Tujuh Negeri Tidak Mahu Pinda Enakmen Had Umur Perkahwinan Kanak-Kanak

Ali Nufael & Noah Lee
2019.11.19
Kuala Lumpur, Malaysia
191118-MY-Child-Marriage1000.jpg Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada satu acara kerajaan di Putrajaya, Malaysia, 2 Julai 2018.
[AP]

Separuh daripada 13 buah negeri di Malaysia tidak mahu meminda Enakmen Undang-undang Negeri had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan, dari 16 ke 18 tahun, sekaligus melambatkan proses kerajaan pusat membuat pindaan terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam, demikian kata Timbalan Perdana Menterinya pada Selasa.

Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia berkata tujuh negeri tidak bersetuju untuk membuat pindaan enakmen tersebut di peringkat negeri masing-masing.

“Tujuh negeri tidak bersetuju untuk meminda perundangan ini. Negeri-negeri itu adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan,” katanya semasa menjawab soalan seorang anggota Parlimen di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, hanya Selangor sahaja yang telah meminda enakmen undang-undang negeri itu sementara Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan, manakala Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak telah bersetuju untuk berbuat demikian.

“Dalam jadual kesembilan, Bahagian Dua - Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan menetapkan undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum Syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri,

“Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri-negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut," kata Anggota Parlimen Pandan berkenaan.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 untuk menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan semua kerajaan negeri.

Menteri Wanita berkenaan turut memberitahu yang kementeriannya kini berada di peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur yang akan dibentangkan kepada perhatian Jemaah Menteri hujung tahun ini.

"Draf itu berada di peringkat akhir dan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia mengandungi program tindakan yang melibatkan 61 agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang akan dibentangkan dalam memorandun jemaah menteri hujung tahun ini," tambah Wan Azizah.

Paksa tujuh negeri


Sehubungan kenyataan Wan Azizah berhubung tujuh negeri yang tidak mahu meminda enakmen undang-undang negeri mereka, kumpulan yang memperkasakan wanita, Sisters in Islam (SIS) mahu Kerajaan Persekutuan memaksa tujuh negeri yang enggan bekerjasama untuk meminda enakmen di peringkat negeri masing-masing itu.

"Kerajaan Pakatan Harapan perlu menjelaskan apa yang sedang dilakukan untuk memaksa tujuh negeri yang enggan bekerjasama ini.

“Menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak dapat meneruskan pindaan itu hanya kerana tujuh negeri menentang isu-isu nasional yang kritikal yang hanya ditentukan di peringkat negeri... Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi dengan sengaja meletakkan kehidupan dan masa depan kanak-kanak dalam bahaya.

"Undang-undang sepatutnya melindungi mereka,” kata SIS dalam kenyataan yang dikongsi kepada media pada Selasa.

Sementara itu, aktivis kebajikan kanak-kanak, Dr Hartini Zainudin mahu kerajaan persekutuan dan pihak berkepentingan melobi dengan lebih kuat terhadap tujuh negeri yang menolak pindaan undang-undang itu supaya menerima pindaan had umur perkahwinan.

Beliau semasa dihubungi BeritaBenar berkata, penerangan perlu diberikan dengan jelas kepada kesemua negeri berkenaan mengenai kepentingan melindungi hak kanak-kanak.

“Ketidak-setujuan tujuh negeri berkenaan, adalah merupakan satu 'setback' (kemunduran) yang besar dalam langkah menjamin hak kanak-kanak di negara ini.

“Apa yang ditonjolkan sekarang adalah jurang yang besar dan pertembungan di antara undang-undang tradisional atau adat dengan keperluan untuk meletakkan kepentingan kepada perlindungan kanak-kanak serta hak mereka.

"Saya tidak tahu mengapa, tetapi ia adalah mengejutkan kerana ia berlaku di zaman sekarang," kata Hartini.

Pada Julai 2018, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gua Musang di negeri Kelantan mendenda lelaki berusia 41 tahun sebanyak RM1,800 (AS$446) selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan  pernikahannya dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang berasal dari Thailand.

Lelaki itu didakwa atas kesalahan melaksanakan perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran mahkamah syariah dan poligami tanpa kebenaran.

Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menghalang sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur setelah mempertimbangkan keperluan perkahwinan itu, serta faktor lain termasuk jika ia boleh menimbulkan perkara yang tidak baik terhadap pasangan bawah umur.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam Malaysia yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.