Ahmad Zahid: UMNO Pertimbang Putus Hubungan Dengan PAS

Persefahaman dua parti itu menyaksikan "pengkhianatan", dan mengapa UMNO memikirkan semula kerjasamanya dengan PAS.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-10-13
Share
Ahmad Zahid: UMNO Pertimbang Putus Hubungan Dengan PAS Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Penasihat Barisan Nasional Najib Razak berbual selepas menunaikan solat Jumaat sempena Himpunan Perpaduan Ummah antara UMNO dan PAS di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, 13 September, 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik terbesar di Malaysia, sedang mempertimbang untuk memutuskan hubungan dengan Parti Islam Se-Malaysia, kerana persefahaman antara dua parti itu telah menyaksikan "pengkhianatan", demikian kata Presidennya dalam satu wawancara yang disiarkan secara langsung pada Selasa.
Kenyataan Ahmad Zahid Hamid itu memberikan gambaran bahawa lanskap politik negara bakal menyaksikan lebih banyak perpecahan di kalangan parti-parti politik menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

Ahmad Zahid berkata bahawa UMNO akan bertanding dalam pilihan raya kecil negeri Melaka yang dijangka dibuat sebelum hujung tahun ini "secara solo" serta membayangkan bahawa platform Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan PAS tidak lagi akan berfungsi.

"Oleh kerana Muafakat Nasional ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk Muafakat Nasional itu direalisasikan sebagaimana dalam pilihan raya kecil yang lain yang pernah diadakan sebelum ini.

"Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional secara solo, dan biarlah rakyat pilih yang terbaik," kata beliau ketika sesi wawancara dengan media elektronik tempatan NR Channel, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Live pada malam Selasa.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional, mengulas mengenai hubungan UMNO dengan PAS khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari sejak Dewan Undangan Negerinya dibubarkan pada 5 Oktober lepas susulan episod perebutan kuasa.

Muafakat Nasional adalah satu gabungan kerjasama politik yang dimeterai kedua-dua parti tersebut pada September 2019 dan tidak pernah didaftarkan secara rasmi, namun telah menyaksikan UMNO dan PAS menjalin kerjasama erat dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil di Malaysia sejak itu.

Ahmad Zahid menyatakan bahawa Muafakat Nasional diterjemahkan daripada hasrat pemimpin keagamaan (Mursyidul Am) PAS Haron Din untuk melihat penyatuan umat Islam di Malaysia. Haron telah meninggal dunia pada 2016.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, persefahaman dua parti itu telah menyaksikan "pengkhianatan", dan membayangkan bahawa ia adalah punca mengapa UMNO memikirkan semula kerjasamanya dengan PAS.

"Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bila kita berkongsi, terutama berkongsi hidup, kita harus saling percaya-mempercayai, dan kita jangan khianat mengkhianati.

"Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan (sahaja) pada UMNO tetapi pada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula," kata beliau.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, presiden UMNO itu dipercayai merujuk kepada tindakan PAS yang menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan enggan berpihak kepada UMNO ketika hubungan UMNO-BERSATU menjadi tegang.

PAS juga kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin Yassin dan tidak mengikut langkah UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pada hari Ahmad Zahid membuat kenyataan itu, gambar pertemuan antara pemimpin-pemimpin daripada kedua parti sedang menikmati juadah untuk dimuatnaik oleh Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki dimuat naik di laman media sosial.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan bersama Asyraf serta Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir kelihatan menunjukan tanda bagus bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad yang duduk semeja.

Dalam wawancara secara langsung itu juga, Zahid sekali lagi menegaskan bahawa UMNO tidak akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang, seperti apa yang telah ditetapkan oleh Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

"Saya menghormati keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020. Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden perlu menghormati bahawa dalam PRU15 nanti juga kita tidak akan bekerjasama dengan BERSATU," kata beliau.

Muafakat Nasional hampir pasti terkubur

Sementara itu, penganalisis politik Mazlan Ali, seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia berkata, Pilihan Raya Negeri Melaka mungkin akan menyaksikan pertembungan tiga parti politik utama iaitu antara UMNO, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional yang menggabungkan PAS dengan BERSATU sekiranya UMNO enggan meneruskan kerjasama dengan PAS.

"Sekiranya Pilihan Raya Negeri Melaka ini berlaku tanpa kerjasama UMNO dan PAS, hampir pasti Muafakat Nasional ini akan terkubur kerana ia tidak dapat diimplementasi dalam bentuk pilihan Raya.

"Dan sekiranya ini berlaku sudah pasti Pilihan Raya Negeri Melaka ini akan berlaku secara tiga penjuru iaitu di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional," kata beliau kepada BenarNews.

Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata bahawa ia akan menjadi satu ujian buat PAS yang perlu memilih di antara UMNO dan BERSATU dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, dari segi perkiraan politik, PAS mungkin boleh mendapat faedah lebih besar melalui kerjasama dengan UMNO yang mempunyai kekuatan akar umbi, berbanding dengan BERSATU.

"Secara praktikalnya, PAS boleh mendapat faedah lebih banyak sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, jika dilihat dari segi kelemahan BERSATU dalam aspek sokongan akar umbi," kata Tunku Mohar.

"UMNO akan mahu meletakkan calonnya sendiri di kerusi-kerusi yang telah dimenangi dalam Pilihanraya Umum yang lepas, dan ini termasuk kerusi di mana Ahli Parlimennya telah melompat kepada BERSATU.

"Perkara ini akan menjadi satu bentuk ujian kepada PAS dalam memilih untuk setia kepada parti yang mana satu."

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh