Penggubal Undang-Undang Malaysia Mansuhkan Akta Berita Palsu

Ali Nufael & Lex Radz
2019.10.09
Kuala Lumpur, Malaysia
191009-MY-Utusan-Media-1000.jpg Pekerja-pekerja Utusan Malaysia, akhbar berbahasa Melayu tertua negara, menghadiri taklimat syarikat di Kuala Lumpur selepas para pegawai mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penerbitannya, 9 Okt 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Anggota Parlimen Malaysia pada Rabu telah memansuhkan undang-undang kontroversi berkaitan "berita palsu" yang diluluskan kerajaan terdahulu di ambang pilihan raya umum tahun lepas, pada hari sama akhbar berbahasa Melayu tertua yang sebahagiannya dimiliki oleh parti yang dikalahkan menutup operasi.

Penggubal undang-undang di bawah kerajaan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, meluluskan Akta Berita Palsu 2018 secara terburu-buru beberapa minggu sebelum pilihan raya Mei 2018, yang membawa kemenangan besar kepada Mahathir Mohamad yang sekaligus mengembalikan kuasa semula kepadanya menjadi Perdana Menteri.

Kumpulan hak asasi telah menyifatkan hukuman drakonian di bawah undang-undang itu sebagai usaha untuk menangkis perbincangan mengenai dana negara yang dicemari rasuah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diasaskan oleh Najib 10 tahun lalu.

Pihak pendakwaan Malaysia telah menuduh Najib mencuri AS$681 juta (2.85 bilion ringgit) daripada dana kekayaan negara itu dan beliau berdepan sejumlah 42 pertuduhan dalam lima kes jenayah berasingan yang dikemukakan terhadapnya berkaitan 1MDB, namun beliau menafikan kesemua pertuduhan tersebut.

Selepas dua hari perdebatan, penggubal undang-undang memansuhkan undang-undang berita palsu itu dengan 93 mengundi untuk menyokong penghapusannya manakala 53 lagi menentang.

Undang-undang itu menghukum penyebaran sengaja maklumat palsu dengan denda yang tinggi sehingga AS$119,000 (500,000 ringgit) dan hukuman penjara sehingga enam tahun.

Ia dimansuhkan lima hari selepas Mahathir, yang pernah memerintah negara majoriti penduduknya beragama Islam itu selama 22 tahun sebelum berundur pada 2003, berkata dalam ucapannya bahawa kerajaan beliau akan menghapuskan "undang-undang drakonian" yang diperkenalkan oleh Najib.

"Undang-undang drakonian ini telah menyebabkan rakyat berasa sangat tidak selamat kerana mereka boleh ditangkap dan ditahan tanpa perlu didengar di mahkamah," lapor agensi berita nasional Malaysia Bernama yang memetik kenyataan Mahathir. "Tetapi kerajaan baharu akan memansuhkan undang-undang itu dan memperkenalkan undang-undang baharu."

Human Rights Watch (HRW) berkata pemansuhan undang-undang itu adalah sesuatu yang "sudah lama tertangguh."

"Undang-undang anti berita palsu adalah satu ancaman besar yang akan menghancurkan kebebasan akhbar di Malaysia jika ia dilaksanakan," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Asia dalam satu kenyataan pada Rabu, yang turut menyebut bahawa Mahathir telah berjanji pada kempen pilihan raya untuk memansuhkannya.

Malaysia negara majoriti penganut beragama Islam adalah antara negara Asia Tenggara yang memperluas peraturan sedia ada dengan menggunakan perkembangan berita palsu dalam talian bagi  memperkenalkan undang-undang yang lebih tegas, yang menurut pengkritik mungkin berpotensi mengekang kebebasan bersuara.

Rang undang-undang Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian Singapura telah berkuat kuasa pada Rabu minggu lepas manakala penggubal undang-undang di Indonesia dan Filipina turut melakukan persiapan untuk menggubal undang-undang pencegahan berita palsu.

