Malaysia Harap Dialog Ketiga Pupuk Keakraban

Oleh Hata Wahari
2015.08.24
150824-MY-ZAMZAMIN620 Wakil kerajaan Malaysia dan juga merupakan fasilitator rundingan damai selatan Thailand, Ahmad Zamzamin Hashim bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur. 12 Julai 2013.
AFP

Malaysia berharap usaha ke arah mencari jalan penyelesaian bagi konflik di selatan Thai, yang berlarutan lebih sedekad lamanya, dapat memupuk keakraban di sesi dialog ketiga di antara wakil kerajaan Thai dan Majlis Amanah Rakyat Patani (Mara Patani) di Kuala Lumpur pada Selasa ini.

Sesi dialog tersebut, yang menyusul selepas dialog tertutup pada April dan Jun lalu, dilihat sebagai petanda positif dalam membina momentum rundingan damai yang digerakkan oleh Malaysia.

Ketua Fasilitator Rundingan, Ahmad Zamzamin Hashim semasa dihubungi BeritaBenar berkata, Malaysia sangat berharap dialog tertutup itu nanti akan  mewujudkan keakraban dan kerjasama di antara kerajaan Thailand dengan Mara Patani yang merangkumi tiga kumpulan iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN), Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islami Patani (GMIP).

Fokus utama pertemuan (Selasa) itu ialah sesi pengenalan di antara delegasi damai kerajaan Thailand yang baru dan barisan kepimpinan BRN, BIPP dan GMIP.

Menurut Ahmad Zamzamin, pertemuan kali ini, tidak memberi penekanan kepada agenda khusus dan lebih kepada membina hubungan di antara kesemua pihak.

"Belum ada agenda khusus mengenai pertemuan itu; pertamanya kita perlu membina keakraban di antara semua pihak memandangkan kebanyakan yang terlibat dalam delegasi damai itu merupakan ahli baru.

"Oleh itu kita berharap pertemuan ini akan membawa kepada persetujuan agenda yang boleh membawa proses rundingan ke peringkat seterusnya," katanya di Kuala Lumpur.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin melaporkan, rundingan pusingan ketiga perwakilan kerajaan Thailand diketuai Jen. Aksara Kerdpol manakala delegasi Mara Patani  dipimpin oleh  Matsukri Hari.

Gerakan pemisah di selatan Thai yang bermula sejak 1959, melibatkan wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla dengan misi untuk menuntut kemerdekaan dari Bangkok.

Gerakan ini berlarutan kepada pemberontakan bersenjata pada 1970an dan menjadi semakin serius sejak awal tahun 2004 sehingga kini.

Konflik berdarah selama sedekad ini telah menyebabkan lebih 6,000 nyawa terkorban dan lebih 10,000 yang lain tercedera, kebanyakannya melibatkan orang awam.

Dalam pada itu, sebagai fasilitator, Ahmad Zamzamin berkata, Malaysia berharap rundingan pada Selasa akan membuka jalan ke arah pencapaian yang penting  dalam proses rundingan damai itu.

"Rundingan ini merupakan satu usaha untuk bergerak kehadapan oleh semua pihak yang bertelagah, memandangkan rundingan masih di peringkat awal,

"Bagaimanapun, Malaysia tetap yakin bahawa rundingan ini akan dapat mencapai sesuatu kerana semua pihak kini bersedia untuk menyambung semula rundingan disebalik pelbagai insiden yang masih berlaku di selatan Thailand," katanya.

Beliau menambah, Malaysia hanya memainkan peranan sebagai fasilitatior atau pemudah-cara tetapi kejayaan rundingan bergantung sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

Ikhlas selesai konflik

Tambahnya, Malaysia juga ikhlas untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand kerana keamanan di rantau yang bergolak itu akan memberi manfaat besar kepada semua pihak.

Kerajaan Thailand telah memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.

Berdasarkan perancangan, pelan damai itu akan dijalankan dalam tiga peringkat, bermula dengan peringkat pertama iaitu membina kepercayaan antara satu sama lain. Peringkat kedua ialah memeterai perjanjian damai, manakala peringkat ketiga ialah melaksanakan apa yang terkandung di dalam perjanjian itu.

