Malaysia Bakal Terima Sumbangan Vaksin COVID-19 Dari Jepun, China

Menteri Luar Malaysia berkata sumbangan vaksin oleh kedua negara dapat mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
2021-06-16
Share
Malaysia Bakal Terima Sumbangan Vaksin COVID-19 Dari Jepun, China Petugas perubatan Pusat Perubatan Ara Damansara menyuntik vaksin kepada orang kurang upaya (OKU) secara pandu lalu di Menara Sime Darby Plantation di Damansara, Selangor, 16 Jun 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

China buat pertama kali akan menyumbangkan vaksin COVID-19 kepada Malaysia, umum Putrajaya pada Rabu, berikutan lonjakan mendadak sumbangan vaksin selepas negara-negara maju Kumpulan 7 (G7) dan Amerika Syarikat mengumumkan sokongan terhadap usaha imunisasi global.

Selain China yang bersetuju menyumbang 500,000 dos SinoVac-CoronaVac keluaran negara itu, Jepun turut mengumumkan yang negara berkenaan berhasrat menyumbang vaksin AstraZeneca, yang dimajukan oleh syarikat farmaseutikal milik bersama United Kingdom dan Sweden, dan dikeluarkan negara itu kepada Malaysia tanpa menyebut jumlahnya.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dalam dua kenyataan media berasingan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra pada Rabu merakamkan penghargaan kepada dua rakan sejawatnya, Wang Yi dari China dan Motegi Toshimitsu dari Jepun atas kesediaan kedua-dua negara itu menyumbang vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kementerian Luar mengalu-alukan pengumuman Menteri Luar Jepun Motegi Toshimitsu pada 15 Jun 2021 berkenaan pemberian vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di negara itu kepada Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, Saya ingin mengucapkan ribuan Terima kasih kepada rakan sejawatan Menteri Toshimitsu dan kerajaan Jepun, atas perkembangan positif ini,” kata Hishammuddin dalam kenyataan media penghargaan kepada Jepun.

Dalam satu lagi kenyataan oleh Wisma Putra, Menteri Luar itu berkata “Semalam, saya telah menerima mesej dari rakan sejawatan Menteri Luar China Wang Yi, yang kerajaan Republik Rakyat China telah bersetuju untuk menyumbangkan 500,000 dos vaksin SinoVacCoronaVac kepada rakyat Malaysia,”

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan sejawat saya Wang Yi dan kerajaan Republik Rakyat China di atas sumbangan yang sangat membantu dalam usahasama melawan pandemik ini,” kata Hishammuddin.

Menteri Luar Malaysia dalam kedua-dua kenyataannya itu berkata, sumbangan dari China dan Jepun dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi PICK bagi negara tersebut.

Pada Selasa, Toshimitsu dalam satu sidang media di Tokyo mengumumkan yang Jepun akan menyumbang vaksin AstraZeneca kepada Malaysia dan beberapa negara jiran di Asia Tenggara.

“Pada awal Julai, vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di Jepun akan dihantar ke Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Usaha koordinasi akan digerakkan bagi tujuan ini,” umum Toshimitsu tanpa menyatakan jumlah dos vaksin yang akan disumbangkan kepada negara-negara berkenaan.

Dalam pada itu, pejabat Kedutaan China di Malaysia pada Rabu turut mengeluarkan kenyataan antara lain menyatakan sumbangan itu adalah demonstrasi hubungan persahabatan antara China dan Malaysia.

Amerika Syarikat sumbang 500 juta dos vaksin

Jumaat lepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan negara kuasa besar itu akan membeli setengah bilion dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer untuk diagihkan kepada negara-negara yang berdepan dengan kekangan mendapatkan bekalan.

Pengumuman itu dibuat pada sidang kemuncak Negara-Negara Maju (G7) di United Kingdom susulan tekanan ke atas negara-negara maju bagi membantu negara-negara yang membangun yang menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan vaksin, dengan kadar kematian akibat pandemik itu telah mencapai 3.7 juta di seluruh dunia.

Biden berkata sumbangan 500 juta dos vaksin itu akan menjadi asas kepada usaha negara-negara kaya dalam berkongsi vaksin kepada seluruh pelusuk dunia.

Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 250 juta penerima, berdasarkan setiap individu memerlukan dua dos suntikan vaksin Pfizer bagi melengkapkan proses imunisasi.

