Pendakwah India Zakir Naik Tidak Langgar Undang-undang: Timbalan PM Malaysia

N. Nantha
2017.10.31
Kuala Lumpur
171031-my-zakir620.jpg Para penunjuk perasaan India memegang sepanduk semasa mengecam ulama Islam, Zakir Naik, di New Delhi, 18 Julai 2016.
[AFP]

Malaysia tidak akan menangkap pendakwah televisyen Islam kontroversi dari India, yang telah diberikan taraf penduduk tetap di negara itu, melainkan jika beliau terlibat dalam kegiatan keganasan atau melanggar undang-undang negara, demikian jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kepada anggota-anggota Parlimen pada Selasa.

Pendakwah Zakir Naik telah memperoleh kad pengenalan penduduk tetap daripada Jabatan Pendaftaran Negara berdasarkan pas masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, kata Zahid dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen pembangkang Teresa Kok Suh Sim.

Beliau bertanya sama ada Zakir, yang menghadapi tuduhan jenayah di India, diberi layanan istimewa atau ditawarkan kewarganegaraan oleh Malaysia.

“Sepanjang berada di negara ini, Zakir Naik tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan. Oleh yang demikian, tiada alasan dari segi peruntukan perundangan untuk menahan atau menangkap beliau,” kata Zahid sambil memberitahu bahawa pendakwah itu juga tidak diberi layanan istimewa di Malaysia.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu bahawa pegawai-pegawai juga sedang menunggu maklum balas daripada rakan sejawatan di India.

"Kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permintaan rasmi daripada kerajaan India berhubung dakwaan kesalahan keganasan yang melibatkan Zakir Naik," kata Zahid. "Bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau aktiviti Zakir di negara ini dan akan mengambil tindakan terhadapnya sekiranya beliau didapati terlibat dalam kegiatan keganasan."

Walaupun Zahid memberi jaminan bahawa pendakwah itu sedang dipantau, Zakir sebenarnya tidak berada di negara ini, kata seorang pegawai imigresen yang enggan dirinya dikenali kepada BeritaBenar.

Singapura haramkan dua ulama Islam

Pada Selasa juga, timbalan perdana menteri Malaysia itu berkata, kerajaan tidak akan menghalang dua pendakwah Islam kontroversi lain iaitu Haslin bin Baharim dari Malaysia dan Ismail Menk dari Zimbabwe menyampaikan khutbah mereka di Malaysia.

Zahid membuat komen itu sehari selepas Kementerian Dalam Negeri  Singapura mengharamkan kedua-dua pendakwah itu memasuki negara berkenaan yang bersempadan dengan Malaysia, dengan menyatakan bahawa khutbah mereka boleh menggalakkan perpecahan sosial di Singapura, yang juga merupakan negara pelbagai kaum dan agama.

"Setakat ini, kedua-dua penceramah agama ini tidak mencadangkan apa-apa yang menentang pemahaman kita mengenai kepelbagaian budaya dan agama sehingga menyebabkan ketegangan sosial, kaum dan agama di Malaysia," lapor agensi berita Malaysia, Bernama, yang memetik Zahid sebagai berkata.

"Malaysia setakat ini berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan di negara ini dan tidak berhasrat mengambil tindakan sama kerana mereka tidak melakukan kesalahan di negara kita," kata beliau.

Penilaian Singapura terhadap dua pendakwah ittu nyata amat berbeza dengan komen Zahid.

Menk berkhutbah mengenai 'pemisahan dan pecah-belah' seperti mendakwa adalah berdosa bagi umat Islam untuk mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada orang Kristian atau mengucapkan ‘Selamat Hari Deepavali (Divali)’ kepada penganut Hindu, manakala Haslin pula mempromosikan ketidakharmonian dengan menggambarkan orang bukan Islam sebagai ‘menyimpang’ kata pegawai kementerian dalam negeri Singapura dalam satu kenyataan.

"Pandangan yang memecahbelahkan ini menimbulkan amalan tidak bertoleransi dan eksklusif yang akan merosakkan keharmonian sosial, dan menyebabkan perpecahan komuniti. Mereka tidak boleh diterima dalam konteks masyarakat berbilang-bilang kaum dan agama di Singapura," kata kementerian itu pada Isnin.

Kertas pertuduhan terhadap Zakir

Mengenai Zakir Naik, seorang pegawai India sebelum ini memberitahu bahawa pendakwah itu, yang meninggalkan India sebulan sebelum serangan pengganas di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh pada Julai 2016, dipercayai melakukan perjalanan di antara Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia.

Pada Julai 2017, beliau membatalkan kehadirannya pada perhimpunan ulama Islam di negeri Kelantan di Malaysia selepas India membatalkan pasportnya.

Khutbah Zakir didakwa telah memberi inspirasi kepada beberapa militan yang melakukan pengepungan di kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka. Dua puluh sembilan orang, termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh dalam serangan semalaman itu, yang didakwa dilakukan kumpulan ekstremis Negara Islam.

Minggu lepas, kerajaan India memfailkan pertuduhan setebal 61 muka surat terhadap Zakir apabila mendakwa beliau terlibat dalam konspirasi jenayah dengan memuji organisasi pengganas. Para pegawai merancang untuk meminta Interpol membantu mencarinya.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga menuduh Zakir memberi khutbah melalui saluran Peace TV beliau dengan memuji pemimpin al-Qaeda Allahyarham Osama Bin Laden, menyokong serangan bunuh diri oleh militan dan mengecam tuhan-tuhan Hindu.

Yayasan Penyelidikan Islam milik Zakir yang berpejabat di Mumbai  membiayai sebahagian daripada saluran televisyen itu, yang siarannya diharamkan di India, Bangladesh dan beberapa negara lain.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.