Follow us

Sita Hasil Karya, Kartunis Malaysia Saman Polis Dan Kerajaan

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-08-16
E-mel
Komen
Share
Kartunis Zunar dengan lakaran hasil karyanya yang memberi penerangan mengenai tuntutan terbaru beliau terhadap kerajaan, semasa memfailkan kertas tuntutan berkenaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 16 Ogos, 2017.
Kartunis Zunar dengan lakaran hasil karyanya yang memberi penerangan mengenai tuntutan terbaru beliau terhadap kerajaan, semasa memfailkan kertas tuntutan berkenaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 16 Ogos, 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Kartunis satira Zunar pada Rabu memfailkan tindakan undang-undang terhadap pegawai kerajaan dan Polis Malaysia, di mana beliau mendakwa sebagai 'haram' penahanan dan penyitaan buku serta kemeja –T miliknya di satu acara amal di Kuala Lumpur tahun lepas.

Tuntutan undang-undang oleh Zulkiflee Anwar Ulhaque, penyumbang BeritaBenar yang menggunakan nama pena Zunar, dikaitkan dengan acara "Teh bersama Zunar" pada 17 Disember 2016 di Kuala Lumpur apabila lebih daripada 1,000 buku dan T-shirt dirampas.

"Pegawai polis dari balai polis Dang Wangi telah menangkap saya secara tidak sah dan menafikan kebebasan peribadi saya," kata Zunar dalam tuntutannya. Dia terkenal dengan hasil karya lakaran yang sering menyindir pegawai kerajaan, terutamanya Perdana Menteri Najib Razak.

Sehari sebelum penangkapan Zunar pada majlis itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata kartunis itu perlu mengawal diri dalam menghasilkan karya yang menghina orang.

Ketua Polis Negara itu mendakwa hasil karya Zunar membangkitkan kebencian terhadap pemimpin negara dengan mengatakan ianya bukan "budaya Malaysia untuk menarik orang dengan cara itu," media Malaysia melaporkan.

20 dinamakan dalam tuntutan mahkamah

Tuntutan itu telah menamakan seramai 20 defendan termasuk kerajaan Malaysia, Khalid, pegawai penyiasat M. Gunalan dan 17 orang pegawai polis yang lain. Zunar mahu kerajaan memulangkan semula 1,187 naskah buku dan 103 kemeja-T yang dirampas bersama-sama dengan tuntutan ganti rugi AS$5,200 (RM22,388).

"Buku saya tidak diharamkan dan saya hanya menjualnya kepada peminat saya semasa acara amal. Apa salahnya? " katanya kepada wartawan pada Rabu.

Zunar juga memohon pengisytiharan oleh mahkamah bahawa pihak berkuasa telah melanggar haknya di bawah perlembagaan, kata peguamnya, N. Surendran.

Pada April lepas, mahkamah telah menganugerahkan Zunar RM18,000 (AS$4,060) sebagai ganti rugi kerana tuntutannya terhadap kerajaan yang telah penyita 66 naskhah buku dan karya seninya pada September 2010.

Bulan lepas, kartunis itu telah membatalkan pamerannya di Pulau Pinang kerana bimbang kemungkinan ada ancaman daripada sayap pemuda parti pemerintah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Zunar, yang telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun 2016, dijangka hadir di mahkamah pada 1 November untuk menghadapi sembilan pertuduhan menghasut selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai sabitan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan dengan semua pertuduhan itu, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 43 tahun.

Lihat Laman Penuh