Ahli Parlimen Parti Konservatif Islam Malaysia Mohon Maaf Singgung Perasaan Penganut Kristian

Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-03
Share
201103-MY-PAS1000.jpg Poster Undilah PAS - Parti Islam Se-Malaysia, sebuah parti konservatif Islam di Malaysia ditampal di sepohon pokok di sebatang jalan di Kuala Lumpur, 17 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang Ahli Parlimen Malaysia yang mewakili parti konservatif Islam PAS, semasa sidang Parlimen pada Selasa telah membuat permohonan maaf yang jarangnya terjadi, susulan kenyataan kontroversi beliau yang mendakwa perintah dalam kitab Injil mengenai arak sudah “dipesongkan ataupun diubah” sehingga menyinggung perasaan penganut agama Kristian di negara itu, pada Ogos lalu.

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, Ahli Parlimen Pasir Puteh dari Kelantan yang mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuat permohonan maaf itu di hadapan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, yang sebelum itu telah meminta beliau untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat pada 27 Ogos lalu.

"Dengan ini saya menarik balik perkataan yang dipesongkan. Saya meminta maaf sekiranya ada yang tersinggung; itu bukan niat saya.

“Saya sebut dipesong atau dipinda itu, dengan tujuan untuk mempertahankan keaslian kitab (Injil) yang ada, dengan mana-mana kitab yang diturunkan itu tidak ada sebarang perubahan. Ini adalah tugas saya sebagai seorang Islam," kata Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulama PAS.

Pemimpin kanan parti konservatif itu membuat kenyataan yang menggambarkan Kitab Injil sebagai “terpesong dan berubah” semasa berbahas dengan Ahli Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan berkata bahawa tidak ada agama yang membenarkan pengambilan alkohol sehingga mencetuskan rasa kurang senang dan menyinggung perasaan penganut agama Kristian di negara berkenaan.

Nik Muhammad Zawawi yang kini berada bersama kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir Malaysia, mengeluarkan kenyataan tersebut semasa perbahasan pemandu mabuk dan larangan minum arak dalam mempertahankan tindakan pentadbiran Putrajaya pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meminda akta berkaitan.

Kenyataannya itu telah mendapat bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen termasuk Ngeh Koo Ham, wakil DAP yang mengatakan bahawa kenyataan wakil PAS itu tidak tepat dengan memberitahunya bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan menolak hujah Ngeh dengan berkata kandungan kitab Injil bagi agama Kristian terpesong kerana alkohol memang tidak dibenarkan.

Susulan daripada perbahasan di Parlimen itu beberapa pemimpin politik membuat laporan polis terhadap Nik Muhammad Zawawi dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyifatkan kenyataan pemimpin PAS itu sebagai serangan terhadap penganut agama Kristian di Malaysia serta cuba menimbulkan perselisihan antara agama.

Selain itu, Persatuan Gereja-gereja di Sarawak juga menuntut pemimpin kanan PAS itu menarik kembali kenyataannya di Parlimen dan mendesak mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada semua penganut Kristian.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen dari DAP turut menulis surat kepada Azhar menuntut Nik Muhammad Zawawi menarik balik kenyataannya dan meminta maaf.

Meskipun mendapat reaksi balas yang negatif, beliau menolak untuk menarik balik kenyataannya atau meminta maaf, dengan mengatakan bahawa orang Kristian tidak berhak merasa tersinggung dengan ucapannya, kerana pernyataannya itu bukan tuduhan, tetapi "fakta".

Dalam permohonan maafnya, Nik Muhammad Zawawi menekankan bahawa beliau menghormati semua agama dan rakan-rakan dari semua kepercayaan dan ucapannya itu merujuk kepada terjemahan akademik Injil mengenai pengambilan alkohol.

Jadi pengajaran


Sementara itu, Kelvin yang menuntut permohonan maaf daripada Nik Muhammad Zawawi berkata episod itu harus menjadi pengajaran kepada semua ahli parlimen untuk tidak memecah belahkan rakyat.

"Bukan niat saya untuk memanjangkan isu ini, tetapi penting untuk kita memberi contoh dan teladan bahawa walaupun kita mungkin mempunyai kepercayaan sendiri, tetapi kita perlu saling menghormati dan tidak melampaui batas untuk menghina kepercayaan satu sama lain, meskipun kita mempunyai perbezaan pendapat atau pemahaman.

"Biarkan ini menjadi pengajaran…, sebagai ahli Parlimen, kita harus selalu menjadi contoh dalam percakapan dan perbuatan untuk menyatukan rakyat, dan bukannya memecah belahkan mereka lebih jauh," kata Yii dalam kenyataan selepas permohonan maaf Nik Muhammad Zawawi yang dimuatnaik di laman media sosial Facebooknya pada Selasa.

Naib Ketua National Evangelical Christian Fellowship, Rev Eu Hong Seng dalam kenyataan kepada BeritaBenar meminta isu itu tidak lagi dipanjangkan.

"Kami lebih suka jika perkara itu tidak dibangkitkan lagi dan berharap kita boleh terus bergerak kehadapan dan belajar untuk hidup lebih menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia mempunyai 32 juta penduduk berbilang bangsa, agama dan budaya dengan hampir 70 peratus populasi adalah Melayu Bumiputera, dengan Islam sebagai agama rasmi, dan membenarkan rakyat mengamalkan agama mereka secara bebas.

Penganut agama Kristian di negara itu mewakili kurang daripada 10 peratus populasi menurut data dari Jabatan Statistik Malaysia.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.