Mahkamah Perintah PM Najib, Peguam Shafee Jawab Saman Anwar

Hata Wahari
2017.06.21
Kuala Lumpur
170621-MY-najib-lawyer-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak menghadiri sidang kemuncak di Forum’Belt and Road’ di Beijing, Mei 15, 2017.
AFP

Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dan pendakwa raya khas Muhammad Shafee Abdullah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu supaya menjawab  saman bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim berhubung perbicaraannya yang didakwa tidak adil berikutan pendedahan pendakwa raya itu dikatakan menerima RM9.5 juta daripada perdana menteri.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Najib dan Muhammad Shafee supaya menjawab permohonan Anwar bahawa sabitan liwat terhadapnya tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Latheefa Koya, peguam yang mewakili Anwar.

Beliau berkata, Hakim Kamaluddin Md Said mengarahkan Najib untuk menjawab saman itu, yang dikemukakan pada 9 Jun dan  16 Jun, serta memfailkan afidavit  sebelum atau pada 12 Julai manakala Muhammad Shafee diperintahkan berbuat demiklan pada 17 Julai.

“Hakim membuat keputusan itu semasa bersidang di dalam kamarnya,” kata peguam itu ketika dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Latheefa berkata, hakim juga menetapkan pengurusan kes itu dibuat pada 3 Ogos depan.

Pada prosiding dalam kamar itu, kerajaan Malaysia diwakili peguam kanan Nadia Tajuddin, Muhammad Shafee diwakili Sarah Abishegam manakala Najib tidak diwakili peguam, kata beliau.

BeritaBenar cuba menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Shafee namun gagal mendapatkan maklum balas mereka berhubung perintah mahkamah itu.

Sehingga kini, Pejabat Perdana Menteri juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu. Pada 9 Jun, Muhammad Shafee memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi namun, setakat ini,  tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam terkemuka itu.

Pada 16 Jun lalu, Anwar memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meminta Najib dan Muhammad Shafee mendedahkan penyata kewangan dari Ogos hingga Oktober 2013 serta Januari hingga Mac 2014.

Permohonan itu  dibuat sebagai permohonan sokongan kepada saman semula yang dikemukakan Anwar pada 9 Jun untuk membatalkan sabitan dan menuntut pembebasannya daripada hukuman penjara lima tahun bagi kes liwat yang dihadapinya, berikutan pendedahan bahawa Najib membayar sebanyak RM9.5 juta kepada peguam yang dilantik menjadi pendakwa raya Muhammad Shafee.

Permohonan itu membabitkan bayaran berjumlah RM4.3 juta pada 11 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Dalam samannya pada 9 Jun, Anwar, 69, memohon deklarasi sabitan Mahkamah Rayuan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan bertarikh 7 Mac 2014 dan perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Feb 2015 yang mengesahkan perintah Mahkamah Rayuan, adalah tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan bayar RM1,000

Muhammad Shafee dilantik kerajaan menjadi pendakwa raya bagi mengetuai rayuan kes membabitkan Anwar di Mahkamah Rayuan pada 2014. Pada pada 11 Mac 2015,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu Parlimen bahawa kerajaan hanya membayar RM1,000 kepada Muhammad Shafee untuk mengetuai kumpulan pendakwaan kes itu.

Bagaimanapun, pada 31 Mei lepas, Sarawak Report dalam laporannya mendakwa peguam itu dibayar sebanyak RM9.5 juta yang disalurkan terus daripada akaun peribadi Najib, yang berpunca daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sarawak Report mendakwa Muhammad Shafee menerima pembayaran dalam dua transaksi daripada Najib, dan laman web itu dilaporkan menerbitkan salinan dua slip yang dibayar pada September 2013 dan Februari 2014.

Pembayaran itu dibuat dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, Latheefa memberitahu BeritaBenar bahawa asas yang digunakan oleh Anwar ialah penyata kewangan itu sudah tentu dipegang oleh Najib dan Muhammad Shafee selain mereka mempunyai pengetahuan mengenai penyata tersebut.

“Pembayaran itu telah melanggar haknya (Anwar) di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan beliau perlu mendapat perbicaraan yang adil. Tetapi dengan pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya khas dalam kes tersebut, Anwar tidak mendapat perbicaraan yang adil,” tegas beliau.

Anwar dipenjara selama lima tahun kerana didapati bersalah melakukan kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada Disember 2016, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan tuduhan oleh Mahkamah Rayuan.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya pada 2014.

Pada Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap tindakan Lembaga Pengampunan yang menolak permohonannya pada Mac 2015.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.