Follow us

Mahkamah Malaysia Benarkan Kartunis Zunar Cabar Larangan Perjalanan

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-04-14
E-mel
Komen
Share
Kartunis Zunar (tiga dari kanan) dan peguamnya, N. Surendran (kanan Zunar) bercakap kepada pemberita selepas prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 14 April 2017.
Kartunis Zunar (tiga dari kanan) dan peguamnya, N. Surendran (kanan Zunar) bercakap kepada pemberita selepas prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 14 April 2017.
[Ihsan daripada Zunar]

Kartunis satira Zunar boleh mencabar perintah kerajaan Malaysia yang melarangnya daripada meninggalkan negara itu, demikian keputusan hakim pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Zulkiflee Anwar Ulhaque, penyumbang BeritaBenar yang menggunakan nama pena Zunar, untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar larangan perjalanan itu yang berkuat kuasa pada Jun 2016.

Dalam prosiding pada Jumaat, Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menolak bantahan pendakwa raya Malaysia berhubung permohonan Zunar untuk  mengunjungi negara-negara lain dengan bebas.

Zunar, yang telah didakwa secara berasingan bagi pertuduhan hasutan berhubung kartunnya yang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau gembira dengan keputusan itu kerana ia semakin hampir dengan usahanya untuk mengambil bahagian dalam forum dan acara antarabangsa.

"Permohonan kebenaran ini adalah langkah undang-undang awal sebelum cabaran semakan kehakiman boleh dibuat," katanya. "Ini adalah pusingan pertama. Saya berharap akan ada satu keputusan yang baik buat saya dalam cabaran sebenar. "

Zunar memfailkan saman undang-undang itu pada 7 Dis 2016, dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. Samannya mendakwa bahawa larangan keluar negara yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berperlembagaan.

Pemenang anugerah antarabangsa “2016 Cartooning for Peace’’ itu dimaklumkan tentang larangan tersebut apabila beliau dihalang daripada meninggalkan Malaysia untuk lawatan ke Singapura bagi menghadiri satu forum pada 17 Okt, 2016. Seseorang pegawai Imigresen memberitahu Zunar bahawa perintah itu dibuat oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada 24 Jun 2016.

Diberikan ganti rugi

Keputusan hakim itu dibuat tiga hari selepas mahkamah Malaysia menganugerahkan ganti rugi kepada Zunar dalam saman undang-undangnya terhadap kerajaan.

Pada Selasa, mahkamah memberi ganti rugi sebanyak RM18,000 (AS$ 4,060) kepada Zunar bagi 66 naskhah buku dan karya seninya yang disita oleh kerajaan hampir tujuh tahun lalu.

Zunar pernah ditahan dua kali sejak November 2016 atas dakwaan hasutan dan "aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen" menerusi kartunnya yang mengkritik kerajaan dan badan kehakiman Malaysia. Kebanyakan hasil kartunnya mengkritik Perdana Menteri Najib dan kerajaan Malaysia.

Kartunis itu juga menghadapi sembilan pertuduhan hasutan kerana catatan tweet beliau yang didakwa menghina badan kehakiman berikutan sabitan terhadap Ketua Pembangkang de facto Anwar Ibrahim dalam satu kes liwat pada Februari 2015. Jika sabit kesalahan, Zunar berdepan hukuman penjara selama 43 tahun.


Lihat Laman Penuh