Menteri Dibidas Berhubung Kenyataan Mengenai Lawatan ke Kem Uyghur

Muzliza Mustafa
2019.07.02
Kuala Lumpur, Malaysia
190701-MY-Minister-Uyghur1000.jpg Aktivis memakai gari berantai semasa melakukan protes terhadap layanan China ke atas etnik Uyghur pada hari terakhir sidang kemuncak G-20 di Osaka, Jepun, 29 Jun 2019.
[AP]

Menteri Hal Ehwal Islam Malaysia menjadi sasaran kritikan pedas selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan kem tahanan Uyghur yang dikunjunginya di China sebagai "pusat latihan dan vokasional," sedangkan kumpulan hak asasi manusia dan pegawai Amerika Syarikat menyamakan pusat itu seperti kem tahanan.

Kontroversi itu tercetus semasa lawatan lapan hari Mujahid Yusof Rawa ke China apabila, pada 26 Jun lalu, beliau memuat naik foto di laman Facebook rasminya yang menunjukkan beberapa orang dewasa duduk di meja kuning di dalam sebuah bilik yang dikelilingi bunga tiruan.

Menteri berkenaan pada Selasa menolak untuk mendedahkan lokasi kem itu yang dikatakan menahan minoriti Uyghur Muslim atau menjawab soalan lain BeritaBenar mengenai kunjungannya ke negara itu.

"Pusat ini menjalankan aktiviti latihan industri dengan memberi pelbagai kemahiran seperti menjahit, perundangan, seni, susunan bunga dan sebagainya," menurut kapsyen gambar yang dimuat naik itu, dan menyatakan Mujahid sedang melawat "pusat latihan dan vokasional komuniti Uyghur. "

Catatan itu tidak menyatakan sama ada "pusat" tersebut berada di wilayah Xinjiang, di mana para pegawai dan kumpulan hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa kira-kira 1.5 juta etnik Uyghur dan minoriti berketurunan Turki Muslim ditahan di kem-kem tahanan sejak April 2017.

Sebelum ini, pihak berkuasa China menafikan kewujudan kem-kem tahanan itu tetapi menyatakan bahawa pesalah jenayah kecil dihantar ke "pusat latihan pekerjaan."

Pada 27 Jun, Amnesty International Malaysia menyuarakan rasa kecewa terhadap gambaran kem tersebut oleh menteri berkenaan.

"Amnesty International mempunyai pengetahuan langsung bahawa pihak berkuasa China telah menahan etnik Uyghur dan mereka yang berketurunan Turki Muslim - di luar proses undang-undang - di kem ‘pendidikan politik' kerana dianggap tidak setia kepada kerajaan dan Parti Komunis China," kata kenyataan itu.

"Pihak berkuasa melabelkan kem-kem tersebut sebagai pusat untuk ‘transformasi melalui pendidikan’ tetapi kebanyakan orang merujuknya sebagai "kem pendidikan semula’," kata Amnesty.

Di kem-kem tersebut, etnik Uyghur dipaksa mengikuti pendoktrinasi politik, meninggalkan kepercayaan mereka, dilayani dengan buruk dan, dalam beberapa kes, turut diseksa, kata kumpulan pemerhati hak asasi itu.

Pada Mei lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, dalam rujukan yang jelas mengenai dasar-dasar pemerintahan Hitler di Jerman dan Stalin di Kesatuan Soviet, menyatakan tentang "pencabulan  hak asasi manusia yang dilakukan secara meluas di Xinjiang di mana lebih sejuta orang terlibat dalam krisis kemanusiaan dalam skala seperti apa yang berlaku pada 1930-an. "

Pada Isnin, pejabat Menteri Hal Ehwal Islam Malaysia itu telah mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan bahawa lawatan Mujahid ke China telah diluluskan Kabinet dan "diberi panduan oleh Kementerian Luar untuk memastikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak terjejas."

Mujahid bukan sahaja pergi ke China untuk melawat kumpulan etnik Uyghur tetapi turut saling bertukar pandangan dan pendapat mengenai keamanan dan agama, kata kenyataan media itu.

Pada 27 Jun, menteri Malaysia itu mengadakan pertemuan dengan Wang Zuoan, naib menteri Jabatan Kerja Barisan Bersatu - unit ideologi Parti Komunis China. Semasa perbincangan mereka, Mujahid menekankan pentingnya "kebebasan beragama dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama pilihan mereka," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Mujahid pada Isnin, di mana beliau menangkis kritikan terhadapnya berhubung gambaran yang diberinya mengenai kem itu.

Kerajaan Malaysia dan negara jirannya, Indonesia, dua negara majoriti Muslim terbesar di Asia Tenggara, telah lantang bersuara mengenai penindasan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin dan penganiayaan terhadap umat Islam Rohingya namun dilihat kurang memperkatakan tentang dasar China terhadap etnik Uyghur.

Bulan lalu, sebuah badan pemikir Jakarta membidas Indonesia kerana gagal mempertahankan etnik Uyghur yang terkurung dalam kem-kem tahanan di Xinjiang.

"Penindasan secara sistematik etnik Uyghur Muslim China di Wilayah Autonomi Xinjiang membangkitkan sedikit kebimbangan di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia," kata Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) dalam satu laporan.

"Kerajaan Indonesia secara umumnya melihat tindakan keras terhadap Uyghur sebagai respon yang sah terhadap tindakan pemisah ...," kata institut itu.

IPAC turut merujuk kepada China sebagai rakan dagang terbesar dan pelabur kedua terbesar di Indonesia, dan menyatakan ini menyebabkan Jakarta enggan lantang bersuara mengenai isu Uyghur.

'Paling dungu’

China, sebaliknya, telah menolak dakwaan panel PBB pada Ogos 2019 bahawa pihak berkuasa negaranya membina "kem pengasingan besar" di wilayah Xinjiang yang bergolak, di mana Beijing berusaha menindas sentimen pro-kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.

Walaupun pada mulanya Beijing menafikan kewujudan kem tahanan itu, pihak berkuasa China cuba mengubah persepsi orang awam terhadap pusat kemudahan itu dengan menggambarkannya sebagai "sekolah berasrama" yang menyediakan latihan vokasional dan menolak radikalisasi.

P. Ramasamy, pemimpin kanan dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP), satu daripada rakan parti dalam gabungan Pakatan Harapan Malaysia, adalah antara mereka yang mengkritik Mujahid kerana  menggambarkan kem tersebut sebagai "pusat latihan".

"Nampaknya, Malaysia bersedia untuk mengubah dasar terhadap umat Islam secara umumnya demi menyesuaikannya dengan tujuan politik dan strategiknya," kata Ramasamy, timbalan ketua menteri negeri Pulau Pinang, kepada akhbar Straits Times minggu lalu.

Dalam reaksinya terhadap catatan Facebook menteri itu tentang lawatannya ke kem Uyghur, Ahmad Farouk Musa, pengasas badan pemikir Front Renaissance Islam (IRF) yang berpejabat di Kuala Lumpur, menyifatkan Mujahid sebagai "mangsa propaganda komunis China."

"Inilah kenyataan paling dungu yang dibuat oleh menteri kita dalam kerajaan baru ini," lapor portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang memetik Ahmad sebagai berkata dalam satu temu bual.

Mujahid, dalam kenyataan medianya pada Isnin, menyangkal tuduhan bahawa beliau mempromosikan propaganda Beijing.

Laporan berita mengenai kunjungannya ke China “amat mengelirukan, tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan ucapan beliau", kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat Mujahid, yang merujuk kepada FTM yang menyiarkan laporan itu.

Kenyataan media pada Isnin itu, turut mempertahankan ucapan Mujahid di Universiti Pengajian Asing Beijing pada 28 Jun, di mana FMT memetik Mujahid sebagai berkata bahawa "berita palsu" mengenai umat Islam yang ditindas di China "boleh mencetuskan gelombang simpati terhadap mereka yang ditindas dan menjejaskan hubungan."

"Dalam teks ucapannya, menteri itu tidak menggunakan perkataan Xinjiang atau Uyghur seperti yang dinyatakan. Perkataan 'berita palsu' digunakan untuk menggambarkan bagaimana berita palsu boleh menjejaskan hubungan dua hala antara negara dan masyarakat," kata kenyataan dari pejabat Mujahid.

"Untuk rekod, China mempunyai kira-kira 20 juta umat Islam dari pelbagai kumpulan etnik serta mempunyai 30,000 masjid dan beribu-ribu imam," katanya.

Pada Selasa, Mujahid melalui jurucakapnya menolak untuk menjawab beberapa soalan daripada BeritaBenar mengenai lawatannya ke China, termasuk sama ada beliau membincangkan dengan pegawai-pegawai China mengenai kebimbangan antarabangsa berhubung berhubung penahanan beramai-ramai etnik Uyghur di kem tahanan itu dan sama ada beliau juga mengunjungi Xinjiang.

Sehingga September 2018, nasib etnik Uyghur di kem-kem tahanan di Xinjiang masih tidak diketahui dan sebahagian besar keluarga tahanan itu juga tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka, menurut kumpulan hak asasi.

"China telah memperhebat kempen pengasingan beramai-ramai, melakukan pengawasan yang mengganggu, indoktrinasi politik dan asimilasi budaya secara paksa terhadap etnik Uyghur, Kazakhstan dan kumpulan etnik Islam yang lain," kata Amnesty dalam kenyataannya pada minggu lalu.

Kontroversi berhubung kenyataan Mujahid meletus kira-kira sembilan bulan selepas Malaysia membebaskan 11 orang etnik Uyghur daripada tahanan dan menghantar mereka ke Turki, setelah menolak permintaan Beijing supaya Kuala Lumpur menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa China. Mereka melarikan diri ke negara Asia Tenggara itu setelah dibebaskan dari penjara di negara jiran, Thailand, pada 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.