Balu Perekrut IS Wanndy Mahu Pulang Selepas Kematian Tiga Anak

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
2019.07.23
Kuala Lumpur, Malaysia
190723-MY-IsteriWanndy622.jpg Nor Mahmudah Ahmad Hussin bersama-sama suaminya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, dan anak perempuan mereka dalam satu foto yang dipaparkan di laman Facebook Mahmudah, 26 September 2015.
(Facebook)

Tiga anak kecil kepada perekrut rakyat Malaysia yang mati sebagai pejuang Negara Islam di Syria, telah terbunuh dengan ibu mereka yang berada dalam tahanan ingin kembali ke tanah air, dan perlu menjalani proses deradikalisasi mandatori, demikian kata pegawai kanan polis anti-keganasan Malaysia kepada BeritaBenar pada Selasa.

Anak-anak kepada Muhammad Wanndy Mohd Jedi dan isterinya Nor Mahmudah Ahmad, berusia 1, 2 dan 3 tahun terbunuh selepas sebahagian daripada rumah mereka runtuh akibat letupan bom semasa berlakunya pertempuran di bandar Hajin, di Syria pada 9 November tahun lepas, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetahui cawangan anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia.

Ini adalah kali pertama berita kematian ketiga-tiga anak Wanndy dilaporkan kepada umum iaitu selepas 19 bulan selepas bapa mereka terbunuh dalam serangan udara di Syria.

Ibu mereka, Nor Mahmudah selamat daripada kejadian letupan itu, yang telah bersumpah selepas kematian suaminya untuk terus bersama dengan kumpulan pengganas Negara Islam telah berkahwin dengan seorang pejuang lain dan mempunyai anak lain.

"Anak yang masih hidup itu adalah hasil perkahwinan dengan suami barunya. Tiga lagi anaknya telah terbunuh dalam serangan itu [di Hanjin]," kata Ayob dalam satu temu bual dengan BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Hajin, sebuah bandar kecil di timur laut Syria, adalah bandar utama dan terakhir yang dikuasai oleh Negara Islam (IS) di negara itu sebelum ia jatuh ke Syrian Democratic Forces, yang disokong Amerika Syarikat pada Disember 2018.

"Keluarga Nor Mahmudah telah menghubungi pihak berkuasa Malaysia pada April meminta bantuan supaya balu Wanndy, yang kini berkahwin dengan seorang pejuang IS dari Belgium, dibenarkan pulang ke tanah air dari Syria, di mana beliau berada dalam tahan bersama anak kecil hasil perkahwinan dengan suami barunya," kata Ayob.

Bagaimanapun suami barunya itu tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana bukan warganegara, kata Ayob.

Nor Mahmudah, yang berasal dari negeri utara Kedah, pergi ke Syria bersama-sama Wanndy pada 2014 dan melahirkan tiga anaknya di negara itu.

Wandy bertanggungjawab merekrut ahli-ahli baru IS dari Malaysia dan merupakan dalang bagi serangan pertama IS di Malaysia. Serangan bom tangan di luar kelab malam Kuala Lumpur itu telah mencederakan lapan orang pada Jun 2016.

Dalam temu bual di laman Facebook pada 2015, Wanndy memberitahu BeritaBenar bahawa dia tidak menyesal meninggalkan kehidupannya di Malaysia.

"Terus terang saya katakan bahawa saya berharap dapat kembali ke Malaysia, tetapi ia bukanlah keutamaan saya kerana tumpuan saya sekarang adalah tinggal di sini dan berjuang, untuk mencapai impian saya bagi mempertahankan IS," katanya ketika itu.

Wanndy terbunuh dalam satu serangan dron di Raqqa, Syria, pada 29 April, 2017, kerajaan Malaysia mengesahkan mengenai kematiannya itu kira-kira dua minggu kemudian. Dalam catatan di laman Facebook pada penghujung tahun tersebut, Nor Mahmudah berikrar untuk meneruskan perjuangan suaminya itu di Syria.

Keluarga Nor Mahmudah berharap dan berdoa supaya wanita itu dapat kembali ke tanah air.

Pada awal Oktober 2015, Ahmad Hussin, bapa Nor Mahmudah berkata, beliau tidak begitu mengenali menantu lelakinya dan telah terputus hubungan dengan pasangan itu selepas mereka ke Syria.

