Balu Pejuang Negara Islam Terbunuh Di Syria Pulang Ke Malaysia

Zam Yusa & Hadi Azmi
2018.10.25
Kuala Lumpur, Malaysia
181025-MY-syria-620.jpg Ketua Polis Malaysia, Mohamad Fuzi Harun, (dua dari kiri) dan pegawai polis lain memperkenalkan 'Aisyah', balu pejuang Negara Islam yang terbunuh dalam pertempuran di Syria, pada sidang berita di Kuala Lumpur, 25 Okt 2018.
Photo: Benar

Seorang wanita Malaysia, yang terkandas di Syria selepas suaminya yang juga pejuang Negara Islam terbunuh dalam pertempuran, dihantar pulang ke tanah air  bersama-sama anak-anaknya hasil usaha pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Turki yang berjaya mendapatkan laluan selamat buat mereka, kata ketua polis Malaysia pada Khamis.

Wanita berusia 31 tahun dan anak-anaknya yang berumur 2 dan 5 tahun tiba di Malaysia pada 6 Okt selepas proses rumit dan berbahaya yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk dirancangkan, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa memperkenalkan wanita itu pada sidang berita di Kuala Lumpur.

"Kami berjaya membawa pulang tiga orang - wanita di sebelah saya ini, yang berasal dari Terengganu dan telah menghabiskan masa yang lama di Syria - serta anak-anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama antara cawangan khas polis, Kedutaan Malaysia di Turki, Kementerian Luar kita dan pihak berkuasa Turki," kata Fuzi kepada wartawan.

Fuzi berkata, proses membawa pulang wanita itu – yang diperkenalkan polis hanya sebagai "Aisyah" - bermula selepas ibu bapanya meminta pihak berkuasa membantu membawa dia pulang ke Malaysia.

Katanya, beliau berpendapat Aisyah dan anak-anaknya tidak akan menimbulkan risiko keselamatan di bumi Malaysia.

"Berdasarkan siasatan kami, wanita itu pergi ke Syria kerana memenuhi hasrat suaminya," kata Fuzi.

Aisyah tidak terlibat dengan Negara Islam (IS) tetapi dia dikehendaki mendaftarkan diri dalam program pemulihan yang dikendalikan kerajaan dan pihak berkuasa juga sedang membantu keluarganya mendapatkan dokumen kewarganegaraan, kata ketua polis negara itu.

'Kehidupan bukan seperti di sini' – balu IS


Aisyah berkata dia menaiki pesawat ke Istanbul bersama-sama suami dan anak sulungnya kira-kira dua setengah tahun lalu, ketika dia hamil dengan anak kedua mereka, sebelum menyedari yang mereka akhirnya akan ke Syria.

"Saya sedang mengandung tujuh bulan ketika kami menaiki penerbangan pada Mac 2016. Kami menginap selama lima hari di sebuah hotel di Istanbul sebelum suami membawa saya dan anak ke sebuah rumah sewa, juga di bandar itu. Semasa kami tinggal di rumah sewa itu, saya dapat merasakan yang suami saya mahu pergi ke Syria," katanya kepada pemberita.

"Selepas setahun berada di Turki, kami kemudian diseludup ke Syria. Perjalanan itu sangat sukar kerana kami terpaksa melalui hutan dan ditinggalkan di atas bukit untuk mencari jalan sendiri ke destinasi kami. "

Keluarga itu menetap di sebuah kampung kecil di Idlib, sebuah bandar di barat laut Syria, di mana dia tinggal lebih dari setahun semasa suaminya menjadi pejuang IS.

Aisyah berkata, mereka dapat bertahan dengan bantuan daripada IS.

Dia tidak menghadapi masalah untuk mempelajari bahasa tempatan tetapi bunyi letupan-letupan menakutkan anak-anaknya pada bulan pertama mereka di sana, katanya sambil memberitahu bahawa hanya mereka berasal dari Malaysia.

Menurutnya terdapat beberapa rakyat Indonesia turut tinggal di kawasan itu.

Kehidupan Aisyah berubah menjadi lebih buruk apabila dia mengetahui pada 9 Feb lalu yang suaminya terbunuh dalam peperangan. Sebelum kematiannya, suaminya memberitahu Aisyah supaya menjaga anak-anak mereka dan memintanya terus tinggal di Syria.

Tetapi, Aisyah sentiasa memikirkan ibu bapanya dan sentiasa berhubung dengan ibunya, yang menasihatinya supaya pulang ke tanah air.

"Saya memang rindukan tanah air, tetapi saya tidak banyak memikirkannya ketika suami saya masih hidup. Selepas dia terbunuh, barulah saya hanya memikirkan tentang pulang ke tanah air," katanya.

"Saya berharap wanita dan kanak-kanak yang ingin pergi ke Syria supaya memikirkan tentangnya semula kerana kehidupan di sana sangat sukar, bom meletup di mana-mana dan kehidupan di sana bukanlah seperti di sini."

Usaha membawa pulang rakyat Malaysia lain

Sejak 2013, seramai 102 rakyat Malaysia telah pergi ke Syria untuk menyertai IS, kata polis.

Daripada jumlah itu, sebanyak 37 telah terbunuh, 11 pulang ke tanah air dan 54 masih berada di sana, kata ketua polis negara.

Antara yang terbunuh ialah militan Malaysia yang paling dikehendaki, Muhamad Wanndy Mohamed Jedi.

"Kami berharap rakyat Malaysia yang masih berada di Syria akan datang menemui kami atau membuat permohonan kepada kami untuk membawa mereka pulang.  Kami akan cuba membawa mereka pulang kerana tujuan mereka di sana hanyalah sia-sia sahaja," kata Fuzi sambil memberitahu bahawa empat lagi rakyat Malaysia telah menyatakan hasrat untuk kembali ke tanah air.

"Kami cuba membawa mereka keuar dari zon konflik, yang merupakan masalah kritikal yang mesti dipertimbangkan. Ini adalah komitmen kami dan kerajaan untuk membawa mereka kembali kepada keluarga dan masyarakat,"kata Fuzi yang enggan memperincikan butiran mengenai usaha itu.

"Proses ini sangat berisiko selain masalah untuk berhubung kerana kami menggunakan pihak ketiga untuk mengeluarkan mereka," katanya.

Pihak berkuasa telah berjaya membawa pulang beberapa rakyat Malaysia dari Iraq dan Syria di mana militan IS telah dikalahkan dan beberapa percubaan lain gagal dilakukan, kata Fuzi.

Menurut sumber kerajaan, suami Aisyah dipengaruhi oleh Wanndy melalui Facebook.

"Kami tidak tahu bagaimana dan apa yang diberitahu kepadanya, tetapi Wanndy memang terkenal dengan kelicikannya dalam menyakinkan orang yang dihampirinya," kata sumber yang enggan dikenali.

"Kami perlu melindungi identiti beliau. Dia tidak bersalah. Anak-anaknya juga tidak bersalah. Jika kami dedahkan identiti mereka, akan ada kesannyan nanti," katanya kepada BeritaBenar.

Wanndy terbunuh dalam serangan dron di Raqqa, Syria, pada April 2017.

Kurang dari setahun sebelum itu, dia merancang serangan bom tangan di sebuah kelab malam di pinggir Kuala Lumpur, serangan pertama yang didakwa dilakukan IS di Malaysia, kata pihak berkuasa negara itu.

Selepas kematian Wanndy, seorang militan Malaysia mengambil alih peranannya dalam IS, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua bahagian anti keganasaan cawangan khas polis.

"Ada seorang lagi yang masih aktif, Akel Zainal, yang pergi ke Syria pada 2014. Dia masih memainkan peranan untuk merekrut rakyat Malaysia pergi ke Syria," kata Ayob kepada pemberita selepas sidang media itu.

"Berdasarkan pemantauan kami terhadap kira-kira 4,000 [profil] dalam Facebook, terdapat 100 rakyat Malaysia yang masih cenderung untuk menyertainya sama ada di selatan Filipina atau Syria."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.