Mesyuarat tergempar UMNO mahu pilihan raya umum disegerakan

Ketua Pemuda UMNO nafi mesyuarat tergempar bincang meminta PM Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah Najib Razak.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Nisha David
2022.08.22
Kuala Lumpur
Mesyuarat tergempar UMNO mahu pilihan raya umum disegerakan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyuapkan telur ke mulut Perdana Menteri Ismail Sabri (kanan) selepas upacara memotong pulut kuning semasa sambutan Hari UMNO ke-76 dan Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, 15 Mei 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Presiden dan pimpinan parti UMNO, parti politik berkuasa di Malaysia, pada Isnin menggesa supaya Pilihan Raya Umum diadakan segera, di mana gesaan itu timbul sehari selepas Perdana Menteri negara itu menyatakan bahawa beliau hanya akan memanggil pilihan raya apabila keadaan "bersedia" selepas menangani kemerosotan ekonomi yang dijangka akan berlaku serta skandal terbaru kerajaan membabitkan satu projek pembinaan kapal tentera laut.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Asyraf Wajdi Dusuki menafikan beberapa laporan media memetik sumber yang mendakwa majoriti ketua bahagian parti tersebut yang menghadiri mesyuarat tergempar di ibupejabat UMNO di PWTC pada Isnin telah menolak satu usul supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak.

"Hasil daripada mesyuarat pada hari ini ialah ketua-ketua bahagian parti mahukan supaya pilihan raya diadakan segera.

"Keputusan yang dibuat sebentar tadi menyaksikan semua pimpinan UMNO yang hadir sebulat suara mahukan supaya Pilihan Raya Umum dibuat secepat mungkin," kata Ketua UMNO bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos kepada media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Menurut mesej jemputan mesyuarat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan, Presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi telah memanggil pemimpin parti itu dari seluruh Malaysia untuk menghadiri mesyurat tergemar bagi membincangkan satu perkara yang amat penting berkaitan masa depan parti dan oleh itu mesti diadakan segera.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang merupakan naib presiden UMNO dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat tersebut yang selesai pada waktu tengahari kerana Ahmad Zahid perlu menghadiri perbicaraan kes rasuah terhadapnya

Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 21 Ogos 2021, dalam satu temuramah bersama media sempena ulangtahun pertamanya memegang jawatan itu, berkata "walaupun mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan, cabaran sekarang adalah untuk menentukan masa yang sesuai untuk membuat Pilihan Raya Umum."

"Kita mesti mencari masa yang sesuai untuk membuat pilihan raya. Kita mesti melihat peluang untuk menang jika kita buat pilihan raya pada tahun ini atau tahun depan.

"Sejak 2018, sudah berlaku perubahan kerajaan sebanyak tiga kali dan lebih baik rakyat diberikan peluang untuk memilih kerajaan yang baharu. Tetapi masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan, terutama sekali ekonomi," kata Ismail, seperti dipetik media tempatan pada hujung minggu.

Tempoh pemerintahan kerajaan semasa berakhir pada Jun tahun depan dan pilihan raya perlu diadakan menjelang September 2023.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata Barisan Nasional (BN) menghadapi risiko kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang sekiranya ia tidak dibuat dalam masa beberapa bulan dari sekarang.

Ahmad Zahid yang merupakan pengerusi BN berkata gabungan itu kini mempunyai kekuatan dan beliau "amat yakin" dengan peluangnya memenangi pilihan raya, dan ia perlu dibuat secepat mungkin sementara mereka mempunyai kelebihan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak mahu parti pembangkang terus mengasak BN dalam bulan-bulan akan datang sekiranya PRU15 dilewatkan hingga ke tahun hadapan.

"Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang," kata Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang kini berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah termasuk 12 dakwaan pecah amanah jenayah, lapan dakwaan rasuah, dan 27 dakwaan pengubahan wang haram membabitkan wang jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Najib pula berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta selepas beliau disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah pada 28 Julai 2020. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember lepas.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun masih bebas dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhir beliau selesai di Mahkamah Persekutuan.

