RCI Wang Kelian: Arahan Penangguhan Datang dari Ketua Polis Negara Sendiri

Hadi Azmi
2019.04.24
Putrajaya, Malaysia
190424-MY-RCI-Zukir1000.jpeg Bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Md Zukir Md Isa (dua dari kanan) berbual bersama rakannya setelah selesai memberi keterangan kepada panel Suruhanjaya Siasatan DiRaja [RCI] di Putrajaya, Malaysia, 24 April, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Siasatan awal terhadap penemuan kem sementara pendatang di Wang Kelian pada 2015 tergendala setelah Ketua Polis Negara mengarahkan sebarang tindakan lanjut ditangguh untuk penelitian lanjut kerana kes tersebut “mempunyai impak besar kepada negara dan melibatkan warga asing”, panel prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja [RCI] diberitahu.

Penangguhan tersebut yang selama ini menjadi persoalan, akhirnya terjawab selepas bekas Ketua Polis Perlis Zul Aznam Haron yang merupakan saksi ke-16 memberitahu panel RCI yang menyiasat kes penemuan kem dan kubur di Perlis, negeri utara bersempadan dengan Thailand pada pendengaran awam di Putrajaya pada Rabu.

“Perkataan tepat yang disebut beliau ialah ‘hold on’, sebab perkara ini memerlukan persediaan dan penelitian lebih teliti,” kata Zul Aznam ketika diminta memberitahu mengenai arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada ketika itu.

Khalid yang bersara pada 2017 merupakan ketua polis negara semasa penemuan kem dan kubur di sekitar kawasan Wang Kelian diumumkan kepada orang ramai pada Mei 2015.

Media bagaimanapun mula melaporkan mengenai penemuan kem dan kubur itu sejak ianya mula ditemui pada Januari 2015.

Zul Aznam yang bersara daripada pasukan polis pada 2015 memberitahu panel RCI bahawa beliau menerima arahan itu selepas memaklumkan mengenai hal tersebut melalui satu panggilan telefon kepada Khalid pada 20 Jan 2015.

Menurut beliau, timbalannya Md Zukir Md Isa telah memberitahunya mengenai struktur tanah berbentuk kubur dalam kawasan perkhemahan sementara pendatang itu namun beliau tidak memberi sebarang respon mengenainya.

“Saya tak berikan respon apa-apa sebab maklumat itu saya akan maklumkan kepada pihak atasan iaitu Ketua Polis Negara sendiri,” jelas Zul Aznam.

Beliau bagaimanapun memberitahu panel bahawa bersetuju dengan arahan dan tindakan yang dikeluarkan oleh timbalannya itu.

Terdahulu itu, Md Zukir sebagai saksi ke-13 turut disoal dan menjelaskan kepada panel RCI bahawa arahan beliau supaya kem tersebut dimusnahkan cuma melibatkan struktur khemah yang dibina dan tidak melibatkan struktur tanah seperti kubur yang ditemui.

“Arahan saya bukan musnahkan semua. Saya fikir kalau khemah itu dibiarkan dan ada pendatang lain masuk, saya akan dipersalahkan. Kenapa saya tidak buat apa-apa,” kata Md Zukir yang kini telah bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Kedah pada 2017.

Menurut beliau, arahan tersebut dikeluarkannya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan Ketua Polis pada 20 Jan 2015 kepada komander Kompeni B, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Joeking M Maniam Anthony.

Tambah beliau, mesyuarat itu dihadiri wakil Majlis Keselamatan Negara dan agensi lain, Joeking telah memberi taklimat tentang kewujudan kem transit di Bukit Wang Burma, Wang Kelian serta penahanan 38 pendatang serta penemuan struktur tanah yang disyaki berupa perkuburan.

“Sebelum akhiri mesyuarat, Joeking bertanya pada saya apa perlu dibuat dengan khemah. Saya kata ia hendaklah dimusnahkan supaya tidak digunakan oleh pendatang pada masa depan. Saya juga tidak terima bantahan atau cadangan lain daripada ahli mesyuarat,” katanya.

Kurang jelas arahan

Namun begitu, Md Zukir berkata pasukan Joeking telah bertindak memusnahkan lebih daripada apa yang telah diarahkannya dalam mesyuarat itu dan mengesyaki pegawai PGA itu kurang jelas mengenai arahan tersebut memandangkan beliau merupakan pegawai operasi dan bukan penyiasatan.

“Sepatutnya mereka semak dulu struktur tanah menyerupai kubur. Joeking pergi ke kawasan itu pun tanpa beritahu saya. Mereka di bawah PGA bukan di bawah saya,” kata Md Zukir lagi.

Walaupun bergerak dibawah panji pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), PGA merupakan elemen tempur yang ditubuhkan bagi mengendalikan operasi punitif terhadap sebarang bentuk pakatan bersenjata, kegiatan subversif, pemberontakan dan ancaman yang berlaku di dalam negara Malaysia.

Ianya ditubuhkan pada 1948 sebagai Pasukan Polis Hutan ketika pemerintahan British untuk menentang tentera gerilla komunis pada ketika itu.

Sehubungan penjelasan Md Zukir itu, Timbalan Pengerusi RCI, Norian Mai yang juga bekas Ketua Polis Negara mencadangkan kepada beliau bahawa terdapat kekurangan dalam kordinasi siasatan tersebut.

“Boleh kita simpulkan ada kekurangan dalam koordinasi PDRM, PGA, MKN dan sebagainya untuk pergi bersama dan mulakan siasatan?” tanya Norian.

“Saya setuju pada peringkat awal tiada kordinasi,” jawab Md Zukir.

Selain itu, beliau turut ditanya oleh ahli RCI, Tan Seng Giaw sama ada beliau ada mempertimbangkan untuk menyiasat kes tersebut dibawah Akta Anti-Pemerdagangan orang dan Anti-Penyeludupan Migran dan Md Zukir berkata beliau dinasihatkan oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar Rizani Che Ismail supaya siasatan dilakukan dibawah Akta Imigresen.

“Saya tanya Rizani dia kata Akta Imigresen, saya tidak dinasihat lain. Ada arahan daripada Bukit Aman supaya kes ini dirujuk bawah imigresen.

“Rizani memberitahu saya kes penyeludupan migran yang tiada tangkapan tekong adalah diarahkan supaya disiasat di bawah Akta Imigresen,” jawab Md Zukir.

Kredibiliti saksi


Panel RCI pada Rabu juga memutuskan kredibiliti saksi kelima, Joeking Maniam Anthony, disemak semula apabila diberitahu oleh saksi ke-14 Pegawai Pemerintah, Batalion 3, PGA Bidor, Perak, Wan Hamzah Wan Kadir bahawa Joeking telah digantung kerja pada 1 Mac.

Wan Hamzah telah memaklumkan panel bahawa Joeking pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] pada 2015 berkaitan kes penyeludupan diesel, beras dan daun ketum.

Selain Joeking, empat pegawai dan beberapa anggota PGA turut ditahan SPRM pada 2 Mac 2015, di mana beliau difahamkan penahanan itu tidak kaitan dengan kes Bukit Wang Burma atau pendatang asing, katanya.

Pengerusi RCI Arifin Zakaria yang juga bekas Ketua Hakim Negara memutuskan mengenai perkara itu pada hari kelima prosiding dengan berkata penahanan saksi oleh SPRM berkaitan siasatan kes rasuah seperti diberitahu Wan Hamzah perlu diberi perhatian dan status terkini siasatan perlu diketahui untuk menjustifikasi kredibiliti saksi tersebut.

Hujah itu turut dipersetujui oleh Timbalan Pengerusi RCI Norian Mai yang menyatakan semakan semula itu adalah penting kerana melibatkan soal kredibiliti saksi berkenaan.

Terdahulu itu Wan Hamzah menafikan dakwaan Joeking dalam kenyataannya sebelum ini kepada RCI bahawa dia (Joeking) dilarang menyertai operasi siasatan penemuan kem sementara atas arahan pihak atasan.

Beliau berkata surat larangan menghalang Joeking daripada terlibat dalam sebarang operasi itu dikeluarkannya selepas anak buahnya itu ditahan SPRM.

Pada Selasa, panel RCI tersebut telah diberitahu oleh dua pegawai PDRM yang mereka mendapat arahan daripada pegawai tertinggi untuk membekukan siasatan terhadap penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mac 2015, maklumat yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Sehingga Rabu, seramai 16 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan tujuh panel RCI yang penubuhannya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas.

Penubuhan RCI bertujuan mencari kebenaran mengenai penemuan kubur besar pada Mei 2015 yang dipercayai menjadi destinasi terakhir mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh serta sindiket yang didalangi rakyat Thailand dan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.