Ahli Parlimen Pembangkang antara dua individu didakwa kesalahan rasuah RM7.4 juta

Pendakwaan terhadap dua pemimpin Bersatu adalah serangan oleh gabungan parti kerajaan Anwar Ibrahim yang takut akan kalah dengan Perikatan Nasional semasa pilihan raya negeri, kata Muhyiddin Yassin.
Haizal Yatiran & Noah Lee
2023.02.21
Kuala Lumpur
Ahli Parlimen Pembangkang antara dua individu didakwa kesalahan rasuah RM7.4 juta Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan (tengah) semasa tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Dua pemimpin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan inisiatif kerajaan semasa presiden parti itu, Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan sebagai Perdana Menteri.

Wan Saiful Wan Jan dan Adam Radlan Adam Muhammad dibebaskan dengan ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan meminta dan mengambil rasuah berjumlah RM7.4 juta (AS$1.6 juta) daripada dua buah syarikat yang mendapat kontrak kerajaan di bawah inisiatif dipanggil Jana Wibawa.

Pada hari yang sama Muhyiddin mengkritik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dengan menyifatkan pertuduhan tersebut adalah satu bentuk serangan oleh pentadbiran negara sekarang ini bertujuan menjatuhkan kredibiliti serta blok pembangkang Perikatan Nasional pimpinannya menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan di enam buah negeri dalam masa beberapa bulan lagi.

Wan Saiful, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Penerangan Bersatu, telah didakwa atas dua pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta (AS$1.5 juta) sebagai balasan kerana membantu sebuah syarikat kontraktor untuk mendapatkan projek di bawah inisiatif Jana Wibawa sewaktu kerajaan diterajui oleh Muhyiddin.

"Bahawa kamu di antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku telah secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694 melalui Akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat kamu iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah bagi diri kamu kerana telah melakukan suatu perkara yang sebenar, iaitu membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara pra-kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

"Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama," demikian menurut salah satu kertas pertuduhan yang dibacakan terhadap Wan Saiful di mahkamah pada Selasa.

Beliau turut didakwa di bawah peruntukan yang sama atas kesalahan meminta rasuah daripada syarikat berkenaan untuk tujuan yang sama.

Wan Saiful, 47, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi dengan mahkamah kemudiannya membenarkan beliau diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM400,000 (AS$90,000).

Turut dilepaskan dengan jaminan adalah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, 42, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM500,000 (AS$112,800) sebagai suapan kerana membantu sebuah lagi syarikat untuk mendapatkan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta (AS$10.7 juta) yang juga berkaitan dengan Jana Wibawa.

Mahkamah kemudian membenarkan Adam Radlan diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM120,000 (AS$27,000) dengan dua orang penjamin.

Pertuduhan terpilih

Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu turut menghadiri prosiding bagi memberikan sokongan moral kepada Wan Saiful yang kemudiannya memberitahu pemberita semasa satu sidang media bahawa tindakan pendakwaan berkenaan merupakan serangan oleh gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar dan Barisan Nasional yang dikatakan sedang takut akan kalah dengan Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri-negeri yang akan diadakan kelak.

"Pendakwaan terpilih ini berlaku ketika Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat semakin gagal menyelesaikan masalah rakyat dan bakal ditolak dalam pilihan raya di enam buah negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Bersatu sebenarnya telah pun menjangka inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk melumpuhkan Bersatu setelah dilihat sokongan kepada parti dan Perikatan Nasional semakin kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-15," kata Muhyiddin pada sidang media di luar kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai pendanaan politik, Muhyiddin berkata setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti mereka dan perlembagaan Bersatu membenarkannya untuk menerima sumbangan daripada ahli-ahli parti, orang ramai dan individu yang menyokong perjuangan parti itu.

Beliau turut mempertikaikan tindakan pendakwaan yang dikatakan hanya dibuat ke atas beberapa orang pemimpin Bersatu sedangkan parti lain termasuk yang berada di dalam kerajaan turut menerima sumbangan daripada ahli-ahli perniagaan dan orang ramai.

"Mengapa saya katakan pendakwaan terpilih adalah kerana parti-parti politik dalam kerajaan terutamanya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional juga menerima sumbangan daripada ahli-ahli perniagaan, orang ramai tertentu tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah," dakwa beliau.

Kepentingan rakyat

Sementara itu, beberapa penganalisis politik berpandangan bahawa tidak timbul isu mengenai pendakwaan terpilih dalam kes Wan Saiful, dan menyatakan bahawa ahli politik itu perlu memberikan kerjasama untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah.

Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Hubungan Korporat Universiti Utara Malaysia, berkata pendakwaan yang dibuat terhadap Wan Saiful perlu diputuskan oleh mahkamah sama ada ianya boleh disabitkan atau sebaliknya memandangkan perkara tersebut melibatkan jumlah dana yang besar serta mempunyai kepentingan kepada rakyat di negara ini.

"Beliau baru sahaja didakwa dan disiasat oleh SPRM maka dia perlu memberikan kerjasama.  Tidak timbul isu pendakwaan terpilih kerana pendakwaan terpilih ini boleh berlaku di mana-mana.

“Dalam kes ini, disebabkan ianya melibatkan amaun yang besar, saya kira ini satu pendakwaan yang biasa sebab melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan kepentingan rakyat jadi, perlu disiasatlah. Kalau dia (Wan Saiful) yakin tidak bersalah, dia perlu bagi kerjasama untuk pihak berkuasa selesaikan siasatan,” katanya kepada BenarNews ketika dihubungi.

Bagi penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hasssan, kenyataan Muhyiddin berkenaan dana politik yang tidak tertakluk dengan mana-mana akta di negara ini sama sekali tidak boleh diterima pakai.

“Berkenaan dengan dana politik yang dikatakan Muhyiddin pula, yang mengatakan dana politik adalah perkara biasa, saya fikir itu bukan perkara biasa.

“Walaupun kita mempunyai akta dana politik yang tidak boleh mengikat perundangan terhadap dana politiknya, tapi dari segi logik etika dan moral, bahawa kalau dana itu adalah dana politik seharusnya masuk ke dalam akaun parti itu sendiri,” kata Azmi kepada BenarNews.

Perdana Menteri Anwar pada Disember tahun lalu berkata beliau sedang meneliti projek bernilai berbilion ringgit yang telah diluluskan oleh Muhyiddin kerana ianya tidak mematuhi peraturan.

Anwar berkata projek-projek tersebut termasuklah projek tebatan banjir dan program bantuan COVID-19 namun Muhyiddin dalam satu muatnaik kenyataan di media sosial telah menafikan salahguna kuasa dan dana berkait program COVID-19 dan turut mengalu-alukan siasatan dari mana-mana pihak berkaitan.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.