Pada minggu lepas, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan oleh peguam Najib untuk memasukkan bukti baharu ke dalam kes berkenaan serta untuk mendapatkan penangguhan pendengaran rayuan beliau bagi mengenepikan sabitan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim kemudian menetapkan tarikh pendengaran rayuan antara 23 dan 26 Ogos.

Pada malam Ahad, bekas perdana menteri itu juga membuat upacara sumpah laknat di Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur, di mana beliau sekali lagi bersumpah tidak mengetahui bahawa wang yang masuk ke akaun banknya adalah daripada syarikat SRC International, yang merupakan anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB.

NAJIB_SUMPAH_LAKNAT_SRC_BENARNEWS_04.jpg

Bekas Perdana Menteri Najib Razak membuat sumpah laknat selepas menunaikan Solat Hajat dan Zikir Munajat berhubung rayuan akhir kes melibatkan SRC International Sdn Bhd (SRC) di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur, 21 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Beberapa media tempatan pada Isnin memetik sumber sebagai berkata mesyuarat tergempar oleh UMNO itu adalah bertujuan mendesak Perdana Menteri supaya campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Najib dengan ramai ketua bahagian yang hadir pada pertemuan itu tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin utama UMNO tanpa menyebut nama siapakah pemimpin utama itu.

Asyraf yang merupakan ketua sayap pemuda parti itu telah menafikan laporan media tersebut dengan berkata berita itu adalah fitnah dan tidak bertanggungjawab serta tidak beretika sehingga mencetuskan persepsi negatif.

"Saya turut berada dalam Mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengahari. Tiada langsung agenda perbincangan mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya.

Apakah logik untuk mendesak PM campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan? Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini. Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU-15," tegas beliau dalam satu kenyataan yang disiark di laman media sosial Facebooknya pada Isnin.

Enggan campur tangan

Penganalisis politik Malaysia Tunku Mohar Mokhtar berkata Ismail Sabri enggan campur tangan dalam proses perbicaraan terhadap pemimpin UMNO.

"Beliau diberikan tekanan oleh parti sendiri supaya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Akan tetapi setakat ini beliau masih dapat bertahan.

"Saya rasa beliau akan terus dapat bertahan, tetapi sekiranya berdepan dengan kata dua - contohnya; bubar Parlimen atau hilang keahlian UMNO, yang akan menyebabkan beliau hilang kerusi Perdana Menteri - beliau mungkin terpaksa akur," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun dari Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura pula percaya bahawa kelemahan utama Ismail Sabri ialah kegagalan beliau untuk mendapatkan sokongan majoriti walaupun setelah banyak kali mencuba.

"Beliau mempunyai dua kejayaan besar setakat ini, satu kejayaan aktif dan satu kejayaan pasif. Kejayaan aktif beliau ialah Akta Anti-Lompat Parti manakala kejayaan pasif pula ialah pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam kebebasan mahkamah," kata Oh kepada BenarNews.

Ahli Parlimen pembangkang Charles Santiago pula menyifatkan gesaan supaya perdana menteri mencampuri urusan mahkamah adalah sesuatu yang akan mencemari imej institusi kehakiman dan menghantar mesej salah kepada orang ramai bahawa mereka yang berkuasa boleh bebas daripada hukuman.

"Saya berasa lega PM kekal dengan prinsip tidak memihak... Adakah ini satu usaha untuk memastikan Zahid Hamidi tidak masuk penjara? Adakah ia satu langkah kreatif untuk membebaskan Najib Razak sekiranya beliau didapati bersalah? Kedua-dua mereka mesti berasa amat gentar sekarang ini sehingga sanggup mengambil langkah terdesak seperti ini.

"Saya baca mengenai ketua-ketua bahagian UMNO memberikan desakan kepada PM supaya membubarkan Parlimen, satu lagi cubaan terdesak untuk mengelakkan kluster mahkamah daripada masuk penjara. Ia bukan saja menunjukkan bagaimana korup UMNO ini tetapi juga menunjukkan bahawa pemimpin mereka sanggup berbuat apa saja untuk melindungi sesama mereka," kata beliau kepada BenarNews.

Nani Yusof di Washington dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.