Malaysia Umum Dana AS$2.4 juta Bantu Individu Terkesan Akibat Vaksin COVID-19

Langkah itu bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat serta menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang terjejas dari pengambilan vaksin.
Noah Lee & Nisha David
2021.03.22
Kuala Lumpur
Malaysia Umum Dana AS$2.4 juta Bantu Individu Terkesan Akibat Vaksin COVID-19 Petugas perubatan sedang memberi sutikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech kepada seorang petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS2.0 di Serdang, Selangor, 5 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]


Malaysia pada Isnin mengumumkan peruntukan dana sampingan sebanyak RM10 juta (AS$2.4 juta) yang bertujuan memberi bantuan kewangan kepada rakyat serta warga asing yang mendapat kesan sampingan serius daripada vaksin yang diterima di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dana di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara itu akann menyediakan peruntukan RM50,000 (AS$12,153) kepada mereka yang mengalami kesan sampingan serius serta memerlukan rawatan berpanjangan di hospital, manakala bagi mereka yang menghadapi kes lebih serius seperti hilang upaya kekal atau kematian, sebanyak RM500,000 (AS$121,536) disediakan.

Menteri Kesihatan Adham Baba pada satu sidang media di Putrajaya memberitahu langkah yang diambil kerajaan itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menerima suntikan vaksin, serta membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga mereka yang berkemungkinan terjejas akibat kesan pengambilannya.

"Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 ini.

"Bantuan khas kewangan ini merupakan langkah proaktif Kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin COVID-19… dan akan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin serta keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak," kata Adham.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan juga telah menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan dari imunisasi dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19, iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans Khas, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19.

Tiga jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab menilai kes-kes sebelum bantuan khas diberikan kepada penerima vaksin yang terkesan, kata Adham.

Tular kematian penerima vaksin

Pengumuman itu dibuat ketika Kementerian Kesihatan berdepan dengan tuduhan liar di media sosial yang mengaitkan kematian beberapa individu petugas barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin COVID-19 baru-baru ini.

Kes terbaharu membabitkan seorang juruteknologi makmal perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Kangar, Perlis yang meninggal dunia pada Ahad selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Comirnaty pada 2 Mac lepas.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin menafikan bahawa kematian lelaki berkenaan ada kaitan dengan vaksin COVID-19, dan berkata bahawa mangsa mempunyai sejarah serangan jantung sebelum ini dan pernah menjalani angioplasty pada 2013.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Sirajuddin Hashim, juruteknologi tersebut yang berusia 42 tahun hanya mengalami rasa lenguh di lengan dan pening selepas menerima vaksin, namun boleh bertugas seperti biasa dan beliau tidak menghadapi sebarang masalah serta bertugas seperti biasa sehingga 19 Mac.

Sebelum itu, seorang jururawat di Hospital Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di rumahnya di Sungai Petani, Kedah pada 17 Mac lalu, selepas lima hari menerima vaksin dos pertama dengan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah menurut laporan media tempata berkata bahawa kematian jururawat tersebut disahkan sebagai sakit jantung dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan.

Seorang lagi petugas barisan hadapan iaitu anggota bomba di Pahang yang turut menerima vaksin pada 12 Mac meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital di Pahang selepas dimasukkan kerana mengalami sakit jantung.

Akhbar tempatan melaporkan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Bahari Che Awang Ngah, menafikan kaitan kematian lelaki berkenaan dengan vaksin COVID-19 yang menurutnya anggota tersebut mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Allahyarham juga pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020.

Sambut baik langkah kerajaan

Sementara itu, seorang pakar penyakit berjangkit menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan dana bantuan tersebut, dan berharap ia boleh memberikan lebih keyakinan kepada orang ramai.

Christopher Lee, yang juga seorang bekas timbalan ketua pengarah kesihatan, memberitahu BeritaBenar bahawa dengan adanya dana berkeaan ia dapat membantu mereka yang terkesan sekiranya mempunyai kesan sampingan serius.

"Dana ini akan memberikan sedikit keyakinan kepada mereka yang mempunyai keraguan terhadap keselamatan vaksin COVID-19 yang telah diluluskan di Malaysia. Harapnya, mereka akan menjadi lebih yakin untuk mengambil vaksin apabila ada sokongan kewangan seandai terdapat kesan sampingan serius," kata Lee.

Menyentuh mengenai beberapa kes kematian yang dilaporkan di kalangan penerima vaksin, beliau berkata ia adalah penting untuk melihat apa yang menyebabkan kematian bagi mengetahui jika ia berkait dengan vaksin yang diterima.

Tambah Lee, apabila negara memasuk fasa kedua PICK di mana sejumlah besar warga emas akan diimunisasi, akan terdapat kejadian kesan buruk berlaku yang berkemungkinan terjadi secara kebetulan kerana membabitkan populasi yang sudah berusia.

"Jadi ia adalah penting untuk melihat garis asas kejadian seperti itu mengikut kumpulan penerima sebelum tempoh vaksinasi.

"Walaubagaimanapun, kesan buruk mesti dipantau secara rapi oleh Kementerian Kesihatan. Harapnya data dan maklumat ini akan dilaporkan secara telus kepada umum," kata Lee.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Kuljit Singh juga memuji tindakan kerajaan mewujudkan dana bantuan untuk mereka yang terkesan dengan vaksin secara serius.

"Ia adalah satu usaha yang bagus kerana apabila kerajaan memberikan jaminan seperti ini dan jika berlakunya komplikasi kerana vaksinasi, ia menunjukkan bahawa kerajaan mengambil langkah untuk melindungi rakyatnya.

“Setahu saya, tidak ada syarikat farmaseutikal yang akan memberikan perlindungan terhadap sebarang komplikasi atau kesan dari vaksin," kata beliau kepada BeritaBenar sambil menambah langkah itu tidak akan mencetuskan ketakutan pada rakyat.

Program Imunisasi Kebangsaan

Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Feb, dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Noor Hisham menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin.

Program itu bertujuan untuk mewujudkan komuniti kelompok di Malaysia bagi melawan pandemik COVID-19 dan mensasarkan 80 peratus populasi dan terbesar dilaksanakan di seluruh negara.

Program berkenaan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan golongan petugas barisan hadapan, fasa kedua kepada kumpulan berisiko tinggi dan terakhir kepada golongan dewasa berusia 18 tahun, dijangka selesai pada Feb tahun hadapan.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 428,710 dos vaksin telah diberikan di seluruh negara sehingga Isnin, manakala seramai 6,155,213 pendaftaran untuk mendapatkan vaksin telah diterima oleh kerajaan melalui aplikasi MySejahtera.

Pada masa yang sama, Malaysia terus menyaksikan penurunan kes jangkitan baharu COVID-19 dengan rekod Kementerian Kesihatan mencatatkan 1,116 kes baharu termasuk lapan kes import, dengan bilangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 334,156.

Lima kes kematian baharu dicatatkan pada Isnin, menjadikan keseluruhan individu yang telah meninggal dunia akibat pandemik yang melanda dunia sejak awal Januari tahun lepas, seramai 1,238 orang di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.