Media melaporkan 500 juta dos percuma itu akan disalurkan melalui COVAX, sebuah program kemanusiaan global yang digerakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan akses vaksin COVID-19 kepada 92 negara berpendapatan rendah dan Kesatuan Afrika.

Daripada jumlah itu, 200 juta dos akan diedarkan menjelang penghujung tahun ini bermula April dan 300 juta dos lagi akan dihantar pada separuh pertama tahun 2022.

WHO merancang menyalurkan 2 bilion dos vaksin kepada negara-negara yang memerlukan menjelang akhir 2021 dan setakat ini, 81 juta dos telah dihantar ke 129 negara yang terlibat, termasuk Malaysia.

Pada sidang kemuncak G7 itu, negara Jerman dan Perancis menyatakan komitmen untuk menderma 30 juta dos vaksin percuma di bawah inisiatif berkenaan manakala kerajaan British mengumumkan akan menyumbang ‘jutaan dos’ vaksin.

Ketika mengumumkan sumbangan 500 juta dos vaksin percuma itu, Biden berkata inisiatif itu akan digerakkan tanpa meletakkan sebarang syarat kepada negara-negara penerima.

“Kami melakukan ini untuk menyelamatkan nyawa, untuk menamatkan pandemik ini,” kata Biden semasa pengumuman itu.

Diplomasi vaksin luaskan pengaruh China, Russia

Mei lalu, kerajaan AS mengumumkan sumbangan sebanyak 80 juta dos vaksin percuma bagi membantu negara-negara yang memerlukan, susulan kebimbangan kemungkinan China dan Russia menggunakan diplomasi vaksin percuma bagi meluaskan pengaruh mereka di seluruh dunia.

Biden dilaporkan berkata jumlah itu adalah jauh lebih besar daripada jumlah 15 juta dos vaksin percuma yang dijanjikan oleh China dan Russia kepada negara-negara yang memerlukan.

"Terdapat banyak dakwaan yang Russia dan China cuba mempengaruhi dunia melalui vaksin. Kita mahu memimpin dunia mengikut nilai-nilai kita.

“Amerika Syarikat tidak akan menggunakan vaksin untuk mendapatkan keistimewaan dari negara-negara lain. Ia adalah satu kesilapan untuk memperjudikan demokrasi,” katanya dalam satu ucapan pada 17 Mei lalu.

Mengulas mengenai persaingan diplomasi vaksin di antara kuasa besar dunia, penganalisis politik dan pakar geotrategis Azmi Hassan berkata dasar luar Malaysia yang pragmatik memboleh negara itu menerima bantuan vaksin COVID-19 percuma tanpa perlu terikat dengan sebarang syarat.

“Dasar luar Malaysia adalah pragmatik, tidak menyebelahi mana-mana negara dalam dasar luar dan juga geo-politik, dan sekiranya Amerika Syarikat atau Jepun mahu memberikan vaksin, kita terima saja. Sama juga jika kerajaan China ingin menyumbang 500,000 dos kita boleh terima.

“Dalam hal ini kita tidak terikat sangat (dalam menerima vaksin percuma) kerana Malaysia tidak terkekang dengan sumber kewangan, tetapi terkekang dengan sumber bekalan vaksin,” katanya kepada BenarNews.

Azmi berkata dasar luar Malaysia yang tidak menyebelahi mana-mana pihak sejak sekian lama, memudahkan negara itu menerima bantuan vaksin percuma tanpa apa-apa syarat yang ditetapkan oleh negara-negara penderma walaupun menyedari langkah mereka adalah menjurus kepada pendekatan diplomasi.

Mengenai langkah pentadbiran Biden mendesak supaya siasatan dijalankan ke atas punca penularan koronavirus, Azmi berkata ini dilihat sebagai salah satu senjata negara itu untuk menekan China.

“Seperti dijangka China tidak berpuas hati kerana WHO telah menyatakan siasatan dan kesimpulan secara terbuka kerana tidak tahu dari mana punca tercetusnya pandemik ini.

“Saya melihat ini adalah rentetan kepada pertembungan di antara China dan AS dari aspek perang dagang dan melarat sehingga peperangan pandemik.

“Jadi dalam hal ini satu hal pandemik telah membuka ruang untuk diplomasi melalui vaksin, tetapi pandemik ini juga telah membuka ruang untuk memperhebatkan ruang persaingan di antara dua kuasa besar iaitu AS dan China,” ujarnya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh