Kes Seleweng AS$30 Juta: Mahkamah Arah Presiden UMNO Bela Diri

Pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai kaitan dengan yayasan kebajikan miliknya, kata hakim.
Muzliza Mustafa
2022.01.24
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Kes Seleweng AS$30 Juta: Mahkamah Arah Presiden UMNO Bela Diri Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hakim memerintahkan beliau membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram, 24 Jan 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Presiden parti politik terbesar Malaysia perlu menjawab pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah lain membabitkan wang berjumlah berjuta-juta dolar yang dikaitkan dengan yayasan kebajikan miiliknya, demikian menurut sebuah mahkamah tempatan pada Isnin selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid Hamidi, bekas Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), membela diri atas kesemua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan lebih AS$30 juta dana Yayasan Akalbudi, yang ditubuhkannya, untuk perbelanjaan peribadi.

“Saya mendapati tiada merit dalam hujahan bahawa kes ini mempunyai imuniti bagi 12 pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” kata Sequerah.

“Selepas penilaian maksimum, pendakwaan telah membuktikan intipati kesemua 12 pertuduhan dan satu kes prima facie. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya merujuk kepada pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim itu turut mengeluarkan perintah yang sama terhadap Ahmad Zahid bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Peguam Ahmad Zahid telah berhujah bahawa beliau berhak mendapat imuniti bagi maklumat dan dokumen mengenai yayasan miliknya yang didedahkan kepada pihak berkuasa antirasuah pada 2 dan 3 Julai 2018. Pertuduhan terhadapnya dikemukakan pada bulan Oktober dan Disember 2018 serta Februari 2019.

Pada September lepas, selepas memanggil 99 saksi untuk memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berhujah Ahmad Zahid tidak berhak mendapat imuniti hanya kerana beliau memerikan maklumat kepada agensi antirasuah.

Penangguhan dibenarkan

Pada Isnin, hakim itu menetapkan 26 April sebagai tarikh Ahmad Zahid mula membela diri selepas peguamnya memaklumkan mahkamah bahawa tarikh asal iaitu 28 Mac tidak mencukupi untuk mereka membuat persediaan.

“Kami perlu menemu bual saksi dan menyerahkan pernyataan mereka. Pernyataan saksi perlu disediakan dan diserah 14 hari sebelum prosiding,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Sequerah kemudian memberikan tiga pilihan kepada Ahmad Zahid untuk membela diri.

“Beliau boleh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi iaitu beliau boleh disoal balas oleh pendakwaan, atau memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang saksi iaitu beliau tidak boleh disoal balas oleh pendakwaan, atau berdiam diri,” katanya.

Ahmad Zahid, yang ditemani anak sulung perempuan dan menantunya, kelihatan tenang ketika beliau mendengar keputusan hakim itu.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung parti itu Ahmad Maslan. Kira-Kira 30 penyokong UMNO yang berkumpul di lobi kompleks mahkamah itu berdoa bersama-sama Ahmad Zahid dan yang lain sebelum mereka memasuki bilik mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding mahkamah, Ahmad Zahid berkata beliau akan melawan pertuduhan itu dan memberi keterangan.

“Keputusan itu adalah hak mutlak hakim dan saya menerimanya. Pasukan peguam saya akan menjalankan tanggungjawan mereka menurut prosedur mahkamah. Tarikh telah ditetapkan,” katanya.

Mohamad pula berkata beliau menjangkakan pembangkang akan menggunakan keputusan hakim dalam kes ini untuk menyerang UMNO dalam pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Johor sebelum bulan Mac depan.

“Kes-Kes pendakwaan sudah kelihatan terlalu lemah. Ia sudah berlanjutan selama dua hingga tiga tahun. Setakat mana mereka akan menggunakan kes-kes mahkamah ini?” soal beliau kepada pemberita merujuk kepada aduan rasuah secara besar-besaran terhadap Ahmad Zahid dan bosnya iaitu bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Najib telah disabitkan atas pertuduhan yang mempunyai kaitan dengan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pembangunan negara yang ditubuhkan oleh beliau pada 2009. Beliau kini dibicarakan atas pertuduhan tambahan berkaitan apa yang disifatkan oleh pendakwa AS dan Malaysia sebagai mencuri atau menggelapkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripada 1MDB.

‘Ingin berkuasa’

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), adalah antara yang lantang bersuara menyelar UMNO pada Isnin.

“Saya telah katakan sebelum ini bahawa kluster mahkamah terdesak mengelak merigkuk dalam penjara. Bermula dengan Najib dan diikuti oleh Zahid,” kata beliau dalam hantaran di media sosial. “Kedua-duanya berdepan hukuman penjara atas sebab yang sama – mereka dituduh melakukan penyelewengan.

“Hari ini, mereka menggunakan parti untuk memaksa Johor mengadakan pilihan raya. Mereka tamak dan ingin berkuasa,” dakwanya. “[Mereka] tidak mahu parti lain wujud sebagai badan semak dan imbang dalam kerajaan kerana jika terdapat rasuah, ia boleh disembunyikan.”

Pada awal 2020, Bersatu berganding bahu dengan UMNO apabila Muhyiddin Yassin mewujudkan satu gabungan yang membawa kepada pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri hanya beberapa hari selepas Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Mahathir telah memimpin pakatan pembangkang dalam kemenangan mengejut serta menumbangkan gabungan Barisan Nasional yang diterajui UMNO pada Pilihan Raya Umum 2018. Blok Mahathir, empat tahun lepas, telah berkempen di platform membebaskan kerajaan Malaysia daripada gejala rasuah yang berpunca daripada skandal 1MDB.

Pada pertengahan 2021, Ahmad Zahid meminta beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan. Tampuk kekuasaan kemudian kembali kepada UMNO apabila Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh