Rohingya: Malaysia Cadang Resolusi PBB Wujud Zon Keselamatan

Staf BeritaBenar
2017.10.17
Washington DC
rohingya.jpeg Pelarian Rohingya berkumpul di sebuah empangan di sepanjang Sungai Naf berhampiran Anjuman Para di Ukhia, Bangladesh, 16 Okt, 2017.
[Tushar Tohin/BeritaBenar]

Malaysia akan mencadangkan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] untuk mewujudkan zon keselamatan, supaya pelarian Rohingya dapat kembali ke tanahair mereka, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media Malaysia selepas melawat kem pelarian Kutupalong di Bangladesh.

“Perkara berkenaan akan dibawa oleh anggota Majlis Keselamatan PBB untuk dijadikan resolusi agar Rohingnya dapat kembali ke negara mereka dengan dipantau  oleh pasukan pemantau PBB," kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan oleh media Malaysia pada Selasa.

Ahmad Zahid berada di Bangladesh untuk lawatan kerja pertama ke negara itu sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, dua tahun lepas.

Beliau bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dan beberapa pegawai pentadbiran negara itu sebelum berlepas ke selatan negara itu dari Dhaka untuk melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong, di Cox’s Bazar.

Krisis kemanusiaan semakin memuncak di negeri Rakhine, Myanmar, di mana ia merupakan wilayah yang di diami oleh etnik Rohingya dan krisis berkenaan telah membawa kepada warga Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari.

Lebih 582 ribu pelarian

Menurut laporan situasi yang diterbitkan pada Selasa oleh Inter Sector Coordination Group (ISCG).  ISCG menyelaraskan maklum balas kemanusiaan dalam situasi pelarian di Bangladesh di kalangan agensi kerajaan dan antarabangsa.  Kumpulan bantuan melaporkan seramai 582,000 pelarian tiba di tenggara Bangladesh sejak 25 Ogos, selepas mereka melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Laporan itu berkata peningkatan bilangan baru ketibaan pelarian yang berlaku, berbanding laporan lepas adalah kerana bukan di sebabkan dengan kemasukan pelarian yang signifikan merentasi sempadan, tetapi sebaliknya disebabkan penilaian yang kukuh dalam penempatan dan komuniti tuan rumah.

Antara 10 hingga 15 ribu pelarian kini terkandas di sempadan berhampiran dengan Anjuman Para, Palong Khali, kerana tidak dapat bergerak lebih jauh ke Bangladesh. Kumpulan pelarian  itu tinggal di levi antara sawah padi dengan makanan dan air yang terhad.

Agensi berkenaan telah menyediakan beberapa bantuan asas di lokasi di mana pelarian terkandas, dan berada diposisi dalam usaha menyediakan bantuan tambahan termasuk makanan, rawatan perubatan, air bersih dan perkhidmatan pengesanan keluarga kepada pelarian yang baru tiba sebaik sahaja mereka dibenarkan untuk bergerak seterusnya.

Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 900,000 pelarian Rohingya sedang berlindung di tenggara Bangladesh, termasuk pelarian yang melarikan diri daripada kitaran keganasan terdahulu di Rakhine. Kehadiran terlalu ramai pelarian di sana, yang digabungkan dengan kepesatan masuk pendatang baru, telah mengehadkan lagi sumber-sumber di kem-kem pelarian dan penempatan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Tinggi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengeluarkan kenyataan amaran mengenai potensi berlakunya isu-isu kesihatan yang berpunca daripada kekurangan keadaan sanitasi yang sewajarnya.

"Taun adalah endemik di Bangladesh dan ia mudah tersebar di kalangan beratus-ratus ribu orang yang tinggal berhimpit-himpit tanpa sanitasi yang sewajarnya," kata jurucakap Andrej Mahecic dalam satu kenyataan.

Atase Kemanusian

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata, Malaysia bercadang menempatkan seorang atase kemanusiaan dan kebajikan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bangladesh, bagi melaksanakan komitmen kerajaan membantu pelarian etnik Rohingya yang berada di kem-kem pelarian

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu akan dicadangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan supaya ia dapat dilakukan segera.

"Atase kemanusiaan ini akan kita tempatkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka. Dengan adanya pegawai ini, beliau akan membantu pejabat Suruhanjaya Tinggi untuk melakukan bukan hanya koordinasi tetapi pemantauan agar bantuan-bantuan sampai kepada sasaran dan faedahnya dapat dinikmati oleh pelarian berkenaan," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Nasional Malaysia [Bernama] pada Selasa.

Katanya, MKN akan bertindak menyelaraskan bantuan kemanusiaan yang akan disalurkan kepada etnik Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di Bangladesh itu.

Selain itu, Ahmad Zahid menambah yang Malaysia turut akan bekerjasama dengan negara ASEAN yang prihatin terhadap masalah itu bersama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) serta beberapa badan antarabangsa lain dalam meneruskan usaha untuk menyalurkan bantuan kebajikan kepada orang-orang pelarian, perubatan dan persekolahan bagi anak-anak mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.