Follow us

Zunar Bawa Kes Sekatan Perjalanan Ke Mahkamah Tertinggi Malaysia

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-01-03
E-mel
Komen
Share
Kartunis Zunar bertemu media selepas kesnya di dengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 7 Disember, 2017.
Kartunis Zunar bertemu media selepas kesnya di dengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 7 Disember, 2017.
[Ihsan Zunar]

Kartunis satira terkenal Malaysia, Zunar yang tidak dapat memenuhi jemputan menghadiri lima pameran khas di luar negara apabila sekatan perjalanan dikuatkuasakan keatasnya oleh kerajaan Malaysia dua tahun lepas, telah memfailkan permohonan mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, yang telah dikenakan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, sejak 24 Jun 2016, telah membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan pada Rabu, selepas Mahkamah Tinggi pada 19 November lepas menolak permohonannya untuk merujuk persoalan berkaitan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar tindakan sekatan Jabatan Imigresen itu.

Zunar yang merupakan penyumbang BeritaBenar memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar Seksyen 59 dan Seksyen 59A Akta Imigresen.

Seksyen 59 akta berkenaan tidak membenarkan seseorang itu didengarkan di hadapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tentang apa-apa keputusan mereka manakala seksyen 59A mensyaratkan supaya keputusan menteri dan ketua pengarah tidak boleh disoal di mahkamah menerusi semakan semula kehakiman.

Permohonan Zunar itu telah difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Persekutuan dengan meminta mahkamah berkenaan untuk membatalkan kedua-dua seksyen tersebut kerana ia tidak mengikut berperlembagaan serta Parlimen tidak punya kuasa untuk meluluskan seksyen-seksyen tersebut kerana ia melanggar kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hantar surat

Pada 17 Oktober 2016, Zunar telah ditahan daripada berlepas ke luar negara semasa hendak menaiki pesawat ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] bagi menghadiri forum di sebuah universiti di negara itu.

Beliau semasa dihubungi pada Rabu berasa terkilan kerana gagal menghadiri pameran solonya di Marge, Switzerland pada Jun tahun lalu, akibat larangan tersebut.

“Sejak sekatan itu dikenakan, saya tidak dapat menghadiri jemputan-jemputan lain seperti di Kenya, United Kingdom, Singapura dan Australia,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Zunar memberitahu yang beliau ada menghantar surat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] untuk mendapatkan perlepasan sementara bagi menghadiri pelbagai program luar negara tetapi, tidak pernah menerima sebarang maklumbalas.

“Bila saya dapat jemputan, saya tulis surat kepada KDN dan JIM meminta pelepasan selama seminggu untuk menghadiri program-program tersebut tetapi malangnya tiada maklumbalas terhadap permohonan yang saya buat itu,” tambahnya lagi.

Semasa prosiding kes Zunar di Mahkamah Tinggi pada November lepas, Hakim Azizah Nawawi ketika membuat keputusan menolak permohonan Zunar itu berkata, beliau terikat dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kes Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pada 6 November lalu yang melibatkan isu yang sama.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari Parti Tindakan Demokratik [DAP] Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar sekatan perjalanan keatas mereka, tetapi Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan itu, dengan mengatakan bahawa ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen untuk menyekat perjalanan mana-mana warganegara.

Tony, yang juga Ketua Publisiti DAP telah dilarang meninggalkan negara itu untuk pergi ke Jogjakarta, Indonesia, pada Julai 2015, manakala Maria dikenakan larang semasa hendak membuat perjalanan ke Korea Selatan pada Mei 2016 bagi menerima anugerah hak asasi manusia.

Pihak berkuasa Malaysia telah memperkenalkan dasar yang mengharamkan rakyat yang mencemar atau mengecam kerajaan daripada membuat perjalanan ke luar negara, menurut akhbar tempatan, yang telah menimbulkan kritikan dari penyokong kebebasan awam.
"Sesiapa yang mengecam kerajaan atau 'memburukkan kerajaan' dalam apa cara akan dihalang daripada pergi ke luar negara," kata sumber di Jabatan Imigresen kepada akhbar The Star pada Mei 2016.

Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Sakib Kusmi mengesahkan kewujudan dasar baru tersebut, dengan mengatakan bahawa memiliki pasport adalah "suatu keistimewaan dan bukan suatu hak."

Sehingga November 2016, lebih daripada 700,000 warganegara Malaysia dilarang meninggalkan negara berkenaan, lapor akhbar New Straits Times pada masa itu dengan ramai yang ditahan kerana hutang terkumpul.

Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers of Librety, sebuah NGO tempatan pada Julai lepas berkata, “Larangan perjalanan yang dikenakan itu bermotifkan politik; orang ramai sangat berharap mahkamah mempertahankan hak rakyat atau sekurang-kurangnya meminta pihak berkuasa menjelaskan tindakan mereka,”

"Kami terkejut dengan keputusan itu kerana pihak imigresen diberi kuasa mutlak untuk membuat keputusan kerana mereka dengan mudah boleh melarang sesiapa sahaja daripada membuat perjalanan tanpa memberi alasan.

"(Dengan ini) tidak benar jika kita dikatakan hidup dalam parlimen berdemokrasi serta hak di bawah perlembagaan," katanya kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh