendapatan rendah) yang memerlukan pembelaan.

Sementara itu, penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi menyifatkan pengumuman UMNO dan PAS itu tidak lebih daripada hanya kerjasama antara dua parti yang berbeza dan tidak melibatkan gabungan dari segi struktur kedua-dua parti berkenaan.

Beliau berpendapat gabungan secara struktural hanya akan merugikan kedua-dua parti berkenaan dari segi politik.

"Gabungan UMNO dan PAS secara struktural akan merugikan politik parti-parti itu sendiri selain boleh menyebabkan berlakunya perebutan kuasa dalaman, perbezaan ideologi serta hilang kerjasama strategik yang berjaya meraih kejayaan besar seperti yang ditunjukkan pada (pilihan raya kecil) di Cameron Highlands dan Semenyih.

"Formula kerjasama ini perlu dikekalkan pada masa ini sehinggalah formula terbaik ditemui agar prestasi dan kejayaan lebih menyeluruh dapat dicapai," katanya.

Beliau juga melihat bahawa kerjasama itu kelak akan memberi kesan kepada kawasan yang majoritinya diduduki kaum Melayu.

"Orang Melayu kini ada dua pilihan apabila UMNO dan PAS dilihat mahu bekerjasama atas kepentingan etnik dan agama. Namun kerjasama ini perlu menyakinkan etnik dan agama lain bahawa dasar ini tidak menjejaskan kepentingan mereka," katanya.

Aiman Abd Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.