Malaysia hantar pulang ‘wartawan’ Pakistan kritik Islamabad, Ogos lepas

Isterinya mendakwa lelaki itu adalah pemegang kad pelarian PBB yang melarikan diri dari Pakistan kerana takut dianiaya.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2023.01.03
Kuala Lumpur
Malaysia hantar pulang ‘wartawan’ Pakistan kritik Islamabad, Ogos lepas Wartawan Pakistan Syed Fawad Ali Shah, 41, yang dilaporkan hilang pada Ogos 2022, sebenarnya telah dihantar pulang ke negara asal selepas Islamabad mengemukakan permintaan rasmi kepada kerajaan Malaysia untuk mengesan dan menghantar beliau pulang.
[Ihsan isteri Syed Fawad, Syeda]

Menteri Dalam Negeri Malaysia yang baharu berkata pentadbiran terdahulu telah menghantar pulang seorang lelaki warga Pakistan atas permintaan Islamabad kerana menulis artikel yang mengkritik kerajaan negara itu pada Ogos lepas.

Pertubuhan masyarakat sivil dan aktivis telah mempertikai komitmen hak asasi manusia Malaysia, dengan mendakwa kerajaan negara itu telah menghantar pulang lebih 2,000 warga Myanmar tahun lepas termasuk individu berpaling tadah terdiri daripada anggota pasukan keselamatan ke tanah tumpah darah mereka yang kini diperintah rejim tentera.

Syed Fawad Ali Shah, 41, adalah seorang wartawan yang memegang kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah berlindung di Malaysia lebih sedekad lepas, kata isterinya. Kerajaan Pakistan pula berkata Syed Fawad adalah bekas pegawai polis yang mempunyai masalah disiplin, demikian menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa.

“Ini berdasarkan permintaan yang dibuat oleh kerajaan Pakistan agar kami mencari dan menghantar beliau pulang. Bertindak atas permintaan yang dibuat melalui saluran diplomatik kepada kerajaan terdahulu pada Ogos tahun lepas, kami telah mengesan lokasi beliau dan pada minggu ketiga Ogos, beliau telah dihantar pulang ke Islamabad,” katanya selepas melawat Penjara Kajang di Selangor.

"Walaupun digambarkan sebagai bekas anggota polis yang mempunyai masalah disiplin, beliau memiliki bakat menulis yang baik dan telah menghasilkan artikel yang mengkritik kerajaan [Pakistan]. Beliau akhirnya dirujuk sebagai wartawan,” kata Saifuddin.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas isteri Syed Fawad merayu agar kerajaan Malaysia mencari suaminya yang hilang sejak 23 Ogos lepas.

Dalam beberapa temu bual, Syed Fawad memberitahu media Malaysia bahawa beliau menulis untuk akhbar harian berbahasa Inggeris di Pakistan iaitu The Nation. Beliau berkata beliau telah melarikan diri ke Malaysia melalui Thailand dan mendakwa berdepan penganiayaan di Pakistan kerana menulis artikel yang mendedahkan penglibatan Islamabad dalam kes orang hilang bermula 2008.

Syed Fawad turut memaklumkan portal berita tempatan Free Malaysia Today bahawa beliau telah ditahan pada Januari 2010 di Allahabad, Pakistan oleh lelaki yang mendakwa daripada Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) selama lebih tiga bulan dan diseksa. Syed Fawad juga mendakwa semasa penahanannya, beliau melihat beberapa pegawai membawa fail tertera nama agensi perisikan Pakistan iaitu Inter-Service Intelligence, yang mendakwa beliau bekerja dengan "musuh negara.”

Reporters Without Borders, sebuah pertubuhan antarabangsa yang mempromosi kebebasan maklumat, pula menggambarkan Pakistan sebagai "antara negara paling berbahaya di dunia bagi wartawan, dengan tiga hingga empat pembunuhan setiap tahun yang sering dikaitkan dengan kes rasuah atau aktiviti penyeludupan haram dan tidak pernah dihukum.

“Mana-mana wartawan yang melintasi garisan merah yang ditentukan oleh Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) – satu cabang agensi perisikan – akan menjadi sasaran pengawasan mendalam yang boleh membawa kepada penculikan dan penahanan pelbagai tempoh masa di penjara rasmi atau tidak rasmi negara itu."

Pengusiran telah menyebabkan nyawanya dalam bahaya’

Sementara itu, isteri Syed Fawad iaitu Syeda yang meminta nama sebenar beliau tidak digunakan kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, menafikan laporan bahawa suaminya berkhidmat dalam agensi penguatkuasaan undang-undang.

“Suami saya tidak pernah menjadi anggota polis. Beliau seorang wartawan. Anda boleh lihat perkara ini daripada pelbagai artikel yang dihasilkan beliau di Internet,” katanya kepada BenarNews pada Selasa.

“Bagaimana mereka boleh menghantarnya pulang ke Pakistan di mana beliau mungkin berdepan penganiayaan? Pengusiran itu telah menyebabkan nyawa suami saya berada dalam bahaya,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia mendakwa ia tidak terlibat dalam langkah penghantaran pulang itu.

“Apa salah suami saya? Salah suami saya hanyalah kerana beliau menulis artikel yang menentang rasuah. Beliau seorang wartawan. Inilah kesalahan beliau. Berapa lama lagi penindasan ke atas wartawan akan berterusan seperti ini dan kini wartawan ditindas di peringkat antarabangsa.”

“Soalan saya sekarang ialah bagaimana pihak berkuasa Malaysia boleh mengabaikan fakta bahawa beliau berada dalam buangan di Kuala Lumpur dengan kad UNHCR,” katanya merujuk kepada agensi pelarian PBB.

Syeda datang ke Kuala Lumpur untuk mencari Syed Fawad selepas terputus hubungan dengannya sejak 23 Ogos lepas dan berkata suaminya telah diberikan status pelarian oleh UNHCR pada 2011 dan sedang menunggu penempatan semula ke negara ketiga.

“Saya mahukan kenyataan bertulis daripada kerajaan Malaysia. Bukti bertulis kerana komunikasi lisan tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

“Berikan kenyataan bertulis dan dokumen perjalanan suami saya. Bila dia keluar dari Malaysia? Apa nombor penerbangannya? Siapa pegawai Pakistan yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan suami saya? Dan jika suami saya telah dihantar pulang ke Pakistan, kenapa beliau tidak hadir di mana-mana mahkamah di Pakistan?” soalnya.

Prinsip tiada penghantaran pulang secara paksa

Kumpulan masyarakat sivil dan aktivis mengkritik langkah penghantaran pulang wartawan itu ke negara asal.

“Memandangkan Syed Fawad [Ali] adalah pemegang kad UNHCR, penghantaran pulang beliau adalah melanggar prinsip tiada penghantaran pulang secara paksa atau non-refoulement,” demikian kata Mahi Ramakrishnan, pengasas Beyond Borders Malaysia.

“Kerajaan terdahulu Malaysia telah menghantar beliau pulang ke negara asal di mana beliau mungkin dibunuh atau diseksa kerana mengkritik kerajaannya. Ini sesuatu yang amat mengejutkan.”

Malaysia bukanlah negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951. Bagaimanapun, menurut undang-undang antarabangsa, prinsip non-refoulement menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh dihantar pulang ke negara di mana beliau mungkin berdepan penganiayaan, penyeksaan, layanan buruk atau hak asasi manusia mereka dicabuli dengan cara lain.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia P. Waytha Moorthy yang juga aktivis hak asasi sivil, telah meminta penjelasan daripada kerajaan Malaysia.

“Meskipun tindakan menghantar pulang Fawad Ali ke Pakistan pada Ogos lepas dilakukan oleh kerajaan terdahulu, kerajaan semasa bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada umum mengenai justifikasi tindakan sedemikian oleh (Ketua Pengarah) Imigresen,” menurut Waytha dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.

“Ketua Pengarah juga perlu mengesahkan sama ada pihak berkuasa telah memberikan hak untuk mendapatkan peguam atau diwakili di sisi undang-undang kepada Fawad Ali serta mencabar keputusan Jabatan Imigresen dan kerajaan untuk menghantar beliau pulang di mahkamah. Sebarang pelanggaran dalam isu ini adalah jelas melanggar keadilan asasi.

“Komitmen Malaysia terhadap kewajipan dan konvensyen antarabangsa perlu dilindungi oleh perkhidmatan sivil yang bertindak sebagai pelaksana pentadbiran bagi pihak kerajaan.”

Malaysia telah dikritik sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana menghantar pulang beratus-ratus pelarian Myanmar ke negara asal mereka yang sedang bergolak di mana rejim tentera pada 1 Feb 2021 telah menggulingkan kerajaan yang dipilih.

Pada Oktober 2022, kerajaan bayangan Myanmar telah menzahirkan kebimbangan berhubung laporan bahawa beberapa pegawai tentera yang berpaling tadah adalah antara 150 rakyat Myanmar yang dihantar pulang bulan itu dari Malaysia. Mereka adalah antara lebih 2,000 rakyat Myanmar yang telah dihantar pulang sejak April, menurut Human Rights Watch dalam satu kenyataan ketika itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.