Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi bertemu PM Malaysia

Dalam pada itu, Malaysia bertindak sebagai pemerhati dalam latihan ketenteraan tahunan Garuda Shield antara Indonesia dan Amerika Syarikat.
Staf BenarNews
2022.08.01
Washington & Kuala Lumpur
Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi bertemu PM Malaysia Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi meninggalkan sebuah hotel selepas majlis resepsi anjuran Dewan Perniagaan Amerika di Singapura, 1 Ogos, 2022.
[AFP]

Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi akan berada di Malaysia pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan serantau bagi mengesahkan komitmen AS kepada ‘rakan-rakan dan sekutunya’ serta mungkin ke Taiwan yang mencetuskan ketegangan AS-China.

Pelosi, yang mengetuai delegasi kongres negara itu dalam rangka lawatan ke Asia, tiba di Singapura pada permulaan kunjungan ke negara-negara di rantau Indo-Pasifik. Beliau dijangka melawat Kuala Lumpur pada Selasa dan makan tengah hari dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, demikian menurut seorang pembantu pemimpin Malaysia yang mengesahkan perkara itu.

“Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis makan tengah hari,” katanya kepada BenarNews semasa dihubungi di Kuala Lumpur.

Meskipun Taiwan tiada dalam senarai lawatan rasmi ke empat negara oleh Pelosi, sumber RFA dan beberapa sumber lain memetik media tempatan dan CNN sebagai berkata beliau akan melakukan kunjungan tidak rasmi pada lewat hari Selasa ke pulau itu, yang tidak pernah diperintah oleh Parti Komunis China (CCP) atau membentuk sebahagian daripada Republik Rakyat China.

Pada Isnin, Beijing mengulangi amarannya bahawa sebarang kunjungan oleh Pelosi ke pulau demokratik itu akan membawa kepada “perkembangan dan kesan yang amat serius.”

Meskipun Amerika Syarikat tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Taipei dan mengiktiraf Beijing secara diplomatik berbanding Taiwan sebagai sebahagian daripada “dasar Satu China,” Washington mempunyai kewajipan untuk menyediakan keupayaan pertahanan kepada pulau itu.

Penggubal undang-undang telah menggesa pentadbiran Biden agar mengambil pendirian yang tegas berhubung isu Taiwan.

Sementara itu, Malaysia bertindak sebagai pemerhati dalam latihan ketenteraan tahunan Garuda Shield antara Indonesia dan Amerika Syarikat yang lebih besar pada tahun ini berbanding sebelumnya serta berlangsung dari 1 hingga 14 Ogos di Sumatra dan Kalimantan.

Latihan ketenteraan “Super Garuda Shield” adalah “lebih besar dari segi skop dan skala berbanding latihan sebelum ini, dengan kebanyakan negara sama ada mengambil bahagian atau menjadi pemerhati buat pertama kali,” menurut Kedutaan AS di Jakarta.

Kira-Kira 4,000 anggota tentera, yang kebanyakannya adalah dari Indonesia, dan AS mengambil bahagian dalam latihan dua minggu itu di Pulau Sumatera dan Kalimantan, yang merupakan sebahagian daripada Indonesia di Kepulauan Borneo.

“Ini adalah latihan ketenteraan yang sebenar-benarnya,” kata Mejar Jeneral Stephen Smith, komander anggota tentera AS yang mengambil bahagian dalam taklimat kepada media di Jakarta pada Jumaat.

“Ini bukan satu ancaman atau perlu dianggap sebagai satu ancaman oleh mana-mana pihak di mana-mana sahaja,” kata Smith.

Latihan itu diadakan selepas China mengumumkan beberapa siri latihan kebakaran secara langsung di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian susulan laporan mengenai kemungkinan lawatan ke Taiwan oleh Speaker Dewan Perwakilan AS itu.

Pelosi dalam catatan di laman media sosial Twitter beliau pada Ahad memberitahu tujuan lawatan itu adalah bagi "mengesahkan lagi komitmen kukuh Amerika kepada negara-negara sekutu dan rakan-rakan di rantau ini."

"Di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, kami akan mengadakan sidang peringkat tinggi bagi membincangkan bagaimana kami boleh mengukuhkan lagi kepentingan dan nilai-nilai bersama," ciap beliau lagi.

Kedutaan AS di Jakarta berkata latihan 'Super Garuda Shield' itu bertujuan “memperkukuh Kerjasama Strategik AS-Indonesia dan memajukan kerjasama serantau sebagai sokongan terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.”

“Latihan, pertukaran akademik serta bengkel pembangunan profesional memfokus kepada peringkat kor dan ke bawah akan menumpukan kepada bidang-bidang seperti bantuan kemanusiaan dan bencana selain memerangi ancaman konvensional, bukan konvensional serta hibrid,” menurut kedutaan itu.

Super Garuda Shield 2022 yang berlangsung selama 14 itu turut disertai Kanada, Perancis, India, Malaysia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Timor Timur dan Great Britain yang bertindak sebagai negara pemerhati.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.