Malaysia Akan Terima Kesemua 32 Juta Bekalan Vaksin Pfizer-BioNTech Tahun Ini

Kerajaan sedang menimbang tawaran Pfizer untuk mendapatkan tambahan 20 peratus lagi vaksin, kata Khairy Jamaluddin.
Noah Lee
2021.03.08
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Akan Terima Kesemua 32 Juta Bekalan Vaksin Pfizer-BioNTech Tahun Ini Orang ramai yang sedang membeli barangan keperluan dapur mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa tempuh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Pasar Pagi Kampung Tiong, Kuala Terengganu, Terengganu, 5 Mac 2021.
[Embong Budi/BeritaBenar]

Malaysia dijangka mendapat keseluruhan 32 juta dos bekalan vaksin COVID-19 dari syarikat AS-Jerman Pfizer-BioNTech dalam tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Putrajaya juga sedang mempertimbang untuk membatalkan pembelian vaksin dos tunggal dari syarikat Johnson & Johnson, disebabkan penghantarannya hanya dapat dibuat penghujung tahun.

Khairy Jamaluddin semasa sidang media secara maya pada Isnin itu juga berkata Malaysia sedang dalam perbincangan dengan firma CanSino Biologics dari negara China untuk mendapatkan dos tunggal vaksin sama seperti Johnson & Johnson tetapi dengan bagi tempoh yang  lebih awal.

"Menteri Kesihatan selepas rundingannya bersama dengan pihak Pfizer, akan menandatangani perjanjian mendapatkan tambahan bekalan yang akan bekalkan sehingga 32 juta dos, iaitu bersamaan 50 peratus daripada populasi negara kita.

“Pada asalnya, perjanjian melibatkan 20 peratus dan telah ditingkatkan kepada 39 peratus, dan sekarang ini kita akan muktamadkan perjanjian dengan Pfizer untuk meliputi 50 peratus daripada penduduk negara Malaysia.

"Pihak Pfizer juga ada menawarkan tambahan (untuk meliputi) 20 peratus lagi dan perkara ini masih lagi dalam rundingan untuk kita pertimbangkan," kata Khairy yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Malaysia mensasarkan untuk menginokulasi 80 peratus daripada populasi negara melibatkan tiga fasa bermula pada 24 Februari lepas bagi tempoh setahun.

Setakat ini, hanya tiga jenis vaksin telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh pihak berkuasa kesihatan bagi kegunaan di negara berkenaan, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dari Sweden, dan Sinovac keluaran negara China.

Khairy memberitahu pemberita bahawa sehingga kini, Malaysia telah menerima 86,775 bebuli vaksin Pfizer-BioNTech, iaitu bersamaan 520,650 dos dengan penghantaran seterusnya pada 11 Mac.

"Sukacita saya hendak katakan bahawa 32 juta dos yang akan ditandatangani bersama Pfizer minggu ini, penghantarannya akan dibuat pada tahun 2021 semuanya," umum menteri itu.

Sementara itu, tambah Khairy, negara akan menerima 100,000 dos vaksin Sinovac pada 15 Mac, dan diikuti 100,000 dos lagi pada 19 Mac dengan vaksin itu akan turut digunakan semasa fasa pertama program imunisasi berkenaan yang meliputi 571,802 petugas barisan hadapan.

Dengan semua penghantaran dos tersebut, Khairy berkata kerajaan yakin kesemua petugas barisan hadapan akan dapat menerima suntikan mereka dalam bulan Mac juga, sekurang-kurangnya untuk dos pertama mereka.

Gugur Johnson & Johnson

Khairy berkata kerajaan mungkin akan membatalkan rancangan untuk mendapatkan vaksin dos tunggal dari syarikat Johnson & Johnson kerana ia hanya boleh membekalkan 2 juta dos pada penghujung tahun 2021.

Sebaliknya, Putrajaya berkemungkinan besar akan meneruskan rundingan bagi mendapatkan vaksin dos tunggal dari syarikat CanSino dengan menteri itu menyifatkan bahawa produk dari syarikat tersebut adalah "pilihan yang lebih baik" berbanding Johnson & Johnson.

"Kita juga besar kemungkinan akan meneruskan rundingan dengan CanSino, dan ini merupakan vaksin satu dos, dan adalah pilihan lebih baik dari Johnson and Johnson yang hanya boleh menghantar vaksin mereka pada suku tahun ke empat.

"Jadi kita akan percepatkan rundingan dengan CanSino agar kita dapat vaksin satu dos dalam portfolio kita," tambah Khairy lagi.

Selain itu, JKJAV juga sedang mempertimbangkan satu lagi calon vaksin untuk digunakan di dalam negara, kata Khairy, iaitu vaksin NovaVax buatan Amerika Syarikat dengan vaksin itu mempunyai tahap keberkesanan 89.3 peratus dalam ujian klinikal dijalankan di UK, tambah menteri berkenaan.

Mengenai proses pendaftaran vaksinasi pula, Khairy memaklumkan bahawa seramai 3,832,976 individu telah mendaftar di bawah program itu dengan 3,658,538 pendaftaran dibuat melalui aplikasi MySejahtera, manakala 173,575 di laman sesawang vaksincovid, selain 863 lagi menggunakan hotline sejak 5 Mac lepas.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia pada Isnin terus merekodkan jumlah kes harian COVID-19 di bawah paras 2,000.

Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, sebanyak 1,529 kes dicatatkan pada Isnin, setakat jam 12 tengahari termasuk sembilan daripadanya kes import, yang menjadikan bilangan kes kumulatif kepada 314,989.

Pihak berkuasa kesihatan itu turut merekodkan lapan lagi kes kematian baru, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah mati berkaitan dengan pandemik meningkat kepada 1,177 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh