Mahathir Berhati-hati Kutuk Layanan China Terhadap Muslim Uyghur

Hadi Azmi
2019.07.31
Kuala Lumpur, Malaysia
190731-MY-uyghur-620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Malaysia, 5 Jun, 2019.
(AP)

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad memberitahu sebuah saluran media Turki bahawa tindakan mengutuk China berhubung layanannya terhadap minoriti etnik Muslim Uyghur "tidak akan mencapai apa-apa", yang menyebabkan beberapa kumpulan hak asasi manusia melemparkan kritikan terhadap beliau.

Dalam satu wawancara oleh TRT World, Mahathir ditanya mengapa Malaysia dan negara-negara majoriti Muslim yang lain lewat bersuara dalam menentang dasar Beijing terhadap etnik Uyghur, dan mengapa Kuala Lumpur tidak menyertai 22 negara lain menandatangani surat kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia bagi mengutuk tindakan China menahan beramai-ramai etnik Uyghur.

“Kami lakukan apa yang kami boleh. Kami tidak menghantuk kepala kami di dinding batu semata-mata kerana dinding itu ada di situ," kata Mahathir kepada saluran radio dan televisyen Turki itu.

Pemimpin Malaysia itu berkata beliau memerlukan lebih banyak maklumat mengenai nasib etnik Uyghur sebelum boleh menghakimi perbuatan China. Beliau menyifatkan China sebagai sebuah negara kuat yang harus dilayani sedemikian.

Pihak Berkuasa di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR) telah menahan kira-kira 1.5 juta etnik Uyghur dan etnik minoriti Islam lain, yang didakwa mempunyai idea berkaitan "pendapat agama yang kuat" dan "politik yang tidak betul", di kem-kem tahanan sejak April 2017.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo menyifatkan tindakan Beijing di Xinjiang sebagai krisis kemanusiaan yang berada "pada skala yang pernah berlaku semasa tahun-tahun 1930-an" dengan merujuk jelas terhadap dasar-dasar pemimpin Jerman, Hitler, pemimpin Kesatuan Soviet, Stalin. Beliau juga menganggap tindakan penahanan itu sebagai "noda dalam abad ini."

Mahathir berkata tindakan mengutuk China tidak akan menyelesaikan masalah itu.

"Pada masa ini, kami perlu mengesahkan beberapa perkara tertentu tentang apa yang mereka dituduh lakukan. Sudah tentu mereka menafikannya," kata beliau dalam wawancara itu. "Kami percaya bahawa pendekatan itu tidak harus bersifat konfrontasi. Ia perlu dibuat menerusi rundingan dan pendedahan tentang apa yang sebenarnya berlaku di China.

"Kami boleh mengutuknya [China] tetapi hakikatnya, kutukan itu sendiri tidak akan mencapai apa-apa."

Human Rights Watch (HRW) dan para penyokong hak asasi di Malaysia pantas memberi reaksi terhadap kenyataan perdana menteri itu.

"Apabila pemimpin lantang seperti Mahathir enggan mengkritik, ia menunjukkan China mengambil langkah-langkah luar biasa untuk menakut-nakutkan pengkritik yang berada dekat mahu pun jauh," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia bagi HRW yang berpangkalan di New York, kepada BeritaBenar.

"Seperti keseluruhan OIC, Malaysia tunduk kepada tekanan apabila tiba masanya untuk bercakap tentang etnik Uyghur kepada kuasa yang berada di Beijing. Mahathir sepatutnya mengambil tindakan berbeza dengan mengutuk tindakan pencabulan hak dan kebebasan agama yang dialami oleh etnik Uyghur," katanya, yang merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama Islam dianggotai 57 negara.

Aminuddin Yahya, Presiden Gabungan Kumpulan Islam Malaysia (ISMA), pula menggesa pentadbiran Mahathir supaya bersuara lantang menentang dasar-dasar China terhadap Uyghur.

"Terdapat terlalu banyak fakta dari pelbagai sumber yang membuktikan berlakunya penindasan terhadap Muslim Uyghur," kata Aminuddin.

"Kerajaan sepatutnya menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap China. Ini adalah tentang nasib masyarakat Islam dan bukannya isu politik," kata beliau kepada BeritaBenar.

Tindakan mengutuk penindasan terhadap komuniti Rohingya tanpa negara di Myanmar, satu lagi kumpulan minoriti Islam, haruslah sepadan dengan kutukan yang melibatkan etnik Uyghur, katanya.

Seperti banyak negara lain, kerajaan Malaysia mempunyai beberapa perjanjian perdagangan utama dengan China, kata Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, timbalan presiden Pergerakan Pemuda Islam Malaysia. Perjanjian itu merupakan sebab utama mengapa pegawai kerajaan tidak mahu bercakap tentang isu Uyghur, katanya.

"Malaysia tidak boleh bersendirian tetapi dengan 'saudara-saudara' seperti Turki dan Pakistan serta Indonesia, mungkin ia boleh menggerakkan isu ini. Tetapi, pada hakikatnya, banyak negara termasuk Pakistan dan Indonesia, berada dalam perangkap hutang dengan China," katanya kepada BeritaBenar.

Hujung minggu lalu, Mahathir kembali ke tanah air selepas mengadakan lawatan negara ke Turki, yang merupakan kediaman bagi sejumlah besar komuniti Uyghur.

Kem tahanan Xinjiang


Walaupun Beijing pada awalnya menafikan kewujudan kem tahanan itu, namun tahun ini China mengubah langkah dengan menjelaskan bahawa kemudahan itu adalah "sekolah berasrama" yang menyediakan latihan vokasional untuk etnik Uyghur, tidak menggalakkan radikalisasi dan membantu melindungi negara daripada keganasan.

Awal bulan ini, menteri hal ehwal Islam Malaysia dikritik kerana menggambarkan kem Uyghur yang dikunjunginya sebagai "pusat latihan dan vokasional." Menteri berkenaan Mujahid Yusof Rawa memuat naik gambar di Facebook yang menunjukkan beberapa dewasa duduk di meja-meja kuning di dalam sebuah bilik yang dikelilingi bunga tiruan, tetapi tidak mendedahkan lokasi kem tersebut.

Kurang daripada setahun yang lalu, kerajaan Malaysia menolak permintaan  China dengan membebaskan 11 etnik Uyghur, yang melarikan diri ke Malaysia dari Thailand setelah melepaskan diri dari penjara pada November 2017, dan membenarkan mereka ke Turki. Beijing telah meminta supaya mereka dihantar pulang tetapi Mahathir berkata kesemua lelaki itu tidak melanggar sebarang undang-undang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.