PBB Gesa 'Pembebasan Serta Merta' Anwar Ibrahim
2015.11.01

Sebuah panel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, dibebaskan segera daripada penjara, dan berkata beliau ditahan secara tidak sah, demikian menurut pasukan perundangan antarabangsa Anwar.
Kumpulan Kerja PBB Mengenai Penahanan Sewenang-wenangnya itu, memutuskan bahawa ‘penafian hak kebebasan’ Anwar telah dibuat ‘dengan sewenang-wenangnya’, kata pasukan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.
“Dengan mengambil kira semua keadaan kes itu, Kumpulan Kerja itu berpendapat bahawa penyelesaian yang mencukupi adalah dengan membebaskan Encik Anwar dengan segera," kata pasukan itu pada Isnin.
Kumpulan Kerja itu, yang di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB, terdiri daripada pakar-pakar dari Australia, Benin, Mexico, Korea Selatan dan Ukraine.
Pasukan perundangan Anwar berkata, Malaysia perlu mematuhi keputusan kumpulan kerja itu, yang diberi tanggungjawab untuk menimbang dan menyatakan pendapatnya mengenai dakwaan kes penahanan sewenang-wenangnya.
"Kerajaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB dari 2006-2009, dan 2010-2013. Ia perlu mematuhi pendapat dan cadangan yang dibuat kumpulan ini.”
Anwar, bekas pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat, baru menjalani hukuman penjara lapan bulan daripada lima tahun yang diperintahkan mahkamah kerana kesalahan meliwat.
Banyak kumpulan hak asasi berkata, pendakwaan itu bermotifkan politik dan bertujuan menghapuskan ancaman politik kepada parti UMNO yang memerintah.
Pejabat Hak Asasi PBB, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain pernah menyuarakan kekecewaan mereka berhubung tindakan penjara terhadap Anwar.
"Saya amat bersyukur bahawa PBB telah menggesa supaya Anwar dibebaskan," Nurul Izzah Anwar, anak perempuannya yang juga Ahli Parlimen, dipetik sebagai berkata.
"Pendiriannya yang utuh berdasarkan semangat setiakawan dengan bapa saya menghantar mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Najib Razak, dan memastikan penyusutan mendadak dalam soal hak asasi manusia di bawah pentadbiran beliau disedari ramai," katanya.
Anwar merupakan timbalan perdana menteri Malaysia dari 1993 hingga 1998, pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pemimpin pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.
Kes liwat itu berlaku pada 2008 apabila seorang pembantu politik Anwar mendakwa mereka berdua telah mengadakan hubungan seks secara rela.
Anwar dibebaskan pada 2012 kerana mahkamah berpendapat kurangnya bukti bagi kes itu, tetapi Mahkamah Rayuan kerajaan membatalkan keputusan itu dan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya pada Februari 2015.