Ahmad Zahid Hamidi Akan Sambung Keterangan Kepada SPRM Bagi Hari Ketiga

Hadi Azmi & Noah Lee
2018.10.11
Kuala Lumpur, Malaysia
181011-MY-Zahid620.jpg Presiden UMNO yang juga bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat tangan kepada media sebelum meninggalkan Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, Malaysia, 10 Oktober, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi akan berdepan semula dengan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ke lima pada Jumaat [esok] untuk dirakam percakapan berhubung siasatan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah, demikian menurut sumber SPRM.

Jumaat akan menjadi hari ketiga berturut-turut bagi bekas timbalan perdana menteri itu  hadir ke Ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk diambil keterangan. Pada Rabu dan Khamis, Ahmad Zahid telah diambil keterangan masing-masing lebih sembilan jam.

Sehingga Khamis, Ahmad Zahid, 65, sudah empat kali dipanggil ke pejabat agensi pencegahan rasuah itu dengan dua hari berturut-turut pada Julai lepas serta kali ini akan memasuki hari ketiga berturut sejak Rabu lepas.

Menurut sumber SPRM yang enggan namanya disiarkan, Ahamd Zahid yang dipanggil pada Rabu adalah untuk memberi kenyataan terhadap penyiasatan berhubung kes di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah jenayah.

Sumber yang sama juga mengesahkan bahawa Ahmad Zahid yang hadir pada hari kedua [Khamis] pula telah diambil kenyataan bagi siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Perolehan Akta Kegiatan Undang-undang 2001 (AMLA).

"Ya, kami sedang merekodkan kenyataannya dan yang lain yang datang selama dua hari untuk membantu siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),

“Untuk butiran lain, maaf, saya tidak dapat memberitahu anda," kata sumber itu kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Putrajaya pada Khamis.

Azam Baki, Timbalan Ketua pesuruhjaya SPRM yang bertanggungjawab ke atas operasi, pada Khamis mengesahkan dengan BeritaBenar bahawa Zahid telah dipanggil untuk menghadiri satu lagi soal siasat pada Jumaat.

"Ya, kami memanggilnya untuk datang semula pada Jumaat," kata Azam, yang turut mengesahkan yang agensi pencegahan rasuah itu turut menghubungi menantu bekas timbalan perdana menteri Saahah Nizam Mohd Yusoff pada Khamis untuk diambil keterangan.

Anak, menantu dan adik tiri turut disiasat

Saiful Nizam, yang merupakan seorang ahli perniagaan dan merupakan suami kepada anak perempuan Zahid, Nurul Hidayah yang turut dipanggil oleh SPRM untuk diambil percakapan pada Rabu dan Khamis.

Seorang pegawai SPRM juga dilaporkan mengesahkan bahawa mereka telah mengambil keterangan Nurul Hidayah pada Rabu bersama adik tiri Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Satu lagi sumber agensi anti-rasuah yang mengesahkan bahawa kesemua keterangan terhadap mereka yang diambil sejak Rabu lagi adalah berhubung dengan penyiasatan melibatkan penyelewengan dana milik Yayasan Akal Budi, sebuah pertubuhan milik keluarga Ahmad Zahid yang ditubuhkan untuk melaksanakan kerja-kerja amal.

Sebelum ini pada Julai, Zahid pernah hadir ke SPRM Putrajaya sebanyak dua kali untuk dirakam percakapan berhubung yayasan yang sama dan juga membantu siasatan bersangkutan 1Malaysia Development Berhad.

Semasa  sidang media selepas dipanggil SPRM buat pertama kalinya pada Julai lepas, Ahmad Zahid mengakui yang dana Yayasan Akal Budi telah digunakan untuk melunaskan bayaran kad kerditnya tetapi berkata ia adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh seorang pegawainya.

Kesilapan pegawai guna duit yayasan

Menurut presiden UMNO itu bil kad kredit tersebuat telah diserahkan kepada pegawai berkenaan dan berlaku kekeliruan sehingga bayaran itu dibuat menggunakan duit yayasan berkenaan.

"Walaupun niat dia bukan untuk melakukan penyelewengan, tetapi tatacara beliau tidak betul.  Saya kemudiannya menggunakan wang peribadi untuk bayar semua (hutang kad kredit) sekali," katanya kepada media di Putrajaya pada ketika itu seperti dilaporkan media tempatan.

Ahmad Zahid dalam kenyataannya yang dimuatnaik dalam laman Instagram milik anaknya Nurul Hidayah pada malam Selasa berkata yayasan itu ditubuhkan untuk melakukan kerja kebajikan dalam usaha menubuhkan sekolah tahfiz di seluruh negara serta membantu pelajarnya meneruskan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.

“Saya hanya lakukan kerja-kerja amal jariah untuk membina Maahad Tahfiz bagi hafiz-hafiz yang sudah hafal 30 juzuk Al-Quran dari seluruh negara, supaya mereka boleh menduduki Sijil Pelajara Malaysia dan Syahadah (Sijil) Al-Hafiz dan Diploma Al-Quran untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi ke universiti dalam dan luar negara.

“Siasatan akan dibuat atas tuduhan rasuah dan AMLA( Akata Pengubahan Wang Haram) terhadap dana-dana sumbangan yang terkumpul  dan wang peribadi saya sendiri. Semua dana dalam akaun diurus oleh firma guaman sebagai akaun amanah. Saya redha dengan amal saya telah diklasifikasikan sebagai memperolehi rasuah dan AMLA.”

Nurul Hidayah dalam catatan Instagram miliknya yang memuat turun dua keping gambar ayahnya itu,  mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana bersikap professional dalam menjalankan tugas mereka selain turut memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih atas doa dan sokongan semua.

Julai lalu, Zahid diminta memberi keterangan berhubug kenyataan yang dibuatnya pada 2015 mengenai pertemuan beliau dengan wakil keluarga diraja Arab Saudi yang menyalurkan sejumlah besar wang ke dalam akaun bank milik Najib.

"Semua maklumat yang SPRM ada, adalah daripada laporan media, jadi saya dikehendaki membuat laporan terperinci tentang apa yang berlaku," katanya.

Ahmad Zahid, dipanggil untuk membantu siasatan dua hari selepas beliau dipilih sebagai Presiden UMNO, parti yang pernah berkuasa sebagai pemerintah dan menerajui gabungan Barisan Nasional dengan dahulunya diterajui oleh Najib. Zahid memberitahu pemberita bahawa beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan bahawa partinya itu menerima dana daripada 1MDB.

Najib meletakkan jawatan tertinggi dalam UMNO dan memilih Ahmad Zahid untuk mengetuai parti itu, selepas pilihan raya umum yang sekaligus menamatkan tempoh berkuasa Barisan Nasional selama enam dekad.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.