Malaysia Terima Enam Pesawat Tanpa Pemandu ScanEagle Buatan AS
2020.05.07
Washington

Malaysia menerima enam daripada 12 buah Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) melalui Inisiatif Keselamatan Maritim kerajaan Amerika Syarikat (MSI) dalam usaha meningkatkan keupayaan pengumpulan maklumat risikan, pengawasan dan peninjauan keselamatan dan maritim, demikian menurut Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Khamis.
UAV atau lebih dikenali sebagai dron itu, dibina oleh Insitu, anak syarikat Boeing Co, adalah sebahagian daripada pakej 34 unit ScanEagle bernilai AS$47.9 juta yang dibekalkan AS kepada Malaysia, Filipina, Indonesia dan Vietnam, menurut maklumat hubungan yang dikeluarkan Pentagon tahun lepas.
Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur melalui laman media sosial rasmi Facebooknya telah mengesahkan ketibaan enam UAV dengan memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukan kargo dron tersebut sudah tiba di lapangan terbang di Malaysia.
“Dalam tempoh yang singkat, rakan kongsi kami dengan Tentera Laut Diraja Malaysia [TLDM] menerima kumpulan pertama enam #Pesawat Tanpa Pemandu Scan Eagle Buatan Amerika (UAV).
“Kesemua UAV ini akan meningkatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mempertahankan integriti wilayah perairan negara. Selama lebih 60 tahun, AS dan Malaysia telah menjalinkan perkongsian kerjasama keselamatan yang produktif dan saling menguntungkan. Kami meneruskan usaha itu dalam waktu-waktu yang mencabar ini dan berharap untuk bekerjasama pada masa akan datang.
“Satu penyerahan yang lebih formal akan berlangsung pada tahun ini apabila latihan bermula,” kata Kedutaan itu dalam muat naik di laman rasmi Facebooknya pada Khamis.
Malaysia perolehi 12 unit
Malaysia pada Jun tahun lepas berkata negara itu bakal menerima 12 unit dron ScanEagle bernilai AS$19.3 juta [RM77 juta] menerusi program bantuan MSI Amerika Syarikat yang menyediakan bantuan dalam bentuk aset dan latihan kepada negara-negara bersahabat seperti Malaysia bagi meningkatkan Kesedaran Domain Maritim (MDA) di rantau Asia Tenggara.
Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak membabitkan sebarang kos oleh Putrajaya serta penting bagi Malaysia dalam memiliki keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) dalam mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.
“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak membabitkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.
Beberapa hari sebelum Malaysia mengeluarkan kenyataan mengenai UAV itu, Pentagon mengumumkan bahawa ia telah menganugerahkan kontrak kepada Insitu bagi membina dron untuk empat negara Asia Tenggara dengan keseluruhan kontrak bernilai AS$47.9 juta, kata Jabatan Pertahanan AS [DoD] menerusi satu pengumuman kontrak di laman sesawangnya.
Program itu “adalah satu bentuk bantuan keselamatan yang dibenarkan oleh Akta Kawalan Eksport Senjata Api,” menurut maklumat daripada Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA).
Inisiatif itu, yang dirangka di bawah Akta Kebenaran Pertahanan Negara, bertujuan membina keupayaan negara rakan kongsi Amerika di rantau Laut China Selatan. Akta itu secara khusus menyasarkan lima negara – Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam – untuk bantuan dan latihan yang dibiayai Amerika, menurut maklumat daripada DSCA.
Pada Mac lepas, Majalah pertahanan Jane's 360 dalam laporannya memetik Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang sebagai berkata penghantaran enam daripada 12 pesawat UAV buatan Amerika itu telah bermula akhir Februari lepas, dengan enam lagi dijangka diserahkan pada 2022.
Beliau juga dilaporkan berkata pakej yang diterima Malaysia meangkumi latihan dan penyelenggaran serta keupayaan mengendalikan UAV sehingga 2 ribu jam.
Tempatkan di Sabah
Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Mohd Reza Mohd Sany pada Januari lalu berkata buat permulaan kesemua 12 UAV itu akan ditempatkan di pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di Sabah terlebih dahulu.
"Sebagai permulaan, kita akan letakkan 12 buah dron di Kota Kinabalu dan terbangkannya di darat dahulu... Dron ini juga akan digunakan dalam operasi di perairan Sabah. Kita memerlukan jangkaan masa selama setahun untuk membiasakan penggunaan pesawat menggunakan sistem arial tanpa pemandu, sebelum boleh digunakan sepenuhnya dalam pelbagai operasi.
"Sebaik saja mahir dengan penggunaan dron, maka barulah kita akan menempatkannya ke atas kapal-kapal, tidak kira di mana, sama ada di timur Sabah, Kuantan [Laut China Selatan] atau Lumut [Selat Melaka], bergantung kepada keperluan semasa," kata Mohd Reza pada satu sidang media di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada masa itu.
Panglima itu berkata demikian sebagai merujuk kepada dua lagi bandar yang menempatkan pangkalan-pangkalan besar TLDM di Malaysia iaitu Kuantan, di Pahang, dan Lumut di Perak.
Penggunaan dron di kawasan perairan Sabah pernah dicadangkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri, Disember lalu.
"Di perairan Sabah (misalnya), sempadan dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) terlalu panjang, lebih 1,000km. Kita boleh gunakan dron di kawasan sempadan ini, yang kita sedang fikirkan," kata beliau pada masa itu.
Dron ScanEagle itu mempunyai keupayaan untuk terbang setinggi 19,500 kaki dan boleh beroperasi sehingga 24 jam secara berterusan, dengan bergantung kepada konfigurasi sistem serta boleh dilancarkan tanpa perlu adanya landasan terbang.
Kor Marin AS dan Tentera Laut AS telahpun menggunakan dron berkenaan sejak 2005 lagi.
Penggunaan dron merupakan antara perkara yang disentuh dalam Kertas Putih Pertahanan Malaysia yang dibentangkan di Parlimen hujung tahun lepas.