IDC Berakhir Dengan Pemahaman Lebih Jelas Tentang Ancaman Keganasan: Pegawai

Razlan Rashid
2016.01.27
160127-MY-IDC-WRAP620 Seorang wanita memegang plakad tertera "Terorisme Musuh Semua Keyakinan" semasa perhimpunan nyalaan lilin di tempat kejadian, sehari selepas serangan pengganas yang menyebabkan lapan orang mati, di pusat bandar Jakarta, 15 Januari 201
AFP

Pegawai-pegawai tinggi dari Asia, Amerika Syarikat dan Eropah mengakhiri perbincangan menangani keganasan yang berlangsung selama dua hari pada Selasa, dengan pemahaman yang lebih baik mengenai ancaman keganasan dan mengakui perlunya mengadakan program deradikalisasi mereka dengan lebih menyeluruh, menurut seorang pegawai tinggi tuan rumah, Malaysia.

Pakar-pakar yang mengambil bahagian bersama-sama dengan pegawai-pegawai berkenaan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menangani Ekstremisme Keganasan 2016 di Kuala Lumpur menggesa supaya dikaji semula program-program deradikalisasi untuk penyerang berpotensi dan pengganas yang dipenjarakan, kerana mendapati ia belum cukup berkesan.

Beberapa pakar berkata, program itu tidak berdasarkan kajian menyeluruh dan tidak banyak disertai oleh masyarakat tempatan. Sementara yang lainnya pula meminta supaya dikaji semula program pemulihan pengganas yang disabit kesalahan atau suspek pengganas yang ditahan kerana menunggu perbicaraan di penjara.

"Kita telah membangunkan pemahaman yang lebih mendalam tentang ancaman [keganasan] ini dan misi yang lebih besar misi," kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi Malaysia dalam ucapan penutupan persidangan itu pada Selasa, sambil menekankan perlunya kerjasama antarabangsa yang lebih besar untuk menangani masalah keselamatan nombor satu dunia itu.

"Kita sudah hampir mengenal pasti banyak objektif motivasi dan salah faham tentangnya, dan kesedaran baru tentang bagaimana, dalam pelbagai cara, kita boleh bekerjasama untuk menangani faktor biasa yang berbeza-beza dan kesan buruk yang berbangkit," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata, negara-negara yang memerangi ancaman keganasan "mesti memastikan keberkesanan" program pemulihan mereka dengan melibatkan "semua pihak," dengan menyatakan khususnya "keperluan melibatkan diri dan melibatkan semula belia kita."

Kelemahan

Persidangan Kuala Lumpur itu diadakan kurang dua minggu selepas serangan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) di Jakarta, ibu negara Indonesia, yang menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati. Insiden itu menyusul selepas serangan IS di Paris pada November lalu yang mengorbankan 130 orang.

Menteri-menteri dan pegawai-pegawai dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan kongsi strategik blok 10 negara anggota itu - Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China dan Itali -menghadiri mesyuarat berkenaan.

Sidney Jones, seorang penganalisis konflik antarabangsa kanan, memberitahu persidangan itu, bahawa "kelemahan utama program deradikalisasi adalah ia tidak dihasilkan daripada kajian yang menyeluruh tentang di mana dan bagaimana radikal berlaku."

Jones, yang mengetuai  Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) yang berpejabat di Jakarta, berkata, penyelidikan bukanlah jaminan bagi kejayaan program-program itu, tetapi program yang tidak berdasarkan kepada data kukuh selalunya boleh gagal.

Beliau berkata, kemunculan IS membantu menumpukan perhatian kepada deradikalisasi dengan kepentingan tertentu dalam menangani naratif  dalam media sosial tetapi tidak banyak idea baru yang dikemukakan, meskipun ramai rakyat Indonesia, termasuk beberapa remaja, telah meninggalkan negara itu untuk menyertai kumpulan yang bertempur di Syria.

Antara yang terbunuh dalam pertempuran di kota Ramadi bulan lalu ialah remaja Indonesia  berumur 15 tahun yang berasal dari Jawa Timur.

Sekurang-kurangnya dua daripada penyerang dalam kejadian pengeboman di Jakarta ialah bekas banduan yang telah menjalani hukuman dan dibebaskan, yang menunjukkan kemungkinan berlakunya kelemahan dalam proses pemulihan di penjara.

Pertembungan idea

Para perwakilan juga menggesa supaya perhatian yang lebih diberikan kepada pemulihan pengganas yang disabitkan kesalahan dan suspek pengganas yang menunggu perbicaraan di penjara.

Di Thailand, sebagai contoh, bilangan suspek keganasan semakin meningkat di penjara yang penuh sesak di negara itu, yang memberi kesan kepada pengurusan dan pemulihan banduan, kata seorang pegawai dari sebuah institut yang dibiayai kerajaan.

Kebanyakan daripada suspek itu dipercayai ditahan di kawasan pemberontakan di selatan Thailand, di mana pemberontak di wilayah yang majoriti penduduknya Islam dan bersempadan dengan Malaysia, telah melancarkan serangan bom dan tembakan sejak 2004, dengan  kebanyakannya menyasarkan kepada tentera atau polis serta orang awam.

"Kesesakan dalam pusat pemulihan mempunyai kesan yang besar kepada ruang yang ada dan sumber yang terhad untuk menyediakan mereka dengan program dan aktiviti rawatan yang betul," kata Timbalan Pengarah Eksekutif  Institut Keadilan Thailand  (TIJ) Nathee Chitsawang.

Walaupun lebih daripada 50 peratus daripada banduan di Thailand merupakan pesalah berkaitan dadah, "keadaan nampaknya semakin teruk apabila jumlah tahanan pengganas dalam penjara terus meningkat," kata beliau.

Nathee berkata, kebanyakan penjara tidak direka bentuk untuk menahan suspek keganasan, sambil menambah kata bahawa "penempatan bagi  pemulihan perlu direka khas dan dirancang untuk banduan pengganas."

Nathee juga menggesa supaya pengharmonian program deradikalisasi dilakukan di dalam dan di luar penjara Thai.

Beliau berkata, majoriti banduan di wilayah selatan Thailand ditahan bersama-sama dengan suspek pengganas.

"Pengasingan rawatan boleh membantu untuk menghalang mereka daripada merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan banduan," katanya.

Mohamed Ali, Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan di Singapura, berkata, adalah penting bagi kerajaan dan masyarakat Islam untuk menyedari bahawa mengalahkan kumpulan pengganas dan pelampau memerlukan "senjata ideologi."

"Ia bukan perang terhadap Islam, tetapi perang terhadap sebarang salah tafsir dan salah faham mengenai Islam," katanya. "Ia bukan satu pertembungan antara tamadun tetapi pertembungan idea-idea yang telah membahagikan dunia kepada keamanan dan peperangan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.