"Di sana, mereka berdepan kematian setiap hari. Sebagai bapa, tentu sahaja saya bimbangkan tentang keselamatannya," kata Ahmad Hussin kepada kepada BeritaBenar pada masa itu.

Malaysian di Syria

Ayob berkata Nor Mahmudah adalah seorang daripada 39 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria kerana didakwa terlibat dalam kegiatan yang berkaitan dengan keganasan di negara itu, dan mereka telah menghubungi keluarga dan pihak berkuasa bagi mendapatkan kebenaran pulang ke tanah air.

Pada Oktober 2018, pihak berkuasa Malaysia mengumumkan tentang kepulangan seorang wanita Malaysia dan dua anaknya dari Syria, dengan menganggapnya sebagai kejayaan pertama dalam usaha tersebut.

Wanita berusia 30-an itu dikenal pasti sebagai "Aisyah." Suaminya, yang juga pejuang IS yang dipengaruhi oleh Wanndy melalui laman Facebook, meninggal dunia dalam satu serangan di Syria, kata pihak berkuasa.

Sejak 2013, seramai 116 rakyat Malaysia telah ke Syria untuk menyertai IS. Daripada jumlah tersebut, seramai 40 orang telah terbunuh, 11 orang lagi pulang ke tanah air manakala 65 orang masih berada di negara itu, menurut data polis.

Ayob berkata sekiranya Nor Mahmudah dan lain-lain kembali ke tanah air, mereka akan dipantau oleh cawangan khas anti-keganasan bagi suatu tempoh tertentu untuk tujuan penilaian. Semasa penilaian itu, mereka perlu menghadiri sesi kaunseling dan kelas agama sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.

"Hanya wanita dan kanak-kanak akan menjalani program pemulihan khas yang kami sediakan untuk mereka yang pulang ke tanah air," kata Ayob. "Sekiranya terdapat bukti tentang penglibatan serius mereka dalam IS, mereka boleh didakwa di mahkamah. Bagi lelaki yang pulang ke tanah air, mereka semestinya akan dihadapkan ke mahkamah."

Sebaik sahaja program itu selesai, wanita dan kanak-kanak yang tidak terlibat langsung dengan IS akan dibebaskan dan dipantau, kata pegawai kanan polis itu.

‘Beri mereka pengajaran’

Penganalisis keselamatan Ahmad Ghazali Abu Hassan yang juga profesor bersara berkata kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dengan tidak membenarkan warganegara Malaysia yang pergi ke Syria kerana adanya kaitan dengan IS pulang.

"Kita perlu memberi pengajaran kepada mereka. Saya tidak setuju mereka dibenarkan pulang ke tanah air," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata mereka mahu pulang kerana mahu menikmati keselesaan makanan dan tempat tinggal. "Tetapi adakah mereka rasa menyesal? Tidak. "

Beliau memberi contoh rakyat Britain, Shamina Begum, ‘Pengantin Jihadi’, yang meninggalkan London untuk menyertai militan Negara Islam, semasa berusia 15 tahun, pada 2015, telah dibatalkan kewarganegaraan oleh negara itu.

Namun, seorang lagi penganalisis tidak bersetuju dengan pendapat itu.

"Kita tidak boleh membiarkan mereka seperti itu. Ia bukanlah pilihan terbaik dalam jangka masa panjang. Ia juga bertentangan dengan hak asasi manusia," kata Ahmad El Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata mereka yang kembali perlu melalui beberapa tahap pemulihan. Fasa pertama adalah di mana pihak berkuasa boleh mendapatkan maklumat tentang IS daripada mereka untuk dikongsikan dengan agensi perisikan antarabangsa seperti Polis Antarabangsa (Interpol), FBI atau CIA.

"Kita juga boleh membuat profil ideologi dan melihat sejauh mana mereka terlibat," katanya kepada BeritaBenar. "Ini termasuklah bagaimana mereka berfikir, bagaimana mereka melihat sesuatu perkara serta apa yang telah dilalui mereka.

"Ini kerana ada yang pergi ke sana bukan untuk berperang tetapi mahu berada di bawah pimpinan khalifah," katanya. "Peranan masyarakat adalah dengan membantu mereka yang pulang ke tanah air untuk menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat. Sekiranya kita boleh melakukan semua ini, peluang mereka untuk bertindak balas adalah rendah. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.