Di bawah undang-undang baharu Singapura itu, adalah menyalahi undang-undang untuk menyebarkan "kenyataan fakta palsu" di dalam keadaan di mana maklumat itu dianggap "memudaratkan" terhadap keselamatan negara, keselamatan awam dan "ketenangan awam," antara pelbagai topik lain.

‘Utusan akan terus hidup’

Langkah Malaysia untuk menghapuskan undang-undang berita palsu dibuat pada hari sama Utusan Malaysia, akhbar berbahasa Melayu tertua negara yang mempunyai hubungan rapat dengan parti Najib, mengumumkan penutupan operasi kerana ketidakupayaan untuk menanggung beban hutang.

Dalam satu memo yang dilihat oleh BeritaBenar dan diedarkan kepada kakitangannya, akhbar itu mengesahkan bahawa ia secara rasmi akan menghentikan operasi pada Rabu, tetapi dalam satu temu bual dengan laman sesawang berita perniagaan, Pengerusi Eksekutif Utusan Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata akhbar itu "akan terus hidup."

"Kami sedang membubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan [telah] diperoleh oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan dalam masa terdekat," kata Abdul Aziz seperti dipetik oleh The Edge Markets.

Tidak banyak yang diketahui mengenai syarikat Aurora Mulia Sdn Bhd, menurut laporan tempatan sambil menambah bahawa ia mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Malaysia, Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang merupakan sekutu rapat Mahathir.

Utusan Malaysia mula diterbitkan dalam tulisan Jawi di Singapura pada 1939. Ia beralih kepada tulisan Rumi pada 1967.

Akhbar itu -  diasaskan oleh Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura, dan Abdul Rahim Kajai, ikon dalam kewartawanan Melayu - menjadi antara akhbar paling laris di Malaysia, dengan edarannya mencapai 350,000 naskhah sehari pada 1990-an .

Pada 2004, edarannya berkurangan kepada 250,000 dan terus merosot kepada 144,438 pada separuh pertama 2016, menurut Biro Audit Pengedaran.

Parti Najib, UMNO, mengambil alih syarikat itu pada 1961 tetapi telah ditentang oleh ketua pengarangnya ketika itu, Said Zahari, bersama beberapa penulis lain dalam penerbitan tersebut.

Selama bertahun-tahun, pengkritik telah menyelar Utusan Malaysia yang didakwa mencetuskan isu perkauman dalam laporannya. Pada Ogos, akhbar The Edge melaporkan bahawa Utusan Malaysia berdepan kesukaran untuk membayar liabilitinya sebanyak 139.19 juta ringgit (AS$33.1 juta) pada 30 Jun.

Abdul Aziz, dalam memonya pada Rabu, berkata syarikat itu "berdepan masalah" selepas pilihan raya Mei dan pihak pengurusan syarikat telah bersetuju untuk menutup operasi semasa mesyuarat lembaga pengarahnya pada Isnin.

"Ini merupakan langkah yang perlu apabila lembaga pengarah berpendapat bahawa syarikat itu tidak lagi berdaya untuk meneruskan operasi," katanya. "Oleh itu syarikat akan menghentikan operasi pada Rabu, 9 Okt 2019."

Annuar Musa, setiausaha agung UMNO, memberitahu pemberita bahawa parti itu tidak mengetahui bahawa akhbar berkenaan akan ditutup.

"Ini adalah keputusan perniagaan syarikat, tidak ada kaitan dengan UMNO. Kami tidak perlu campur tangan, ini adalah keputusan perniagaan semata-mata," katanya. "Kami tidak mempunyai maklumat mengapa mereka membuat keputusan untuk menutupnya."

Edisi terakhir Utusan Melayu dapat dilihat di meja kosong di bilik berita akhbar itu, selepas pekerja menerima notis rasmi daripada syarikat bahawa ia akan menghentikan penerbitannya pada 9 Oktober 2019. [S.Mahfuz/BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.