Malaysia Lancar Pencarian Baru Pesawatnya yang Hilang

Hadi Azmi
2018.01.10
Putrajaya, Malaysia
180110-MY-MH370-1000.jpg Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai (ketiga dari kanan) bercakap kepada wartawan selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity Ltd, sebuah firma Amerika Syarikat, atas persetujuan untuk melancarkan pencarian baru bagi serpihan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 370 (MH370) di Putrajaya, 10 Januari 2018.
[HadiAzmi /BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membayar sebuah firma Amerika Syarikat sehingga AS$ 70 juta untuk mencari bangkai Pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang empat tahun lalu,  meliputi kawasan pencarian seluas 25,000 km persegi di Lautan Hindi.

Pihak kerajaan dan firma yang berpangkalan di Houston, Texas, Ocean Infinity Ltd  telah  menandatangani perjanjian. Firma itu hanya akan dibayar jika lapan buah Autonomous Underwater Vehicles (AUV) berteknologi tingginya menemui rangka serpihan dari persawat Boeing 777 yang hilang atau perakam kotak hitam pesawat dalam tempoh tiga bulan bermula "tidak lama lagi."

"Kontrak ini adalah atas dasar 'tanpa penemuan, tiada bayaran' dalam tempoh 90 hari. Operasi pencarian dijangka bermula pertengahan Januari 2018, " kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu pada Rabu di Putrajaya.

Pencarian baru itu merupakan usaha yang pertama untuk tahun ini untuk meneruskan pencarian di dasar laut dalam misinya untuk mencari penyelesaian di dalam kes pesawat MH370, yang dipercayai telah terhempas ke Lautan Hindi, bersama 239 penumpang dan anak kapal, selepas lenyap daripada pandangan radar semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada Januari tahun lepas, Malaysia, China dan Australia menamatkan pencarian pesawat yang hilang itu selepas menghabiskan masa hampir tiga tahun menjelajah kawasan seluas 120,000 km persegi (46,332 batu persegi) di perairan Lautan Hindi berhampiran pantai barat Australia. Kawasan pencarian itu dipilih berdasarkan analisa satelit dari penerbangan yang tersasar daripada laluannya.

"Kepada semua ahli keluarga dan orang tersayang MH370, kami bersama anda pada masa-masa yang sukar ini," kata menteri itu kepada saudara-mara penumpang dan anak kapal yang hadir pada majlis tersebut.

Menteri itu berkata, Ocean Infinity akan mencari bangkai penerbangan MH370 di kawasan yang ditetapkan di selatan Lautan Hindi dari 5,000 km persegi (1,930.5 batu persegi) hingga sekurang-kurangnya 25,000 km persegi (9,652.5 batu persegi).

"Ocean Infinity akan mengambil risiko ekonomi pencarian baru, hanya menerima bayaran jika bangkai pesawat ditemui," kata firma itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya pada Rabu.

Laluan penerbangan MH370. [AP]

Pencarian bermula 17 Jan

Di bawah syarat-syarat perjanjian itu, kerajaan akan membayar firma berkenaan sebanyak AS$20 juta (RM80.1 juta) jika pesawat ‘drone’ dasar lautnya menemui serpihan rangka pesawat di dalam kawasan seluas 5,000 km persegi, atau sehingga AS$50 juta (RM200.4 juta) bagi kawasan sekunder berikutnya yang meliputi sehingga 25,000 km persegi (9,652.5 batu persegi), kata para pegawai.

Jika kapal selam itu menemui bangkai kapal terbang di luar radius 25,000 kilometer persegi, Malaysia akan membayar syarikat itu sebanyak AS$70 juta (RM280.6 juta), kata para pegawai.

"Ketika ini, kapal Seabed Constructor sedang dalam perjalanan ke kawasan pencarian, mengambil kesempatan  keadaan cuaca yang baik di selatan Lautan Hindi," kata Tiong Lai, merujuk kepada sebuah kapal yang membawa lapan AUV dan dikendalikan oleh Ocean Infinity, firma yang mempunyai kepakaran dalam pengumpulan data geofizik dasar laut.

Kapal berkenaan mempunyai 65 kru, termasuk dua wakil kerajaan Malaysia, kata para pegawai.

Menurut kontrak, Ocean Infinity akan diberi ganjaran wang jika firma itu dapat menunjukkan lokasi lapangan serpihan atau menemui Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan(FDR)/kotak hitam dalam tempoh 90 hari dalam kawasan lingkungan 25,000 km persegi (9,652.5 batu persegi).

Oliver Plunkett, Ketua Pegawai Eksekutif firma itu yang menghadiri majlis menandatangani berkenaan, berkata teknologi imej yang dibangunkan oleh pasukannya, serta data baru mengenai pergerakan semasa, akan membolehkan mereka mengenal pasti lokasi rangka serpihan dengan ketepatan yang lebih baik daripada usaha terdahulu mulai 17 Januari.

"Kami mempunyai lapan peralatan dasar laut atau ‘drone’ dasar laut, yang boleh menyapu lantai laut sambil menghantar maklumat kembali ke kapal," katanya kepada wartawan.

Lapan AUV yang "bebas terbang” bermaksud peralatan itu boleh melakukan perjalanan yang panjang dan boleh menyelam sedalam 6,000 meter (19,685 kaki), kata Ocean Infinity.

Plunkett yakin bahawa firmanya dapat menyelesaikan salah satu misteri penerbangan yang hebat. "Kami ingin mengatakan bahawa kami mempunyai 80 peratus keyakinan," kata Plunkett.

Pakar dari firmanya turut terlibat dalam pencarian bangkai pesawat Air France 447, yang terhempas di Lautan Atlantik ketika dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris pada 1 Jun 2009.

Pada Ogos 2015, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengumumkan bahawa satu pasukan pakar antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion adalah daripada pesawat MH370, dan itu menandakan bukti fizikal pertama bahawa pesawat telah terhempas di selatan Lautan Hindi.

Daripada 239 penumpang yang menaiki pesawat MH370, seramai 153 daripada mereka terdiri daripada warga China dan 38 warga Malaysia.

"Kami hanya ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku ... apakah yang terjadi pada saat akhir," seorang saudara kepada penumpang pesawat malang itu memberitahu BeritaBenar, dengan hanya mahu dikenali sebagai "Nathan."

"Sukar untuk menerima hakikatnya tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada orang yang kita sayangi."

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.