Follow us

Surirumah Mengaku Tidak Bersalah Miliki Gambar, Video Keganasan

Ray Sherman & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-17
E-mel
Komen
Share
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia, di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia, di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang surirumah mengaku tidak bersalah, atas pertuduhan memiliki 61 gambar dan 51 buah video berkaitan kumpulan militan Negara Islam [IS] dalam telefon bimbitnya, semasa dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Fauziahanim Abdullah mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Ghazali. Wanita itu dituduh memiliki 61 imej dan 51 buah video di dalam telefon bimbitnya di hadapan sebuah lif di tingkat 14 Kompleks Suria Kinrara, di Seksyen 3, Puchong,.

Ibu dua orang anak yang berpakaian baju kurung serta bertudung menutupi mukanya, 51, telah ditahan pada 9 Mei lepas.

Tertuduh sebelum ini dikatakan wanita pertama yang mengetuai sel IS di Malaysia dan didakwa merancang melakukan serangan menggunakan tong gas memasak yang disimpan di dalam keretanya sebagai bahan letupan yang diubahsuai dalam rancangannya untuk menyerang pusat mengundi pada PRU ke 14.

Bagaimanapun, pada Selasa, peguam yang mewakili tertuduh, Adi Zulkarnain Zulkalfi memberitahu BeritaBenar bahawa anakguamnya tidak didakwa atas kesalahan merancang serangan ke atas pusat pengundian semasa Pilihan Raya Umum ke 14 atas sebab-sebab yang beliau tidak ketahui.

Tidak diketahui sama ada pendakwa raya akan mengemukakan pertuduhan lain terhadap surirumah berkenaan atau tidak mempunyai cukup bukti untuk mendakwa atas kesalahan merancang serangan terhadap pusat pengundian seperti yang dimaklumkan pihak berkuasa semasa beliau ditahan.

Timbalan Pendakwaraya Muhammad Fadzlan Mohd Noor mewakili kerajaan semasa prosiding mahkamah pada Selasa.

Bagi kesalahan memiliki gambar-gambar dan video itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau dikenakan denda atau rampasan harta.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 14 November untuk sebutan kes dan 22 hingga 25 April tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan.

Bertindak sendirian


Pada Jun lepas, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata seramai 15 suspek militan termasuk warganegara asing dan seorang suri rumah telah ditahan dalam operasi anti-keganasan di Kuala Lumpur.

“Suri rumah berusia 51 tahun itu ditahan di Puchong pada 9 Mei, ketika Malaysia mengadakan pilihan raya umum, kata Fuzi. Polis mengesyaki dia merancang untuk menggunakan kereta yang dimuatkan dengan tong gas memasak sebagai bahan peledak untuk menyerang pusat pengundian,” kata Fuzi, tanpa mengulas lanjut.

Ketua Unit Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini juga berkata, penahanan wanita tersebut merupakan kali pertama seorang wanita cuba melakukan serangan di dalam negara.

“Sebelum ini kita selalu mendengar wanita di dalam kumpulan Negara Islam memainkan peranan kecil, samada ke Syria atau pun berkahwin dengan anggota militan…atau mereka digunakan sebagai perantara untuk menghantar dana kepada pihak militant di luar negara.

“Tetapi kali ini, buat pertama kali, kita menahan seorang wanita yang mengambil tugas untuk melancar serangan di dalam negara,” tambah beliau.

Menurut Ayob lagi, kegiatan keganasan wanita tersebut termasuk berinteraksi dengan 600 invididu di laman sosial Facebook dan WhatsApp tidak diketahui oleh suaminya.

Adi Zulkarnain memberitahu BeritaBenar, “Anak guam saya didakwa memiliki item berkaitan militan dan bukan atas kesalahan merancang serangan. Dia mengaku tidak bersalah dan kes ini akan didengarkan di mahkamah tahun hadapan. Mahkamah menetapkan empat hari perbicaraan mulai 22 April, 2019.”

Masalah kesihatan


Adi turut mendedahkan bahawa anak guamnya turut memiliki masalah kesihatan kerana dia disyaki menghidap penyakit TB.

"Dia sekarang ini ditahan di penjara wanita Kajang dan keadaannya tidak begitu baik. Penjara kotor dan dia disyaki menghidap penyakit TB,” kata peguam.

Sumber kerajaan yang tahu berkenaan dengan kes ini mengesahkan dengan BeritaBenar bahawa wanita itu disyaki menghidap penyakit TB selepas menjalani pemeriksaan doktor.

Sejak Januari, Bahagian Anti-Keganasan PDRMalaysia telah menahan 32 orang rakyat Malaysia kerana disyaki pengganas.

Jumlah tertinggi tangkapan dibuat di Sabah diikuti oleh Johor dan seterusnya Selangor.

Polis Malaysia sejak 2013 telah menahan seramai 425 individu termasuk 44 orang wanita kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan.

Pihak berkuasa turut melaporkan bahawa sebanyak sembilan kes cubaan serangan berkait dengan kumpulan Negara Islam berjaya dipatahkan sejak 2013 termasuk satu cubaan yang menyasarkan Sukan SEA yang berlangsung di Malaysia pada Ogos 2017.

Pada Jun 2016, serangan bom tangan oleh anggota IS telah mencederakan lapan orang pengunjung sebuah pusat hiburan di Puchong. Kes tersebut merupakan kejayaan pertama bagi kumpulan militan tersebut di Malaysia.

Lihat Laman Penuh