Malaysia Terima Penghantaran Vaksin Pertama 21 Februari

Perdana Menteri bersama barisan hadapan negara adalah antara penerima terawal vaksin dari Pfizer dan BioNTech bermula 26 Februari ini.
Noah Lee
2021.02.16
Kuala Lumpur
Malaysia Terima Penghantaran Vaksin Pertama 21 Februari Malaysia yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, tidak menghalang pekerja warga asing untuk meneruskan tugas mereka di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, 15 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 yang dihasilkan secara bersama oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer dan syarikat Jerman BioNTech pada 21 Feb ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu pengumuman yang dibuat beliau ketika melancarkan buku panduan kerajaan mengenai program imunisasi negara bagi memerangi pandemik koronavirus itu.

Program itu turut mendapat sambutan positif daripada parti pembangkang Pakatan Harapan, yang meminta kerajaan supaya turut melibatkan wakil rakyat mereka di dalam jawatankuasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pada hari yang sama, Putrajaya juga mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di empat buah negeri termasuk ibu negara Kuala Lumpur selama 14 hari lagi bermula 19 Feb sehingga 4 Mac 2021 disebabkan jumlah kes positif yang masih tinggi, manakala 11 buah negeri lagi menyaksikan perintah berkurung ke atas mereka dilonggarkan ke tahap PKP yang lebih rendah.

Dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Putrajaya, Muhyiddin memberitahu wartawan dan rakyat Malaysia yang menonton siaran langsung di kaca televisyen bahawa program imunisasi COVID-19 akan dimulakan pada 26 Feb, dan beliau akan menjadi antara individu terawal yang akan menerima suntikan bersama-sama para petugas barisan hadapan pada hari tersebut.

"Di sini saya sukacitanya ingin maklumkan vaksin Pfizer BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Feb 2021. Selanjutnya, ‘rollout’ pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dimulakan pada 26 Feb 2021, di mana saya sendri akan terima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan," kata beliau dalam majlis yang turut disertai Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Buku panduan yang dilancarkan perdana menteri itu adalah setebal 27 mukasurat, dan ia antara lainnya menerangkan dengan terperinci mengenai dasar negara mengenai vaksinasi COVID-19, penerangan mengenai jenis-jenis vaksin yang diperolehi kerajaan dan peratus keberkesanan mereka, serta pelan kaedah pelaksanaan program imunisasi tersebut.

Buku itu juga turut mempunyai penjelasan mengenai fatwa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam mengenai hukum umat Islam menggunakan vaksin, di mana ia telah diputuskan sebagai wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, program vaksinasi COVID-19 adalah yang terbesar akan dilaksana di seluruh negara, melibatkan tiga fasa iaitu dengan fasa pertama membabitkan golongan petugas barisan hadapan yang akan bermula 26 Feb sehingga April depan.

Fasa kedua adalah kepada kumpulan berisiko tinggi yang akan bermula pada April sehingga Ogos manakala fasa terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei 2021 dan dijangka selesai pada Feb tahun hadapan.

Malaysia turut mengumumkan bahawa warga asing di dalam negara termasuk pendatang tanpa izin dan pelarian turut akan menerima vaksin secara percuma dalam usaha kerajaan memberikan perlindungan optimum kepada penduduk di negara ini.

Sehingga kini, Malaysia telah berjaya mendapatkan akses bekalan vaksin sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, hanya satu pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech sahaja yang telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah pada hari yang sama menyatakan bahawa NPRA telah menerima dosier daripada tiga pengeluar iaitu untuk vaksin Sinovac keluaran China, Sputnik (Rusia) dan Astrazeneca, dan kesemuanya kini sedang diuji oleh badan tersebut untuk memeriksa keberkesanan vaksin serta melihat sekiranya terdapat kesan samping.

Beliau berkata bahawa tiga vaksin itu juga berkemungkinan akan diberikan kelulusan bersyarat untuk penggunaan dalam negara.

"NPRA masih menjalankan penilaian kepada keberkesanan dan kesan samping, terutama kajian fasa tiga klinikal vaksin-vaksin terbabit. Kita telah beri maklumbalas supaya mereka boleh menjawab dan bentangkan persoalaan sebelum mendapat kelulusan, dan kita juga mungkin beri kelulusan bersyarat," kata Noor Hisham dalam sidang media Kementerian Kesihatan mengenai perkembangan terkini pandemik COVID-19.

Sokong usaha kerajaan

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan dalam satu kenyataan menyatakan sokongan mereka terhadap apa yang telah dirancang oleh kerajaan dalam program tersebut dengan jawatankuasa itu dianggotai oleh sembilan wakil rakyat gabungan parti pembangkang termasuk bekas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi doktor perubatan.

"Pakatan Harapan akan menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan, Ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan akan memberi kerjasama dan sokongan kepada Kementerian Kesihatan untuk menjayakan program ini. Kerana ia melangkau perbezaan politik.

"Pada masa yang sama, kami juga menyeru supaya wakil ahli parlimen Pakatan Harapan juga dimasukkan dalam jawatankuasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk menunjukkan bahawa program imunisasi ini adalah sesuatu usaha yang bersifat "bipartisan" dan demi kepentingan negara," kata jawatankuasa tersebut.

PH juga menyeru supaya kerajaan menyediakan rancangan komunikasi yang komprehensif bagi menerangkan rancangan imunisasi mereka kepada semua warganegara dan warga asing di Malaysia, serta menyediakan pusat imunisasi yang secukupnya terutama di kawasan pedalaman.

PKP dilanjutkan

Sementara itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media berasingan pada Selasa mengumumkan mengenai pelanjutan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dua minggu lagi sehingga 4 Mac depan.

Bagi negeri-negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, WP Putrajaya, WP Labuan dan Sabah pula, status mereka ditukar kepada PKP Bersyarat, manakala negeri Perlis pula kepada PKP Pemulihan.

Untuk rekod, PKP Bersyarat adalah satu bentuk perintah berkurung yang longgar berbanding PKP penuh, manakala PKP Pemulihan pula adalah lebih longgar daripada itu.

"Setelah membuat penilaian risiko serta perbincangan dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal MKN, Sidang Khas hari ini bersetuju untuk menukar status PKP kepada PKP Bersyarat (PKPB) di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, WP Putrajaya, WP Labuan serta Sabah dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perlis bermula 19 Februari sehingga 4 Mac 2021.

"Walaubagaimanapun bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, Sidang Khas bersetuju untuk mengekalkan status serta melanjutkan PKP sehingga 4 Mac 2021," kata Ismail, dengan menambah bahawa PKP Bersyarat di seluruh negeri Sarawak pula dilanjutkan bermula 15 Feb hingga 1 Mac 2021.

Ismail turut mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membatalkan syarat pergerakan dalam radius 10 kilometer dari kediaman berkuatkuasa hari yang sama dengan dibenarkan bergerak dalam daerah masing-masing kerana larangan rentas daerah dan rentas negeri masih berkuatkuasa.

KKM pada Selasa merekodkan bilangan kes harian COVID-19 sebanyak 2,720 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes 269,165 dengan lapan kes kematian baru sekaligus menjadikan seramai 983 orang terkorban akibat pandemik itu.

Ahli Parlimen ASEAN mahu sidang Dewan Rakyat

Sementara itu, sejumlah 90 orang ahli-ahli parlimen dari tujuh Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Selasa mengeluarkan satu kenyataan bersama yang menggesa supaya pentadbiran Putrajaya membenarkan parlimen negara itu meneruskan fungsi-fungsinya tanpa sebarang sekatan.

Mereka yang menandatangani kenyataan itu adalah dari Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura, Timor-Leste, Kemboja, dan Myanmar dengan tiada ahli parlimen dari Malaysia, Brunei dan Laos di dalam senarai penandatangan.

"Kami, ahli parlimen yang menandatangani kenyataan ini, menyuarakan kebimbangan serius mengenai kuasa besar yang dipegang oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah status Darurat kini yang bukan sahaja menghakis (undermining) asas demokrasi Malaysia, tetapi juga membuka ruang yang besar untuk kemungkinan berlakunya penindasan hak-hak kemanusiaan.

"Oleh itu, kami menyeru supaya parlimen dibenarkan untuk terus berfungsi tanpa sekatan," kata kenyataan itu yang dikeluarkan organisasi ASEAN Parliamentarians For Human Rights (Ahli parlimen Asean untuk Hak Manusia).

Kenyataan itu merujuk kepada proklamasi Darurat yang diperkenankan Yang DiPertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 11 Jan lalu hingga 1 Ogos depan, dan disusuli Ordinan Darurat 2021 yang diperkenalkan kerajaan.

Kata mereka, Ordinan itu memberikan kuasa teramat luas kepada pihak berkuasa dan pada masa sama melindungi tindakan-tindakan mereka daripada kawalan (oversight) parlimen dan kehakiman.

"Kami ingin mengingatkan pihak yang berkuasa bahawa, bagi memastikan langkah-langkah yang diambil ketika darurat tidak digunakan untuk menindas hak kemanusiaan, atau untuk merampas kuasa institusi demokrasi, ia sepatutnya hanya mencukupi bagi berdepan dengan ancaman yang dimaksudkan dan dalam hal ini, ia adalah bagi mengawal penularan COVID-19.

"Kuasa sebegitu sepatutnya hanya bersifat sementara, dan tertakluk kepada pengawasan perundangan dan kehakiman, serta tidak digunakan secara diskriminasi bagi mensasarkan mana-mana kumpulan. Kuasa darurat Malaysia jelas tidak menepati standard antarabangsa dan ia mencipta satu keadaan di mana kebertanggungjawaban adalah terhad, dan salahguna kuasa mungkin berlaku."

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.