Follow us

Polis Malaysia Tangguhkan Soal Siasat Kartunis Zunar

Nani Yusof & Hata Wahari
Washington & Kuala Lumpur
2016-12-29
E-mel
Komen
Share
Kartunis Malaysia Zunar ketika bercakap pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, 13 April 2015.
Kartunis Malaysia Zunar ketika bercakap pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, 13 April 2015.
AFP

Kartunis satira Malaysia Zunar berkata beliau tidak perlu melaporkan diri ke balai polis di Kuala Lumpur untuk disoal siasat pada Jumaat, kerana seperti yang dijangkanya,  pegawai berkenaan menangguhkan mesyuarat itu tanpa penjelasan.

Zunar, penyumbang BeritaBenar yang telah ditangkap dua kali sejak akhir penghujung November atas dakwaan antaranya terlibat dalam "aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen" dan  menghadapi sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan Malaysia dalam kes berasingan untuk kartun-kartun yang mengkritik kerajaan dan badan kehakiman Malaysia, berkata, beliau masih menjangka dipanggil kemudian untuk disoal siasat di balai polis.

"Peguam saya telah menghubungi balai polis daerah Dang Wangi petang ini dan diberitahu bahawa saya tidak perlu melaporkan diri di balai polis esok seperti yang diarahkan dua minggu lalu," kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, kepada BeritaBenar melalui telefon pada Khamis .

Peguamnya juga mengarahkan beliau untuk menunggu panggilan telefon daripada polis.

"Peguam saya telah dimaklumkan bahawa pihak polis akan mnghubungi dan memberikan tarikh baru, tetapi tidak memberi sebab mengapa saya tidak perlu hadir di IPD [Ibu Pejabat Polis Daerah] esok," kata Zunar.

Polis dan pegawai-pegawai kerajaan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan pada Khamis.

Kartunis itu ditahan semasa menghadiri satu majlis amal, "Teh Bersama Zunar," di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 17 Dis lalu.

Polis merampas lebih 1,000 naskhah buku kartun, lakaran dan kemeja-T kartun beliau, yang bernilai kira-kira RM40,000 [US$ 8,900].

Pada masa itu, beliau telah ditangkap bersama-sama dengan empat orang lain dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi sebagai sebahagian daripada penyiasatan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan Malaysia, yang terdiri daripada aktiviti dianggap sebagai memudaratkan demokrasi. Beliau dibebaskan enam jam kemudian.

Pada 25 Nov lalu, Zunar ditahan di bawah Akta Hasutan dan karya beliau yang dipamerkan pada pameran di George Town, Pulau Pinang, juga telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Ketika dihubungi pada Khamis, Zunar berkata pasukan peguamnya kini sedang mengumpul maklumat bagi membolehkan beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan polis untuk mendapatkan semula semua salinan karya beliau yang dirampas.

Kumpulan-kumpulan yang menyokong hak asasi dan kebebasan bersuara antarabangsa telah menggesa pihak berkuasa untuk menggugurkan semua tuduhan terhadap kartunis itu, dengan berkata kerajaan berbuat demikian berikutan kritikan di dalam kartun beliau.

Pada Selasa, Reporters Without Borders (RSF) yang berpejabat di Paris turut menyertai gesaan itu dengan mengeluarkan kenyataan yang  menyatakan  bahawa Zunar telah diarahkan melapor diri untuk soal siasat polis pada Jumaat, susulan penahanannya pada 17 Dis.

"Kami menggesa penarikan balik semua tuduhan dengan segera dan tanpa syarat terhadap kartunis ini dan kami menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan menggunakan Akta Hasutan untuk menakut-nakutkan dan mengancam wartawan," kata Ketua Pengarang RSF  Virginie Dangles.

Lihat Laman Penuh