Hilang: Malaysia, Singapura Sertai Pencarian Bersama Kelasi AS

John Bechtel & Fadzil Aziz
2017.08.21
Washington & Kuala Lumpur
170821-my-tudm-uss620.jpg Pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia [TLDM] semasa menyelaraskan usaha mencari dan menyelamat 10 kelasi Amerika Syarikat yang hilang selepas perlanggaran yang melibatkan kapal pemusnah peluru berpandu Amerika Syarikat USS John S. McCain dan sebuah kapal dagang, 21 Ogos 2017.
[Ihsan TLDM]

Sepuluh pelaut Amerika Syarikat dilaporkan hilang setelah kapal perang dan kapal tangki minyak bertembung di perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Kapal pemusnah peluru berpandu Amerika Syarikat USS John S. McCain dan kapal dagang yang didaftarkan di Liberia,  Alnic MC bertembung di Selat Singapura iaitu di timur Selat Melaka ketika kapal AS itu sedang menuju ke Singapura untuk berlabuh.

Sekurang-kurangnya empat negara terlibat di dalam usaha mencari kelasi-kelasi yang hilang, di kawasan   yang merangkumi 100 batu persegi, CNN, stesen kabel televisyen Amerika  memetik seorang pegawai Malaysia sebagai berkata.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku berhampiran Pulau Pedra Branca, di perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura dan wilayah berdekatan yang disebut Middle Rocks milik Malaysia, demikian menurut laporan agensi berita Reuters. Malaysia meminta kajian semula mengenai keputusan berkenaan pada tahun ini.

Lima lagi kelasi AS cedera dalam perlanggaran yang merosakkan kapal McCain serta membanjiri beberapa koper krewnya.

"Ingatan kami adalah bersama mereka yang cedera serta keluarga anak-anak kapal Tentera Laut AS yang masih hilang berikutan kejadian di perairan Singapura itu. Pihak berkuasa Singapura akan berusaha keras untuk mencari mereka, dan memberikan segala bantuan kepada rakan kita Amerika Syarikat, " kata ketua Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) Andrew Tan dalam satu kenyataan.

MPA melaporkan empat daripada yang cedera diterbangkan oleh sebuah helikopter tentera Singapura dan yang kelima dibawa oleh ambulans ke Hospital Umum Singapura.

Kelihatan kerosakan yang berlaku pada USS John S. McCain semasa kapal berkenaan sedang belayar ke Pangkalan Laut Changi di Singapura, 21 Ogos, 2017. (Ihsan Tentera Laut AS)

Mencari dan menyelamat

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (AMPP) Zulkifli Abu Bakar berkata Malaysia bertanggungjawab dalam usaha mencari dan menyelamat itu, tetapi mengalu-alukan bantuan daripada negara-negara lain.

"Pegawai kami berkomunikasi dengan pihak berkuasa Singapura," kata Zulkifli. "Satu perkara yang sangat jelas, kita tidak mahu pertembungan berlaku sekali lagi.

"Pada masa ini, saya tidak fikir kita harus berhujah tentang perairan siapa kerana saya fikir perkara yang paling penting ialah untuk memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat."

Beliau berkata kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia  [TLDM] KD Handalan sedang mengetuai usaha mencari dan menyelamat dua buah kapal milik APMM, bersama-sama dengan pesawat dan penyelam Malaysia yang sudahpun ditempatkan di kawasan kejadian.

Di samping itu, nelayan di Pahang dan Johor telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan diminta untuk membantu dalam usaha pencarian mangsa yang hilang di laut.

MPA Singapura berkata, agensi itu telah dimaklumkan mengenai perlanggaran itu pada kira-kira  pukul 5.30 pagi dan usaha mencari dan menyelamat digerakkan. Dilaporkan bahawa kapal AS itu telah berlabuh di Pangkalan Laut Changi, Singapura manakala kapal tangki berkenaan sedang diperiksa di pelabuhan timur Singapura.

Tentera Laut dan Pengawal Pantai Singapura mengetuai kapal frigat, empat kapal ronda dan tiga helikopter bersama 250 pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. Indonesia juga menghantar pasukannya untuk membantu usaha tersebut.

"Dua buah kapal Indonesia KRI Cucut dan KRI Pari kini berada di tempat kejadian," kata Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi kepada wartawan di Istana Merdeka di Jakarta, pada Isnin.

"Berdasarkan pemantauan kami setakat ini, ia mengesahkan bahawa tiada tanda berlakunya tumpahan minyak, jadi kami menumpukan perhatian untuk mencari kelasi yang hilang," katanya.

Inilah perlanggaran kedua yang melibatkan kapal perang AS di rantau itu dalam tempoh tiga bulan. Pada 17 Jun, tujuh kelasi mati apabila sebuah lagi kapal pemusnah, USS Fitzgerald, dan sebuah kapal kontena bertembung di Laut Jepun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.