Zunar Terima Hadiah Kartun Editorial Antarabangsa 2016

Hata Wahari
2016.05.04
Kuala Lumpur
160504-my-zunar-award620 Kartunis Malaysia Zunar dan kartunis Kenya Gado (kedua kanan) menerima anugerah 2016 International Editorial Cartoons Prize dari bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan (kanan). Turut melihat Datuk Bandar Geneva Guillaume Barazzone (kiri).
Ihsan Zunar

Kartunis sindiran Malaysia, Zunar memenangi Hadiah Kartun Editorial Antarabangsa 2016  daripada Yayasan Kartun untuk Keamaan Swiss secara bersama dengan pelukis karikatur  Kenya, Gado sempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia di Geneva, Switzerland pada Selasa.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque manakala Gado, Godfrey Mwampembawa menerima anugerah itu daripada bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dan Datuk Bandar Geneva, Guillaume Barazzone pada satu majlis yang dihadiri ramai kartunis dan pelukis karikatur dari seluruh dunia di Palais Eynard di ibu negara berkenaan.

Kofi yang juga Presiden Kehormat Kartun Untuk Keamanan Swiss semasa mengulas mengenai anugerah itu berkata, “Gado dan Zunar mengingatkan kita bagaimana rapuh kebebasan di Afrika dan Asia serta beberapa negara lain di dunia.

“Melalui komitmen mereka ke arah masyarakat yang terbuka dan telus, Gado dan Zunar, telah menerima ancaman di negara asal mereka sehingga tidak boleh lagi mengamalkan profesion mereka, yang sekaligus menyedarkan kita terhadap kewajipan dalam memelihara kebebasan bersuara dan bertindak untuk menyokong perjuangan mereka ini, yang tidak boleh meluahkan perasaan melalui seni mereka," tambah Kofi dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Naib Presiden yayasan berkenaan Patrick Chappatte,  yang juga seorang kartunis bersama para jurinya ketika mengulas mengenai penganugerahan itu berkata, Zunar dan Gado berhadapan dengan pihak berkuasa yang bertindak untuk menutup mulut mereka kerana berani melakar ‘raja telanjang’, dan hadiah yang diterima bertujuan untuk menguatkan suara demokrasi dan keadilan mereka.

‘Kemenangan semua’

Sementara itu, Zunar, 53 semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu, kemenangan itu adalah atas sokongan rakyat Malaysia baginya walaupun berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang terhadap karyanya, yang memberi fokus kepada pembongkaran rasuah, salah laku dan kezaliman pentadbiran kerajaan Malaysia.

“Rakyat Malaysia adalah kekuatan saya. Tanpa sokongan mereka saya tidak mungkin dapat bertahan sampai sekarang,” katanya semasa dihubungi di Geneva.

Zunar dalam satu kenyataan media yang dikeluarkannya turut memaklumkan bahawa anugerah yang diterimanya itu memberi kekuatan baru kepadanya untuk terus berjuang menentang rasuah dan penindasan terhadap pentadbiran Malaysia yang berusia 60 tahun.

“Hak asasi manusia dan kebebasan bersuara di Malaysia kini berada dalam keadaan yang sangat parah. Akta Hasutan dan akta-akta lapuk lainnya diguna oleh pemerintah dalam  melenyapkan suara pengiritik dengan semua institusi kerajaan digunakan sebagai perkakas oleh pemerintah untuk terus berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zunar menambah, bakat yang ada bukanlah sesuatu keistimewaan tetapi adalah tanggungjawab untuk menggunakan seni itu sebagai senjata.

“Senjata ampuh bagi mana-mana rejim di dunia digunakan untuk menanamkan ketakutan untuk menakutkan rakyat. Lakaran seni dapat memimpin rakyat untuk merentasi garisan ketakutan,” sambil menambah pennya juga mempunyai pendirian.

“Anda boleh mengharamkan kartun saya, buku saya, tetapi anda tidak boleh mengharamkan fikiran saya. Saya akan terus berjuang melalui kartun dan akan terus berlawan sehingga ke titisan dakwat terakhir,” tegas Zunar.

Zunar ditahan polis selama tiga hari pada Februari 2015 di bawah Akta Hasutan dan dua bulan selepas itu didakwa di mahkamah atas sembilan tuduhan yang boleh membawa kepada hukuman penjara 43 tahun, selepas beliau mengkritik penahanan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, yang dituduh meliwat, melalui akaun twitternya.

Penahanan itu adalah penahanan Zunar kali kedua dengan kali pertama pada tahun 2010 di bawah undang-undang yang sama, selepas kerajaan Malaysia mengharamkan tujuh buku lakaran kartunnya, dengan pejabatnya di Kuala Lumpur di serbu dan ribuan naskah buku dirampas.

Pengilang dan kedai buku di Malaysia juga tidak dibenarkan untuk mencetak dan menjual buku-buku kartunis itu.

Pada April lepas, Mahkamah Tinggi Malaysia menolak permohonan Zunar yang telah mencabar persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan berikutan kes-kesnya itu.

Semasa ditemubual di Washington pada November lepas, Zunar memaklumkan kepada BeritaBenar, sepanjang tahun 2014 dan 2015, kira-kira 200 orang telah disiasat, ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan.

Zunar juga adalah satu-satunya rakyat Malaysia bersama 10 individu lain dari seluruh dunia  dipilih dalam kempen “Write for Rights (‪#‎W4R) 2015” oleh Amnesty International.

Selain itu, kartunis berkenaan juga adalah penerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa, November lepas dari Committee to Protect Journalist, sebuah organisasi bukan untung antarabangsa yang menggalakkan kebebasan akhbar.

Nota Pengarang: Zunar adalah penyumbang BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.