Bagaimanapun, proses rundingan terhenti pada Disember 2013 apabila kerajaan Thai pada masa itu menolak lima tuntutan yang dibuat oleh Ketua Perunding Hassan Toyib yang antara lain mahu kerajaan memberi kedaulatan terhadap kesemua wilayah di selatan negara itu selain memperakui “Patani Negara Melayu”.

Faktor lain yang menyumbang kepada terhentinya proses rundingan itu ialah kegawatan politik di Thailand sehingga membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera pada Mei 2014.

Kerajaan junta tentera Thailand bersetuju untuk menyambung semula proses rundingan damai dan hasrat itu telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-ocha kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ketika beliau berkunjung ke Putrajaya pada Disember 2014.

Berdasarkan pertemuan itu, Najib dilaporkan oleh akhbar tempatan sebagai berkata Kuala Lumpur dan Bangkok bersetuju untuk memberi momentum baru kepada proses rundingan damai di selatan Thailand dengan berpandukan tiga prinsip utama.

Menurut Najib, prinsip pertama ialah tempoh tanpa keganasan mesti diwujudkan di selatan Thailand, dan Prayut bersedia mengurangkan kehadiran tentera di wilayah-wilayah bergolak sekiranya keamanan dapat dipulihkan.

Prinsip kedua yang dipersetujui ialah proses perundingan damai mesti melibatkan semua kumpulan di selatan Thailand dan tidak hanya terhad kepada satu atau dua kumpulan sahaja.

"Di bawah prinsip ketiga pula, semua tuntutan (oleh kumpulan-kumpulan) akan digabung dan diselaraskan di bawah satu senarai permintaan. Ini akan menjadi asas untuk memulakan perundingan dengan kerajaan Thailand,” Najib dilaporkan sebagai berkata.

Yakin peranan Malaysia

Bernama pada Isnin melaporkan tinjauan oleh Deep South Watch menunjukkan penduduk di selatan Thailand amat yakin dengan usaha pendamaian yang dijalankan termasuk usaha Malaysia sebagai fasilitator.

Laporan itu memetik Pengarah Deep South Watch, Dr Srisompop Jitpiromsi, sebagai berkata, tinjauan menunjukkan 80.6 peratus penduduk yakin dengan peranan Malaysia manakala 80.2 peratus pula yakin terhadap proses damai yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan Thailand sejak 2013.

Tinjauan bertajuk 'Pandangan Rakyat di Selatan Thailand Dalam Situasi Terkini Berkaitan Pergolakan, Keadilan, Masalah Masyarakat dan Proses Damai' itu melibatkan 2,104 responden, di mana 45.1 peratus adalah wanita.

Kajian itu dilancarkan pada 13 Jun hingga 10 Julai lalu untuk mendengar suara rakyat membabitkan 2,104 orang dari 302 kampung di empat wilayah bergolak di Pattani, Yala, Narathiwat dan empat Daerah di Songkla.

Srisompop berkata, beliau melihat peranan Malaysia, khasnya pimpinan tertinggi Malaysia, sangat komited mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand.

"Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha manakala fasilitator Malaysia Ahmad Zamzamin Hashim telah berusaha berkomunikasi dengan penduduk tempatan pada tahun lepas dan pada tahun ini.

"Oleh demikian, natijahnya positif tentang pandangan terhadap peranan Malaysia dalam membantu proses damai di selatan Thailand," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mara Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN). Pada Mac lalu ia membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertainya supaya ada satu organisasi yang utama menentukan hala tuju perjuangan mereka. Ini termasuk menetapkan tuntutan bersama dalam rundingan damai dengan pihak kerajaan Thai.

Bekas pemimpin kanan Patani Liberation Organisation (PULO) Ismail Ternang berpandangan, salah satu sebab kegagalan proses damai sebelum ini adalah kerana tiada kesungguhan untuk berdamai.

"Perdamaian juga perlu merangkumi semua pihak yang ada di wilayah sempadan selatan, tidak kira kumpulan kecil atau kumpulan besar mesti bersama di meja rundingan," kata Ismail, yang telah dibebaskan dari penjara Yala oleh Thailand pada 17 Julai lepas, kepada Bernama

S. Adie Zul menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.