Follow us

Nelayan Vietnam Didenda RM2.58 juta Ceroboh Perairan Perikanan Malaysia

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-25
E-mel
Komen
Share
Bot nelayan Vietnam berlayar di sekitar perairan pelabuhan perikanan di Pulau Phu Quoc, Vietnam, 12 Mac 2014.
Bot nelayan Vietnam berlayar di sekitar perairan pelabuhan perikanan di Pulau Phu Quoc, Vietnam, 12 Mac 2014.
[AFP]

Malaysia pada Khamis telah menjatuhkan hukuman denda tertinggi kira-kira RM2.58 juta (AS$627,000) terhadap 18 nelayan termasuk lima tekong rakyat Vietnam selepas didapati bersalah menceroboh perairan negara menangkap ikan tanpa kebenaran dengan menggunakan dua buat bot serta cuba menghapuskan bukti pada tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Azman Mustapha telah menetapkan hukuman denda tersebut yang sekaligus mecatatkan jumlah tertinggi direkodkan di negara itu, yang melibatkan kesalahan nelayan asing selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah  

"Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah dari pihak pendakwaan serta pihak peguam bela, mahkamah mendapati kesemua tertuduh yang menggunakan dua buah bot berbeza diwaktu penangkapan, bersalah menggunakan pukat tunda bagi menangkap ikan dan membuang pukat bagi menghapuskan bukti," kata Hakim itu

Beliau menambah, "bagi pertuduhan pertama, tertuduh (tekong bot pertama) dihukum denda sebanyak RM700,000 (AS$170,170), jika tidak dibayar boleh dipenjara selama 3 tahun. Tertuduh kedua (awak awak bot pertama) hingga tertuduh ke 13 masing-masing dihukum denda sebanyak RM60,000 (AS$14,586), jika tidak dibayar boleh dipenjara selama 1 tahun."

"Bagi pertuduhan kedua, tertuduh (tekong bot pertama) dihukum denda sebanyak RM100,000 (AS$24,310), jika tidak dibayar penjara selama 1 tahun. Tertuduh (awak awak bot pertama) masing-masing dihukum denda sebanyak RM10,000 (AS$2,431), jika tidak dibayar penjara selama 3 bulan.

"Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh (tekong bot kedua) dihukum denda sebanyak RM700,000(AS$170,170, jika tidak dibayar penjara selama 3 tahun. Tertuduh (awak awak bot kedua- 4 orang) masing-masing dihukum denda sebanyak RM60,000, jika tidak dibayar penjara selama 1 tahun," kata hakim sewaktu memberikan keputusan. Jumlah keseluruhan denda bagi kesemua tertuduh berjumlah RM2.58juta (AS$627,000),” katanya lagi.

Kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 54 tahun, manakala tekong antara 42 dan 47 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua dibicarakan bersama atas tiga pertuduhan iaitu bagi pertuduhan pertama dan kedua, kesemua tertuduh didakwa menangkap ikan secara bersama menggunakan pukat tunda dari dua buah bot.

Pertuduhan ketiga pulak, didapati sebuah daripada dua bot itu didakwa membuang pukat ke dalam laut dengan bertujuan menghapuskan bukti.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut didakwa dilakukan di perairan perikanan Malaysia pada jarak antara 72 hingga 79 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira jam 7.05 hingga 8 pagi, pada 19 Mei 2018.

Kertas pertuduhan itu turut mengatakan bahawa kehadiran nelayan asing Vietnam tersebut berjaya dikesan oleh Kapal KM Pekan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) yang sedang membuat rondaan selepas kesemua mereka disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala kesemua tertuduh diwakili Mohd Suhaimi Ismail, Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar.

Mahkamah turut memerintahkan semua barang kes yang disita dalam ketiga-tiga kes termasuk dua kapal penangkapan ikan asing dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

DPP Mohamad Afiq Taqiudin Roslan sewaktu dihubungi BeritaBenar menerangkan bahawa apabila KM PEKAN menghampiri kedua-dua bot tersebut, kedua-duanya telah meningkatkan kelajuan untuk melarikan diri. Pada masa yang sama, salah sebuah bot tersebut, yang kemudian disahkan bernombor pendaftaran KG 94062 TS telah dilihat melepaskan tali pukat di dalam air.

Menurut Afiq lagi, kesemua tertuduh gagal menjelaskan mengapa mereka berada jauh dalam perairan perikanan Malaysia, iaitu lebih kurang 40 batu nautika dari sempadan maritim Malaysia-Vietnam.

Menurut beliau kes perbicaraan melibatkan nelayan asing di Terengganu adalah kerap walaubagaimanapun kes kali ini melibatkan perbicaraan penuh kes penangkapan ikan secara bersama menggunakan dua bot pukat tunda.

Pada 24 April lalu, lebih 1,000 nelayan di seluruh negara berhimpun di muara Sungai Terengganu bagi menuntut campur tangan kerajaan berhubung isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Dungun, Bahiyuddin Awang Harun berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas termasuk membatalkan kesemua pemberian lesen laut dalam yang diluluskan kepada nelayan asing terutama dari Vietnam.

"Mereka aktif mengaut hasil laut dengan begitu rakus selain memiliki permit dan lesen serta bot Malaysia.

“Hasil yang dibawa balik ialah ikan baja dan ‘ikan potong kepala’. Ikan komersial yang berkualiti tinggi, semuanya dipunggah siap-siap di tengah laut untuk dibawa balik ke negara mereka,” katanya kepada pemberita dalam himpunan bantahan secara aman nelayan di Pesisir Payang baru-baru ini.

Empat hari kemudian, APMM Terengganu menahan enam bot nelayan Vietnam bersama 63 awak-awak termasuk tekong dalam operasi selama dua hari.

Nilai rampasan daripada enam buah bot itu ialah 3 ribu kilogram hasil laut, 1,300 ikan baja, 7 ribu liter diesel serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM6 juta(AS$1.45juta).

Menurut rekod, sebanyak 32 daripada 533 buah bot yang diperiksa oleh APMM telah ditahan sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM32 juta(AS$7.77 juta) dengan nilai denda oleh mahkamah sebanyak RM2.3 juta(AS$558,900).

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dalam satu sidang media di Kuantan, Pahang baru-baru ini turut berkata masalah pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan Malaysia akan menjadi salah satu topik yang akan dibincangkan dalam sesi lawatan beliau ke Vietnam akan datang.

Beliau turut berkata pencerobohan nelayan asing ke perairan negara dan negara asia lain turut dibincangkan dalam forum melibatkan menteri pertahanan negara-negara di asia tenggara sebelum ini.

Lihat Laman Penuh