Thailand keluar waran tangkap terhadap Ketua Pemberontak PULO

Adalah perkara biasa bagi seorang pejuang untuk mendapat waran tangkap dan ianya tidak sekali menjejaskan saya dan rundingan damai, kata Kasturi Mahkota.
Nani Yusof & Mariam Ahmad
2022.08.05
Washington & Pattani, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Thailand keluar waran tangkap terhadap Ketua Pemberontak PULO Jurucakap Majlis Syura Patani (MARA Patani) Kasturi Mahkota, yang juga Presiden Patani Liberation Organisation (PULO) MKPP pada sidang media selepas mesyuarat rundingan damai dengan kerajaan Thailand di Kuala Lumpur, 28 Ogos 2015.
[BenarNews]

Sebuah mahkamah di Selatan Thailand telah mengeluarkan waran tangkap bagi pertuduhan berkaitan bahan letupan, antara lain, terhadap ketua kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) yang mengaku bertanggungjawab bagi dua pengeboman maut di tepi jalan pada pertengahan April lalu, menurut salinan yang dilihat oleh BenarNews.

Pemimpin PULO, Kasturi Mahkota, yang dipercayai tinggal di Sewden berkata kumpulannya melakukan serangan Ramadan itu kerana ia tidak dilibatkan dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan pemberontak utama di wilayah sempadan.

Waran tangkap bertarikh 4 Ogos yang dilihat BenarNews itu menyatakan bahawa Kasturi, yang juga dikenali sebagai Wabato Patan, adalah seorang rakyat Thailand dengan kewarganegaraan Sweden, telah melakukan kesalahan "mengumpul tentera dan senjata, mengumpul aset, memberi atau menerima latihan keganasan atau melakukan apa-apa kesalahan yang berkaitan dengan plot pengganas, dan berada dalam kumpulan.

“Saya sendiri pun belum dapat maklumat yang terperinci walau bagaimanapun saya rasa sebenarnya perkara ini tidak perlu berlaku, waran tangkap ataupun tidak, saya sudah pun tahu saya sememangnya tidak boleh lagi pulang ke Thailand.

“Ia tidak menjejaskan saya tetapi ia mungkin menyempitkan kawasan pergerakan,” kata Kasturi semasa dihubungi BenarNews, sambil memaklumkan yang mengetahui mengenai waran tersebut daripada seorang rakan di Thailand pada Jumaat pagi.

Beliau secara sinis mengucapkan terima kasih terhadap usaha pihak berkuasa Thailand terhadap cubaan mengangkapnya itu sambil berkata “semoga berhasil sesuatu yang baik – untuk saya secara peribadi dan rakyat Pattani secara umumnya – ‘Good job just go ahead’ [Kerja yang baik teruskan sahaja].

“Sekarang ini saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Adalah satu perkara biasa kepada pejuang seperti saya untuk mendapat waran tangkap… dan saya ingin bertegas bahawa waran tangkap ini tidak akan menjejaskan usaha yang dilakukan dan rundingan damai dengan kerajaan Thailand, yang kini sedang berjalan,” tambahnya lagi

Mengaku bertanggungjawab

Pada 15 April, ketika Kasturi, yang mengetuai satu daripada tiga pihak PULO, menyuarakan minat untuk menyertai BRN dalam rundingan damai dengan kerajaan, anggota PULO mengaku bertanggungjawab melakukan dua pengeboman hingga menjejaskan gencatan senjata 40 hari sempena bulan suci umat Islam yang telah dipersetujui para perunding sebelum itu.

Letupan di wilayah Pattani itu menyebabkan kematian seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga anggota skuad pengebom polis di tepi jalan di Patani, iaitu satu daripada wilayah Selatan Thailand.

Kasturi mendakwa kumpulannya yang melakukan serangan tersebut pada pertengahan Ramadan kerana telah diketepikan daripada terlibat dalam rundingan damai dan mahu mengambil bahagian dalam usaha itu.

“Tindakan PULO itu bertujuan menghantar mesej kepada kerajaan Thailand bahawa mereka "mesti berunding dengan semua kumpulan," kata Kasturi kepada BenarNews pada 15 April.

Baru-baru ini, seorang jeneral kanan tentera yang merupakan anggota delegasi Thailand ke rundingan damai antara menyatakan bahawa PULO bukanlah suatu ancaman besar.

“Mengenai PULO, saya rasa ia tidak mempunyai daya kekuatan yang sebenar. Mereka hanyalah sekumpulan orang yang berkumpul dan kemudian melakukan serangan. Dalam bahasa yang mudah: mereka hanyalah pembunuh upahan,” kata Lt. Jeneral Thira Daehwa yang merupakan setiausaha bagi kumpulan kerajaan Thailand, kepada BenarNews.

“Kami menahan lapan daripada mereka dan menembak mati dua lagi di daerah Raman, dan jejak mereka kian hilang,” katanya. “Dasar rundingan damai kami ialah kami akan berbincang dengan mana-mana kumpulan yang bersedia untuk berunding, secara tidak rasmi, di mana-mana tempat... Jika mereka [PULO] mahu berunding, mereka boleh menyertai Barisan Revolusi Nasional [BRN] atau datang sebagai kumpulan tersendiri. ”

Tiada dalam perbincangan

BRN, kumpulan militan terbesar di wilayah bergolak itu, memulakan rundingan langsung dengan kerajaan Thailand yang diperantarakan oleh Malaysia sejak Januari 2020, selepas beberapa siri perbincangan damai yang bermula pada 2015, gagal.

Pada Selasa lalu, Wanlop berkata PULO tidak disebut semasa perbincangan damai dengan BRN yang diadakan minggu ini.

"Kami bimbang dengan operasi PULO di lapangan, [walaupun] kami mempunyai dasar keterangkuman," kata Wanlop, sambil memberitahu bahawa PULO boleh berusaha "untuk disertakan dalam rundingan damai itu" atau "menyertai kumpulan pemberontak lain untuk berbincang dengan kami.”

"Jika tiada kumpulan lain yang mahu menyertai, PULO boleh menyertai perbincangan itu di peringkat tempatan," katanya.

Kasturi tidak segera menjawab pertanyaan BenarNews mengenai ia tidak dijemput ke rundingan itu. Terdahulu, beliau berkata kumpulan itu telah menghubungi perunding kerajaan melalui saluran dalam talian bagi meminta ia disertakan dalam perbincangan itu.

Tiada maklumat jelas mengenai bilangan ahli bersenjata PULO. Seorang penyokong kumpulan itu, yang meminta namanya dirahsiakan kerana bimbangkan tindakan balas, mendakwa bahawa PULO telah melatih lebih 2,000 orang pejuang sejak lima tahun lepas termasuk mereka dalam kepakaran untuk melancarkan serangan roket.

BenarNews tidak dapat mengesahkan mengenai bilangan yang dinyatakan, namun menurut satu sumber dari pasukan keselamatan Thailand, yang juga tidak mempunyai kebenaran bercakap dengan media, PULO hanya mempunyai beberapa puluh orang pejuang sahaja.

Serangan bom tepi jalan di Pattani pada pertengahan April lalu, adalah yang pertama diakui oleh PULO sejak 2016.

Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh wilayah Selatan Thailand itu, menurut Deep South Watch iaitu badan pemikir tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.